Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Rabu, 30 Disember 2009

KISAH METEOR YANG JATUH DI MESIR





gambar sekadar hiasan 


Hari ini saya ke kuliah seperti biasa. Namun ada suatu perkara luar biasa yang berlaku. Kisah yang menarik untuk saya kongsikan di sini. Kisah tentang meteor yang jatuh di Mesir ini.


Sebelum saya berkisah, janganlah percaya sangat dengan tajuk yang saya letakkan. Itu hanya ayat untuk mencantikkan kisah dan membuatkan ia lebih 'boombastik'. Sewaktu saya turun dari bas, saya terkejut melihatkan seketul batu yang sangat besar berada di tengah-tengah jalan di hadapan tempat perhentian bas berdekatan kuliah. Perkara pertama yang terdetik di kepala saya ialah, tahi bintang ke komet ke meteor yang jatuh kat sini? Mungkin juga ada orang tengah buat penggambaran filem. Tapi, tidak kelihatan kamera ataupun krew di mana-mana. Lalu saya hanya tersenyum dan terus menuju ke kuliah.


Dalam perjalanan pulang dari kuliah saya menuju ke perhentian bas di mana ada batu 'meteor' yang saya lihat tadi. Namun situasi waktu itu sudah berubah. Kalau tadi, batu itu hanya terdampar di tengah jalan dan menjadi tontonan manusia yang lalu lalang, kini ia sudah bergerak sedikit kedudukannya ke tepi jalan. Anda tahu bagaimana batu itu boleh bergerak ke tepi? Jangan risau, saya bukan hendak membodohkan sesiapa, saya cuma ingin berkongsi pengajaran yang saya dapat hari ini. Batu itu digerakkan ke tepi jalan oleh sekumpulan lelaki Mesir yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh orang ramai yang memandu kenderaan di jalan yang sibuk itu. Apatah lagi batu tersebut betul-betul berada di hadapan perhentian bas. Bukankah menyusahkan orang namanya itu? Abaikanlah punca atau sebab bagaimana batu itu boleh terdampar di situ. Apa yang penting, seperti kata Wonderpet : KERJASAMA. Apa yang saya kesalkan ialah, saya tidak membawa kamera pada waktu itu. Jika tidak, sudah pasti situasi itu akan saya abadikan sampai akhir nanti.

Pasti mereka benar-benar menghayati sabda Nabi s.aw. :

Seseorang lelaki menemukan ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak menggangu orang-orang muslim”, kerana itu ia dimasukkan ke syurga.(Riwayat Muslim)
 Hadis dari Abu Hurairah r.a:
" Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya.

Begitulah setiap hari, kita bertemu dengan pelbagai peristiwa dan karenah manusia yang memberikan pengajaran buat kita. Seperti peribahasa Melayu yang selalu disebut 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Sepanjang pemukiman saya di bumi kinanah ini, saya melihat dan menemui pelbagai peristiwa dan ragam manusia. Ada yang sempat saya coretkan di sini, namun banyak juga yang hanya terakam di minda. Banyak kebaikan yang telah saya temui namun apabila difikirkan berapa banyak yang telah diaplikasikan dalam hidup saya sendiri, hati hampa dan kecewa. Memang banyak perkara berlaku yang mengharukan dan menyentuh hati kita. Namun jarang sekali kita mengambil iktibar dan pengajaran untuk kita terap dan aplikasikan dalam kehidupan kita. Jika ini yang berlaku, maka kita akan jadi seperti katak di bawah gelas yang mampu melihat persekitaran namun tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.


Mudah-mudahan kita sebagai umat Islam menjadi manusia yang paling banyak belajar dari persekitaran dan juga sejarah lampau. Kita mampu menjadi lebih baik dari semalam andai kita belajar dari sejarah dan persekitaran agar kita tidak mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan. Setiap hari adalah hijrah bagi kita. Hijrah dari keburukan kepada kesilapan. Hijrah dari mengejar dunia kepada mengejar Akhirat. Hijrah dari cinta manusia menuju cinta Tuhan.
Ya Allah, bimbinglah kami..

p/s: ini mungkin entri terakhir untuk tahun 2009. malam ini saya akan bertolak ke Semenanjung Sinai mengiringi pelajar-pelajar UM yang ber'jaulah' ke sana. malam esok kami akan mendaki Jabal Musa untuk melihat sendiri kebenaran agama Allah s.w.t. doakan kami selamat sepanjang perjalanan dan selamat pulang ke DMAK.
Mesti seronok orang-orang di Malaysia dapat melihat gerhana bulan malam esok. Marilah kita berjalan, melihat dan mentafsir.

Sabtu, 26 Disember 2009

10 MUHARAM, HARI ASYURA...

Semalam, dalam perjalanan pulang dari Port Sa'id ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah saya membaca semula karya atau naskhah teater bertajuk Karbala yang ditulis oleh Faisal Tehrani. Saya disoal oleh adinda-adinda UM tentang peristiwa sebenarnya yang berlaku di Karbala. Apabila saya menerangkan serba sedikit berdasarkan pembacaan saya, saya dilontarkan pula persoalan berkenaan Faisal Tehrani dan tuduhan syiah ke atas beliau. Saya sedar saya belum cukup ilmu untuk membahaskan berkenaan syiah ini. Tapi perbalahan yang membarahkan perpecahan di kalangan umat Islam adalah soal yang penting untuk sama-sama kita carikan penyelesaian. Dan saya melihat saranan yang disampaikan oleh Faisal Tehrani adalah suatu yang masuk akal untuk dipertimbangkan.

Saya memiliki beberapa karya besar Faisal Tehrani yang saya ulang kali baca apalagi karya beliau Tunggu Teduh Dulu yang mengisahkan tentang kecekalan dan kekuatan Salsabila dalam mengharungi kehidupan yang seringkali diwarnai dengan ujian dan cabaran yang pelbagai. Melalui watak Salsabila itu saya temui motivasi dan kekuatan untuk diri sendiri. Memang banyak yang mengatakan karya-karya beliau sudah banyak disusupi dengan unsur-unsur syiah. Namun tidak saya nafikan kehebatan karya-karya beliau dari sudut sastera apalagi mesej-mesej yang dibawakan lewat karya-karya beliau. Blog beliau adalah laman wajib yang saya akan baca setiap kali berkesempatan untuk online. Dan memang entri-entri beliau semenjak Muharam ini adalah berkisar saranan untuk meratapi kesyahidan Imam Hussein dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat beliau dalam peristiwa di Karbala.

Memang setiap kali membaca tulisan Faisal Tehrani, saya seringkali mempunyai pandangan-pandangan samada yang pro mahupun kontra terhadap idea yang beliau sampaikan. Saya bukanlah seorang yang banyak tahu seperti mereka yang lain namun setakat ilmu yang saya tahu, saya masih mampu untuk mengambil pengajaran dan pelajaran dari tulisan-tulisan beliau. Saya amat berterima kasih dengan beliau yang telah banyak mendedahkan tentang sejarah dan isu seputar dengan peristiwa di Karbala di blog beliau.

Makanya, bersempena dengan 10 Muharam adalah wajar untuk kita kaji dan selak kembali apa yang telah berlaku pada tarikh tersebut ribuan tahun dahulu. Mengambil tahu adalah antara cara menunjukkan prihatin dan perhatian kita kepada seseorang. Adakah salah mencintai ahlul bayt Rasulullah s.aw.? Lalu 10 Muharam yang sering kita sebut-sebut dan raikan dengan bubur 'Asyura setiap tahun itu kerana apa? Adakah sekadar mengikut-ikut orang lain atau kerana suka makan bubur 'Asyura.

Saya memahat azam untuk tahun 1431H ini untuk tidak lagi sekadar tahu tentang sesuatu isu atau perkara, tapi mengkaji dan mampu mempunyai pendapat sendiri. Doakan semoga dimaqbulkan.


p/s: Imtihan bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Peperiksaan saya adalah pada 21 Januari 2010 (Kesusasteraan Andalus) dan pada 25 Januari (Nusus Zaman Abbasiyah). Mohon doa semuanya moga dimudahkan menjawab soalan dan diberi kejayaan untuk naik tahun 4 pada sesi depan. Mohon maaf atas salah dan silap dan minta halal semuanya.

 

PARIS PUSAT FESYEN ISLAM?



Saya tidak mahu memandang negatif terhadap idea yang menarik seperti ini. Perkara pertama yang melintas di kepala saya apabila melihat headline ini ialah, sesiapa saja yang mahu merealisasikan idea ini wajar untuk membaca karya Faisal Tehrani bertajuk Manikam Kalbu sekiranya tidak dapat mendalami ilmu Fiqh sekitar aurat dalam Islam dan garis panduan pakaian yang sesuai dengan Islam. Dan pastinya para ulama' dan fuqaha' perlu menjadi pemantau yang tegas dalam isu ini.





p/s: wanita dan fesyen memang tak dapat dipisahkan?

Rabu, 23 Disember 2009

FORUM MA'AL HIJRAH 1431

Moderator : Us. Fathi Ramli
Panel : Us Mohd Noorazam Bahadur & Dr Husaini

Antara isi utama perbincangan yang dapat saya kongsikan :

1) Hijrah adalah suatu anjakan paradigma yang ada padanya yang berikut :
  - meninggalkan sesuatu atau suatu tempat yang sangat kita sayangi dan dekat di hati.
  - menjauhkan diri dari maksiat dan meninggalkan maksiat kerana Allah Taala.
  - tidak mencampurkan diri dengan pihak yang batil atau salah.
  - melibatkan diri dalam jama`ah Islam dan mengikuti pemimpin yang Islam.
  

2) Hijrah atau apa sahaja tindakan yang ingin dilaksanakan perlu ada perancangan yang teliti sepertimana proses Hijrah Rasulullah s.a.w. bersama sahabat Baginda Abu Bakar as-Siddiq. (ada penunjuk arah, ada yang menggantikan tempat tidur Baginda)

3) Niat yang betul dan ikhlas memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tindakan tidak lari dari syariat Allah s.w.t.

Saya memohon maaf kerana ada beberapa isi penting yang sudah saya 'terlupa' akibat kelewatan menyiapkan entri ini. Kesibukan yang tidak seberapa mengendalikan pelajar-pelajar Universiti Malaya agak membataskan waktu saya. sudahlah saya ini jenis lambat buat ayat..em, ini kelemahan saya yang paling perlu untuk dihijrahkan.

Ayuh, ambillah cahaya dari peristiwa hijrah (pengajaran, 'ibrah dan teladan) untuk kita sama-sama aplikasikan dalam hidup kita seharian. Mudah-mudahan tahun yang baru ini menjadikan kita lebih baik dari semalam yang telah berlalu. Amin.

KULLU SANAH WA ANTUM TOYYIBIN.
SALAM TAHUN BARU 1431H.



Jumaat, 4 Disember 2009

PENANGAN "KETIKA CINTA BERTASBIH"

Mulai semalam saya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang datang untuk belajar Bahasa Arab di Universiti Kaherah selama sebulan. Pelajar-pelajar ini yang berjumlah 30 orang terdiri dari 24 pelajar wanita dan 6 orang pelajar lelaki. Bayangkan nisbahnya, 1 lelaki : 4 perempuan. Agaknya memang betul di institut pengajian tinggi sekarang ini bilangan lelaki sangat kurang berbanding pelajar perempuan.

Pagi Jumaat saya dan Ustaz Ridwan membawa mereka berjalan-jalan menziarah Masjid Husain dan juga Masjid Azhar. Namun apa yang menggelikan hati saya ialah apabila sebelum bertolak ustaz mengatakan kita akan pergi melawat kuliah 'Mas Azzam'. Dan pelajar-pelajar ini yang juga banyak telah membaca dan menonton "Ketika Cinta Bertasbih" banyak mengenal Mesir lewat karya Habiburrahman El Shirazy. Antara yang sering mereka sebutkan adalah Metro yang sering menjadi pengangkutan utama dalam "Ayat-ayat Cinta". Dan begitulah perjalanan kami pada pagi itu. Asyik menunjuk suatu tempat sebagai lokasi dalam KCB.

"Sinilah tempat kuliah mas Azzam..kat sini tempat dia tahan teksi dan sebagainya lagi.."

Mesir barangkali perlu berterima kasih pada Habiburrahman El Shirazy yang banyak mempromosi Mesir secara tak langsung dalam karya-karyanya khususnya KCB. Barangkali Mesir patut untuk menganugerahkan gelaran Dato' kepada beliau atas jasa baiknya yang banyak mempromosi Mesir. Sedangkan Shah Rukh Khan yang 'shooting' beberapa saat di Melaka dianugerahkan Dato' oleh kerajaan negeri Melaka. Saya rasa Habiburrahman El shirazy lebih lagi layak. Tapi, saya tak tahu samada Mesir ada memberi gelaran Dato' atau tidak.

:: mungkin kita boleh lobi Habiburrahman El Shirazy untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi atau latar tempat dalam karya beliau yang seterusnya. Bukankah di Malaysia sekarang sudah ada cawangan Universiti Al Azhar? kalau jadi, saya sokong 100% beliau dianugerahkan gelaran Dato'  (',') ::
                                                                                                       

Jumaat, 27 November 2009

MUHASABAH AIDIL ADHA

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA..KULLU AM WA ANTUM TOYYIBIN


Hari Raya Aidil Adha yang juga kita sebut Hari Raya Korban menjadi simbolik pada suatu perkara yang paling besar dalam kehidupan, iaitu pengorbanan. Apabila disebut pengorbanan, ada sebuah lagu yang secara automatik terlintas di fikiran saya.

P. Ramlee

Berkorban Apa Saja

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Kepentingan sendiri
Tidak diingini
Bahagia kekasih
Saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati
Itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia


Pengorbanan adalah suatu yang sangat mulia dan suatu perkara besar yang sewajibnya kita hargai dan syukuri. Keberadaan kita di bumi ini khususnya anak-anak perantau di ardhul kinanah ini adalah kerana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kita khususnya. Usah dibicara soal wang ringgit yang sering diminta lewat setiap panggilan telefon mahupun sms. Apa yang lebih besar bagi saya adalah pengorbanan hati dan perasaan. Tanpa pengorbanan hati dan perasaan, segala pengorbanan material bagaikan tiada maknanya.

Ketika Nabi Ibrahim a.s. diilhamkan oleh Allah s.w.t. untuk mengorbankan anakandanya, Baginda telah lebih dulu mengorbankan rasa kasih dan sayang Baginda terhadap Nabi Ismail a.s. demi kerana Tuhan yang diimaninya. Mengorbankan rasa kasihan pada anak yang masih muda demi menuruti perintah Tuhannya. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w. yang mengorbankan rasa cinta terhadap tanah kelahirannya demi untuk sebuah hijrah yang bakal mengembangkan dakwah Baginda.

Berkorban bukan semata kerana ganjaran atau demi kepuasan diri sendiri. Bahkan lebih dari itu, manusia berkorban kerana ingin memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada insan lain seperti kata-kata dalam lirik di atas. Setiap pengorbanan yang dilakukan bukan untuk sembarangan orang, akan tetapi untuk orang yang paling dan amat dicintai. Maka bertuahlah insan-insan yang menerima perngorbanan itu. 

Hari Raya inilah yang sepatutnya kita besarkan dari hari-hari lain. Hari yang mulia ini juga, kita sewajarnya merenung diri dan mengenang betapa banyak pengorbanan yang telah kita terima terutama dari ibu bapa. Sedari kewujudan kita alam rahim lagi, sudah banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita. Setelah lahir, kita dibesarkan dengan pengorbanan yang tidak pernah berhenti. Hinggalah kini, kita perlu sedar bahawa kita lahir dan menjadi dewasa seperti sekarang ini kerana pengorbanan mereka di sekeliling kita terutama ibu bapa. Kadang kita sebagai manusia sering mendabik dada menyebut-nyebut pengorbanan sendiri. 

"saya mengorbankan rasa rindu pada keluarga demi untuk mendapatkan khazanah ilmu di bumi Al Azhar ini."

"saya mengorbankan masa muda saya demi untuk mendapatkan segulung ijazah yang akan lebih menjamin masa depan keluarga saya"

"saya mengorbankan masa lapang saya demi mendapatkan keputusan yang cemerlang"

"saya mengorbankan masa saya demi untuk menjaga kebajikan orang-orang bawahan saya"
Pelbagai lagilah pengorbanan yang konon kita lakukan demi untuk orang lain. Padahal dalam hati hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang salah atau cara yang salah tidak akan menatijahkan hasil yang baik. Kadang ada juga manusia yang silap dalam berkorban. Sanggup mengorbankan masa belajar demi untuk memenuhi kehendak hati yang kepingin jamming di studio muzik? Korbankan duit belanja makan (sanggup makan mee segera sahaja) demi memenuhi keinginan memiliki handphone  yang mahal dan konon canggih padahal kewangan yang ada tidaklah sebanyak mana. FIkirkan sendiri di mana nilai pengorbanan yang sebegitu. Mengorbankan kesihatan diri, mengorbankan hak jasmani yang perlukan makanan berkhasiat, mengorbankan tanggungjawab utama sebagai seorang pelajar adalah suatu yang tidak wajar dilakukan.

Apa lagi sebagai pemimpin yang dilantik oleh orang bawahan. Tidak patut jika seorang yang merasakan tanggungjawab sebagai pemimpin mengabaikan orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya. Sepatutnya seorang yang mengaku pemimpin mengorbankan kepentingan diri dan mendahulukan kepentingan dan kemaslahatan orang bawahan berbanding dirinya. Walaupun begitu, jangan lupa bahawa apa jua bentuk pengorbanan mahupun ithar  yang dilakukan ada tatacara dan kaedahnya dalam agama Islam.

Marah betul saya dengan seorang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan ahlinya, namun mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan ahli. Di sudut mana dalam hatinya yang menghayati erti pengorbanan? Dimana letak rasa tanggungjawabnya jika tidakpun ada rasa kasih dan sayang pada ahlinya? Manusia yang seperti ini wajar disedarkan dengan sebuah hadith yang maksudnya : "seseorang pemimpin itu adalah khadam bagi kaumnya."  

Lalu, muhasabahlah diri dan cuba baiki kelemahan yang ada. Benar sebagai manusia kita tidak lepas dari melakukan salah dan silap. Namun setiap kesalahan yang dilakukan wajar diambil iktibar dan pengajaran. Ingatkan diri agar silap dan salah itu tidak diulangi lagi pada masa depan kerana Rasulullah ada berpesan bahawa orang mukmin itu tidak akan jatuh ke lubang yang sama sebanyak dua kali. Beringatlah selalu bahawa amanah yang dipundakkan di bahu setiap pemimpin itu akan ditanya oleh Allah s.w.t. kelak.

Aidil Adha ini adalah kesempatan untuk mengenang berapa banyak insan yang telah berkorban untuk kita selama ini, mensyukuri nikmat kasih sayang manusia yang menjadi pendorong untuk mereka berkorban demi kita dan merenung diri sendiri apakah pengorbanan yang telah kita beri pada insan-insan yang kita sayang mahupun yang menyayangi kita. Jangan selalu menuntut orang lain untuk mengorbankan sesuatu untuk kita sedang kita berat untuk mengorbankan sesuatu untuk mereka. Dan jangan asyik menyebut pengorbanan yang pernah kita lakukan. Seorang muslim itu sikapnya sentiasa melupakan kebaikan dia pada orang lain dan mengingati kebaikan orang lain padanya.


Salam Aidil Adha. Selamat menghayati ibadah korban. Semoga semua jemaah haji selamat pulang ke pangkuan keluarga tersayang.

Isnin, 23 November 2009

JANGAN TERLALU MEMUDAHKAN

Muzik bukanlah sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Perbahasan tentang muzik sudah lama berlegar di kalangan ulama' dan ilmuan Islam. Pelbagai pandangan dan pendapat yang terdapat seputar masalah berkaitan muzik samada nyanyian mahupun alat muzik. Walaupun tiada kedapatan dalil yang jelas dari Al-Quran dan Hadith berkenaan hukum haramnya muzik, saya suka mengingatkan diri dan sahabat-sahabat dengan kesimpulan yang telah dibuat oleh Dr. Yusuf Qardhawi berkenaan mengapa sebahagian ulama' sangat keras dalam masaah ini :

  1. الأخذ بالأحوط لا الأيسر
Maksudnya : Berpegang dengan sikap berhati-berhati daripada berpegang dengan prinsip bermuda-mudah.
 2. الاغترار بالأحاديث الضعيفة والموضوعة
Maksudnya : Berpegang dengan hadith-hadith dhaif dan tertipu dengan hadith-hadith palsu.
3. Realiti dunia muzik hari ini yang telah jauh menyimpang dari ajaran Islam. Sejak Zaman Awal Islam lagi acara yang berkaitan muzik sudah wujud dalam majlis-majlis yang mendendangkan syair yang turut disertai oleh tarian dan nyanyian hamba-hamba perempuan dan juga minuman arak.

Saya bukan anti muzik. Saya sendiri mendengar dan melayan lagu dan nasyid selagimana ia tidak ada unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam. Namun, apabila menjadi pimpinan dan diberi pertanggungjawaban untuk membentuk akhlaq dan syakhsiah mereka yang dipimpin, saya jadi risau memikirkan idea untuk menubuhkan sebuah band muzik. Atau mungkin juga sebenarnya mereka hanya ingin menubuhkan sebuah kumpulan nasyid. (Perkataan band itu mempunyai persepsi yang agak negatif bagi saya) Lalu, saya memikirkan sesuaikah imej sebuah kumpulan nasyid dengan peralatan muzik seperti drum ataupun gitar?


.:: sekarang sedang melayan OST Ketika Cinta Bertasbih, paling saya suka : Tuhan, Beri Aku Cinta ::..

Sabtu, 21 November 2009

FORUM PENGENALAN SMART CIRCLE

Ahi panel : Us. Mohd Hafizi Sidek & Us. Mokhri
Moderator : Us. Mohd Fathi Ramli

Antara yang dapat saya kongsikan di sini :

  • Kepentingan smart circle samada kepada pelajar agama mahupun perubatan adalah sama. smart circle bertujuan antara lain untuk mendidik pelajar. memetik jawapan ringkas Us. Mokhri : "littakdib" . Rasulullah s.a.w. sendiri telah dididik oleh Allah s.w.t. seperti mana sabda Baginda : '"Addabani Rabbi fa ahsana takdibi''. maka Baginda tidak syak lagi adalah sebaik-baik pendidik. >Perkara ini dapat dilihat dalam usaha dakwah baginda semasa peringkat awal di kota Makkah. Baginda menjalankan dakwah secara senyap dan melakukan liqa'  atau perjumpaan secara rahsia bagi menyampaikan dakwah Baginda kepada sahabat-sahabat yang memeluk Islam pada waktu itu di mana liqa' tersebut diadakan di rumah al Arqam bin Abi al Arqam<
  • Asas atau rukun penting yang perlu ada dalam diri setiap yang terlibat dengan smart circle (samada naqib  atau anak buah) ialah hormat menghormati dan fahami peranan masing-masing.
  • 3 rukun utama yang mesti di laksanakan dalam setiap smart circle : TA'ARUF, TAFAHUM, TAKAFUL. Taaruf bermaksud saling berkenal-kenalan. jadi setiap ahli dalam smart circle itu mesti berusaha untuk mengenali sesama mereka dari hati ke hati. Tafahum pula bererti saling memahami antara setiap ahli dalam smart circle agar dapat diwujudkan keserasian dan kemesraan. ini akan dapat memudahkan lagi gerak kerja dakwah pada masa depan apabila masing-masing sudah faham dan tahu dengan kelemahan dan kelebihan diri serta apa yang disukai dan tidak disukai oleh ahli lain. dan Takaful pula yang berasal dari perkataan kaffala yang bermaksud menjamin memberi pengertian saling memelihara nasib sesama ahli smart circle terutamanya agar tiada yang terbiar atau terlantar. ini akan dapat dilaksanakan dengan sikap suka membantu, saling bertanya khabar, ziarah menziarahi, dan saling membuat kebajikan setakat kemampuan.
  • Sebagai manusia yang bergelar orang muda atau pemuda dan pemudi yang menjadi harapan agama, bangsa dan negara adalah mesti untuk  kita memilik 4 komponen penting iaitu : IMAN, IKHLAS, SEMANGAT DAN AMAL. iman itu dasar segala sesuatu kerana kepercayaan yang jitu kepada Tuhan akan menjadikan hati kita ikhlas dan mendorong semangat yang tidak akan luntur dalam usaha untuk mengamalkan ilmu dan berkongsi dengan manusia lain. jika kurang salah satu dari empat komponen ini, maka kuranglah nilai yang yang ada pada seorang pemuda / pemudi Islam.

gambar ini sekadar hiasan

Smart circle ini diadakan untuk diambil manfaatnya oleh setiap yang terlibat. Pihak yang menganjurkan dan mengorganisasi aktiviti ini tidak mendapat sebarang habuan pun melainkan hanya berharap pada pahala Tuhan yang Maha Mengetahui akan perlakuan hamba-hambaNya. Mudah-mudahan aktiviti ini diterima baik oleh semua penghuni. Walaupun majlis forum ini hanya dihadiri oleh 1/3 daripada jumlah penghuni wanita dan mungkin 1/6 penghuni lelaki, saya mengharapkan agar aktiviti smart circle ini nanti akan disertai oleh semua penghuni dan masing-masing dapat mengaktifkan diri untuk sama-sama menyumbang dalam smart circle nanti. Moga setiap amalan kita yang ikhlas diterima oleh Allah s.w.t. dan diberikan ganjaran olehNya.

>BE SMART, JOIN SMART CIRCLE! & USE SMARTVOIP<  (*,*) tumpang promosi kejap..

    Selasa, 17 November 2009

    IT'S COMMON SENSE

    Most people fail to practice common senses in their daily life matters. For example, in a meeting, it is not appropriate to talk to someone with a strong voice while at the same time someone else is talking to give his opinion. It shows that you do not have manners in a meeting. If you want to give your opinion, speak clearly to all the meeting's members. Do not talk so loud in the offensive.

    I was involved several times in meetings that have members talk to each other with their loud voice affecting the meeting. I hate such members like that. Sometimes also occur in meetings which involve men and women, men only discuss certain issues between them without involving women. I think it is better if they just discuss among themselves if they do not want to involve women members. And one that I mostly do not like is when an issue arises that is not discussed but "talk back later". What purpose the meeting was made if you want to talk later back?

    Waw, this entry seems to express dissatisfaction. That's what happen when we save all the dissatisfaction in the hearts by ourselves. It is better if we speak it up so it does not become the poison that will damage the heart.

    Moral : Learn manners and learn the ethics how to behave in a meeting. Furthermore as a Muslims we are suppose to act like what the Prophet has taught us and as a Malay people, we have manners and courtesy. And do not feel resentful or unhappy for a long time. Let it out at the right place, time and to the right person.  If all the negatives things are just kept in your heart, finally the volcano will explode.
     




    ::translated with the help from Google, thanks to technology::



                                                                      gambar sekadar hiasan
                                                               Ustaz Azhari (warden kedua DMAK)

    Sabtu, 14 November 2009

    KYO WA WATASHI NO TANJOUBIDESU



    Today is just another day,
    That comes and goes,
    From dawn to dawn.
    Today is not like yesterday,
    Today is a special day,
    A day to be grateful to Him,
    For everything that I have until today.

    A day to thanks those special people,
    Who made me as I am today.
    Life is sometimes easy,
    And often hard.
    But each day that pass by,
    Will always be face with a bright smile,
    Until the day I die.
    insya-Allah



    A LOT OF THANKS AND APPRECIATION TO BELOVED MOM AND DAD WHO NEVER STOP LOVING AND CARING EVEN AFTER A LONG TIME.

    A VERY THANK YOU TO THOSE WHO WISH ME TO HAVE A HAPPY DAY.

    Khamis, 12 November 2009

    BERHATI-HATI

    Saya menerima e-mel yang agak mengejutkan.  Jadi, saya kongsikan dengan semua dengan harapan untuk saling mengingatkan agar kita tidak melakukan sesuatu yang salah samada dalam keadaan kita tahu ataupun jahil. Mudah-mudahan bermanfaat. Petikan e-mel adalah sepereti berikut :





    TABIK SETAN/ Satanic  Salute
     

    Horned God Represents the horned god of witchcraft. Pan or Cernunnos. Note the thumb under the fingers and given by the right hand.



    Horned Hand The sign of recognition between those in the Occult. When pointed at someone it is meant to place a curse. Note the thumb over the fingers and given by the left hand.



    Witch Sign or Moon Sign Used to salute the rising moon. Also used by surfers and football teams. This is the sign that the furor should be using to indicate the "Hook Um" horns, Not the 2 above


    Anton LaVey, leader and founder of the Church of Satan .
    Above: Anton LaVey, founder of the Church of Satan and author of The Satanic Bible, displaying the "Horned Hand" (also called the "satanic salute" and Il Cornuto) with his left hand, on the back cover of The Satanic Bible.


    A Satanic Ritual
    Above: (Satanists making the "Satanic salute" to an altar displaying the Goat of Mendes or Baphomet, to acknowledge their allegiance to Satan, during a Satanic ritual.)


    Above, from the Satanic Bible: The ‘Satanic Salute’, Horned Hand or The Mano Cornuto is a signal of allegiance between members of Satanism to their ‘horned god’, a sign of recognition and allegiance.



    Artis2 MELAYU ISLAM....JUGA SAMA...!!!



    Kesiannn... tengok mereka-mereka ni semua...
    yang tak tahu apa maksud 'sign' yg mereka tunjukkan & main suka2 ikut sahaja......




    p/s : teringat sebelum ini saya pernah dapat makluman yang tarian 'poco poco' itu mengandungi unsur-unsur kristian kerana gerakannya yang seakan kita membentuk salib. benar atau tidak, saya tidak tahu. apa sekalipun saya berharap agar kita dapat mengelakkan semua perkara yang diragui ada unsur-unsur syirik. berjaga-jaga itu lebih baik kerana perkara-perkara itu bukanlah suatu yang akan merugikan kita jika ditinggalkan.

    Rabu, 4 November 2009

    BERMULA TUGAS BARU

    Hasrat di hati sentiasa ada untuk menulis. Tak pernah sekali rasa jemu. Banyaknya peristiwa yang berlaku dan kepelbagaian pengalaman yang ditemui menjadikan akal sentiasa menghasilkan idea-idea menarik untuk di masukkan sebagai entri. Akan tetapi, cetusan idea-idea tersebut tidak mampu menggerakkan jari-jari untuk menaip sesuatu. Ya benar, menulis memang tidak sukar. Apa yang sukar adalah mengarang. Menulis boleh saja mengikut hati. Tapi mengarang mesti mengikut akal. Jika menulis mengikut kata hati semata, maka saya sendiri jadi bosan dan meluat dengan tulisan sendiri. Maka sebab itu, saya lebih senang tidak mengupdate entri baru daripada menulis sesuatu yang tidak memuaskan hati atau menyakitkan hati.

    Apapun, saya perlu untuk memberikan respon untuk entri saya mengenai SPR di DMAK. Pilihanraya diadakan pada Jumaat lepas (30/10/2009) bermula dari 8.30 pagi hingga 4.0 petang. Tidak kesemua yang turun membuang undi. Peratusan yang disebut oleh Mushrif  pada malam itu membuktikan bahawa lelaki adalah tidak profesional dan tidak mengambil cakna tentang persekitaran mereka berbanding wanita. (Maafkan saya wahai lelaki ye. Walaubagaimanapun, kenyataan saya ini tidaklah tertakluk pada semua lelaki kerana masih ada lagi lelaki yang bersikap profesional) Keputusan pilihanraya diumumkan pada malam yang sama pukul 7.30 malam.

    Rabu, 21 Oktober 2009

    KEAJAIBAN



    Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Tiada yang mustahil bagi-Nya.

    Rabu, 14 Oktober 2009

    SPR DMAK



    Buat kali pertamanya, ahli Jawatan kuasa Penghuni (JKP) Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah bakal dibuat melalui proses pencalonan dan pemilihan, bukan lagi secara lantikan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

    Gerak kerja SPR ini akan bermula sekitar 14/15 Oktober ini. Sekiranya ramai calon yang dicalonkan sehingga melebihi kuota, maka tentulah pilihanraya akan diadakan pada 30 Oktober.

    :: i'm sure everyone is looking forward into this ::

    Rabu, 7 Oktober 2009

    PURDAH @ NIQAB


    Apa saja berita yang dengar, kita mesti melihat atau mendengar kepada setiap pihak yang terlibat.. berita di atas adalah apa yang keluar dalam akhbar di Malaysia. Klik sini dan sini untuk melihat berita yang keluar di Mesir.


    Hayati Firman Tuhan :


    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ



    Maksudnya : Wahai orang-orang yang Beriman, apabila datang seorang fasiq dengan membawa suatu informasi maka periksalah dengan teliti agar kalian tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum karena suatu kebodohan, sehingga kalian menyesali perbuatan yang telah kalian lakukan

    (al-Hujurat:6)


    Sabtu, 3 Oktober 2009

    PERKENALAN PERTAMA

    Saya terkenang saat-saat semasa saya mula-mula tiba di bumi Mesir ini. Saya bertolak 2 hari selepas saya genap berusia 20 tahun. Tapi, bukan itu yang nak saya perkatakan.


    Ketibaan saya sangatlah lambat dari pelajar-pelajar baru yang lain. Saya tidak kenal sesiapa sebelum datang ke Mesir. Apa yang saya ada hanya doa dan restu dari mak abah. Maka perjalanan hidup saya di Mesir bermula dari zero.



    Apa yang menjadi kenangan manis dalam hidup saya ialah semasa saya mula tiba di Mesir, disambut oleh exco atau AJKT KPIPM pada waktu itu. Saya ditempatkan di syaqah 7 bersama dengan seorang lagi pelajar yang datang bersama saya. Waktu itu bulan puasa. Cuaca pada waktu itu adalah musim sejuk.



    :: Wajah Wisma Darul Ridzuan sewaktu saya tiba ::


    :: Wajah Wisma Darul Ridzuan pada tahun 2009 setelah diislah ::

    Seminggu pertama saya di Mesir, saya hanya berehat. Saya tidur dan bangun untuk makan sewaktu sahur dan berbuka. Kemudian selepas bersembang barang sedikit, saya tidur semula. Begitulah indahnya pengalaman pertama saya di Mesir. Saya amat berterima kasih pada exco-exco KPIPM pada waktu itu yang banyak membantu saya. Tanpa mereka, entah apa yang terjadi pada saya. Begitulah untuk tahun berikutnya, saya pula terlibat dalam gerak kerja untuk menguruskan sambutan pelajar-pelajar baru.


    Sekarang saya hanya terlibat menguruskan penempatan untuk pelajar-pelajar perubatan yang datang ke Mesir. Tak banyak mana pun kerja saya.


    Apabila mengenangkan pengalaman semasa mula-mula tiba di Mesir, saya jadi kasihan melihat pelajar-pelajar baru yang
    di bawah tajaan Yayasan Terengganu. Semasa saya menemui mereka, apa yang mereka tanyakan ialah "akak, kat sini boleh basuh baju?" Kasihan mereka. Seminggu pertama tiba sudah dibawa menjelajah Mesir. Bersyukur saya kerana saya tidak melalui apa yang mereka lalui. Namun, apa yang pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkin ini caranya Allah mengingatkan saya agar tidak mengabaikan KPIPM yang telah banyak membantu saya seawal mula saya menjejakkan kaki di bumi kinanah ini. KPIPM juga yang telah memberi saya pelbagai ilmu berkaitan organisasi, pengurusannya dan juga ilmu komunikasi sesama manusia.


    Mudah-mudahan Allah pelihara kesatuan anak-anak Perak di
    Mesir di bawah naungan KPIPM. Selamat kembali ke kuliah buat semua sahabat-sahabat di Mesir dan selamat datang ke bumi Anbiya' buat semua pelajar baru. Semoga permusafiran ilmu kita di bumi ini menjadikan kita insan yang lebih baik dari sebelum kedatangan kita ke sini dan kembalinya kita nanti dapat pula menyumbang bakti dan tenaga kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara tercinta..


    :: p/s: saya masih belum berkesempatan menjenguk rumah baru Perak yang dengarnya dipanggil Wisma B. moga nanti dilapangkan masa untuk ke sana, Amin ::

    KESATUAN, KERJASAMA, KASIH SAYANG

    Apa yang bakal saya nyatakan hanyalah pandangan saya yang kurang ilmu, kurang tahu, dan kurang kaji. Namun, tidak semestinya pandangan saya ini salah walaupun ia juga tidak seharusnya betul.


    Sesuatu yang saya pasti, kita adalah umat yang sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai umat Baginda Muhammad s.a.w. Namun apa yang menyedihkan dalam realiti umat Muhammad kini ialah kita seolah telah membuang tuah itu dari diri kita.


    Masyarakat Arab bermula sebelum kemunculan Baginda s.a.w. lagi telah memiliki suatu sikap perkauman atau asobiyah yang sangat kuat. Namun, setelah kemunculan Baginda s.a.w. masyarakat Arab pada waktu itu bersatu dengan. Baik yang memeluk Islam mahupun yang menentang. Umat Islam waktu itu disatukan di bawah kalimah tauhid, disaudarakan antara Ansar dan Muhajirin sehinggakan mereka sanggup berkorban untuk saudara seakidah. Pihak musyrikin Mekah pula bersatu tanpa mengira puak demi untuk menghentikan dakwah Baginda s.a.w. yang menyeru kepada Islam. Perang Ahzab atau juga dinamai Khandaq menjadi bukti.


    Masa berlalu, dan umat Islam kini bukan lagi seperti dahulu. Kekuatan kita sudah tiada lantaran kita dipisahkan oleh rasa nasionalisme yang lebih menebal dari persaudaraan Islam. Maka, apa yang menimpa saudara seIslam di Palestin tidak begitu diambil peduli oleh umat Islam di negara lain. Bukan tiada yang prihatin, namun berapalah saja jumlahnya. Itu apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Sedang dalam setiap negara Islam itu sendiri menyaksikan ketidaksatuan antara masyarakat Muslimnya.




    Merenung pada politik tanahair, adakala timbul rasa muak apabila membaca berita tentang pergeseran antara parti politik orang-orang Melayu Islam. Namun untuk tidak mengambil peduli bukanlah juga satu sikap yang bijak kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda : " man la yahtammu bi amril muslimin falaisa minna "

    Yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak mengambil tahu perihal saudara muslimin yang lain, maka dia bukan dari golongan kami.


    Kembali kepada bumi kinanah yang menjadi saksi kedatangan ribuan rakyat Malaysia. Saya yakin bukan mudah untuk menyamakan fikrah antara ribuan yang ada itu. Dengan latar belakang dan pengalaman yang pelbagai, saya pasti setiap mahasiswa Malaysia di bumi Mesir mempunyai pemikiran dan ide yang berbeza. Lalu muncullah pelbagai jenis persatuan di kalangan mahasiswa kita. Ada yang sudah lama kukuh bertapak, ada juga yang baru setahun jagung usianya.


    Saya buntu memikirkan perbezaan fikrah antara mahasiswa kita telah mewujudkan fenomena ketidaksatuan yang hanya merugikan mahasiswa kita sendiri. Suatu yang menyedihkan apabila yang satu menganggap yang satu lagi sebagai musuh. Saya mungkin tidak memahami perkara-perkara atau peristiwa yang berlaku. Namun saya yakin, tindakan menganggap atau mengelar mereka yang berbeza fikrah dengan kita sebagai musuh adalah tidak tepat lantaran kita umat Islam adalah bersaudara. Dan saya jadi sayu bila memikirkan andai Baginda s.a.w. masih hidup dan melihat situasi ini, pasti Baginda bersedih. Lalu, apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah s.w.t. apabila ditanya di Akhirat nanti?


    Saya tidak rasa untuk melebihkan atau membenarkan mana-mana pihak kerana saya yakin kita sebagai manusia tidak lepas dari melakukan silap dan salah. Sehebat manapun kita, atau seberapa lamapun usia bukan ukuran atau jaminan bahawa kita sentiasa di pihak yang benar. Ada masa dan ketikanya kita tersilap dan tersalah dalam membuat penilaian dan tindakan. Sikap selalu merasakan diri sendiri itu betul dan orang lain sentiasa salah bukan tindakan yang baik. Mungkin ada baiknya jika kita renungkan punca dan sebab mengapa setiap peristiwa itu berlaku.


    What goes around, comes around. Kadang apa yang berlaku kepada kita adalah disebabkan apa yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Maka, jika orang lain menyusahkan kita atau menganiaya kita, itu mungkin kerana kita pernah berbuat perkara yang sama kepada seseorang yang lain. Dan jika tidak, itu tandanya Allah menguji kita dengan ujian-Nya yang dalam pelbagai cara. Pasti nanti, Allah membalas kita atas kesabaran kita menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Satu prinsip yang selalu saya pegang; biarlah orang lain hendak berkata tidak baik atau membuat jahat atau menyusahkan kita, apa yang penting kita menghadapinya dengan kebaikan. Jadilah seperti pohon epal yang dibaling batu, namun dibalas dengan buah epal dan bukan batu. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah biasa, sedang membalas kebaikan dengan keburukan adalah zalim namanya. Dan membalas keburukan dengan keburukan adalah patut, namun membalas keburukan dengan kebaikan itulah keluarbiasaan dan tanda kehebatan seorang insan.


    Mohon maaf bicara yang tersalah, kata yang tersilap. Moga ada kebaikan dan kebenaran dalam apa yang dinyatakan agar masa yang diluangkan tidak menjadi kerugian.


    Siru ‘ala barakatillah..


    Selasa, 15 September 2009

    ANTI-MASYARAKAT

    :: Gambar sekadar hiasan ::


    Assalamualaikum,

    Ada satu situasi yang ingin saya bawakan :
    Katakanlah anda dan kawan-kawan atau jiran-jiran sepakat untuk membuat majlis berbuka puasa. Maka anda semua kumpullah duit seorang sikit dan sama-sama gotong-royong memasak. Akan tetapi, ada seorang kawan/jiran anda itu yang tidak mahu turut serta. Tak mengapalah, ikut suka dialah kan. Takkan kita nak paksa pula. Kemudian, bila dah siap masak dan masuk waktu Maghrib, kita pun solat setelah berbuka dengan kurma. Tup-tup masa nak makan makanan yang dimasak tadi, satu pinggan dah kosong. Pelik bin ajaib. Semua orang solat tadi dan sebelum tu memang belum ada sesiapa yang menyentuh makanan itu. Rupa-rupanya hamba Allah yang tak mahu ikut sama dengan kita tu dah tapau makanan tu bawa balik ke rumah dia.

    Ha, apa perasaan anda?

    Marah. ye, saya marah. Mungkin itu perkataan yang sebenarnya walau dalam benak cuba untuk menafikan rasa 'marah' itu. Tapi, bulan Ramadhan ini bukan bulan untuk melayan rasa marah apa lagi menurut rasa marah itu. Rasulullah pernah berpesan :
    Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)
    Maka, puasa ini bukan sahaja medan untuk kita menahan diri dari makan dan minum, bahkan lebih dari itu. Ramadhan adalah medan untuk kita melatih diri dengan menahan dan mengawal rasa-rasa yang mazmumah. Apabila rasa-rasa itu dapat kita kawal, ertinya puasa kita telah berjaya dan Insya Allah kita akan menjadi mukmin yang bertaqwa.

    Saya sungguh pelik bagaimana seorang manusia itu boleh hidup tanpa bermasyarakat dengan manusia lain di sekelilingnya. Hidupnya hanya berlegar di dalam rumahnya. Makan, tidur dan semuanya di situ. Tidak ke surau / masjid bersolat jemaah. Tidak menolong kenduri kendara. Tidak menghadiri program / aktiviti yang dianjurkan. Pendek kata, dia dan dunianya sahaja. Orang lain baginya tiada kena mengena dengan dia. Rugi sekali orang yang begini. Sudahlah dia tidak menyumbang kepada masyarakat sekitarnya, bergaul apatah lagi. Tapi, bila ada suatu manfaat yang dia hendak dari masyarakat itu, dia ambil secara senyap-senyap atau istilah kasarnya ‘curi-curi’.

    Beberapa tahun berada di alam kampus, saya banyak terlibat dalam penganjuran sesuatu program atau aktiviti (taklah banyak sangat macam orang lain, sikit-sikit je). Dan saya pernah hadapi situasi program yang mendapat sambutan hebat dan kurang mendapat sambutan. Namun, semua itu mungkin berlaku kerana kelemahan dan kekurangan yang pada pihak yang menganjurkan. Namun apa yang mengecewakan ialah apabila ada manusia yang tidak mahu langsung melibatkan dirinya dengan sebarang aktiviti dan program masyarakat setempat. Baik semasa waktu pengajian, peperiksaan, kerja atau cuti.

    Mereka yang begini tidak menguntungkan atau merugikan kita tapi menyakitkan hati kita. Bayangkan bila ada aktiviti yang ada makan-makan. Semasa program dia tiada. Tapi masa makan dialah yang dulu ‘tapau’ bawa balik. Bukannya nak makan bersama-sama dengan orang lain. Saya tidak ingin mengata atau menuding jari menyalah sesiapa. Namun permasalahan ini adalah suatu yang patut kita risaukan.

    Saya lebih suka muhasabah diri sendiri apabila menghadapi karenah manusia yang pelbagai dan menyakitkan hati. Ini kerana saya berpegang pada frasa Inggeris yang berbunyi : what goes around, comes around. Maksudnya apa yang pernah kita buat pada orang lain mungkin nanti akan dibuat oleh orang lain pada kita. Memang saya sedar kelemahan diri saya sendiri yang tidak ‘bermasyarakat’ sangat di tanah air. Seharian kehidupan saya kalau cuti di rumah hanya terhad di dalam rumah sahaja. Buat kerja rumah, menonton, sembang, atau apa sahaja. Jarang sekali saya melibatkan diri dengan jiran-jiran lain. Berbeza situasi saya di sekolah dan kampus. Mungkin kerana perbuatan saya yang menjadi ahli yang pasif dalam masyarakat di kawasan perumahan, saya menghadapi karenah manusia seperti itu di tempat pengajian.

    Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan dan selesaikan ialah bagaimana untuk melibatkan ahli-ahli komuniti yang pasif ini ke dalam masyarakat? Sebelum itu ada baiknya kita selidik punca dan sebab yang mencetus sikap ‘pasif dan berkurung’ golongan ini.
    1. Kurangnya keyakinan diri pada pandangan saya menjadi faktor terbesar. Mereka ini mungkin punya hasrat untuk bersama dengan masyarakat namun terhalang oleh sifat inferiorty complex yang menguasai diri. Rasa takut sekiranya apa yang mereka lakukan diketawakan atau dimarah oleh ahli masyarakat yang lain.
    2. Pengalaman pahit yang pernah dilalui dalam masyarakat. Mungkin mereka pernah diejek akibat fizikal atau penampilan diri sehingga menyebabkan mereka berasa marah atau kecewa lalu menjauhkan diri dari orang lain.
    3. Tiada rasa atau kemahuan ingin bergaul dengan masyarakat. Ini adalah penyebab yang paling sukar untuk diubah. Dua faktor di atas mungkin boleh dibantu oleh masyarakat namun faktor yang akhir ini mungkin payah. Persepsi bahawa dia tidak memerlukan kepada orang lain dalam kehidupan adalah suatu pandangan yang salah. Kita lahir ke dunia pun disambut oleh doktor ataupun jururawat. Malah bila mati nanti pun kita perlukan orang untuk menguruskan jenazah kita. Lainlah kalau mati nanti dia boleh uruskan jenazah diri sendiri dari mandi, kapan sampai kebumi.
    Maka apakah solusi untuk kita mengatasi masalah ini?

    1. Cuba ajak mereka secara baik untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Mungkin buat permulaan sebagai pemerhati. Lama kelamaan apabila sudah ada keyakinan dan keseronokan, mereka tidak akan malu untuk bermasyarakat.
    2. Ziarah ke rumah mereka sambil membawa makanan. Tanyalah khabar atau perkembangan dirinya. Tanyakan juga sekiranya dia memerlukan bantuan atau sumbangan dari ahli masyarakat yang lain. Tunjukkan keprihatinan dan kesediaan kita untuk membantu.
    3. Jangan perli atau sindir mereka samada secara berdepan atau 'di belakang'. Tindakan ini hanya akan menjauhkan mereka dari kelompok masyarakat.
    Ini hanyalah sekadar pandangan saya yang masih lagi belajar memahami karektor manusia yang pelbagai dalam usaha untuk mendepani dunia yang lebih mencabar di tanah air nanti. Mudah-mudahan apa yang betul itu, sekiranya ada akan memberi manfaat kepada sesiapa jua. Dan jika ada antara kalam saya yang tersalah atau melanggar syariat Allah atau mengguris hati sesiapa, saya mohon keampunan dan kemaafan.

    Siru 'ala barakatillah..


    Rabu, 9 September 2009

    TAZKIRAH RAMADHAN (2)


    Salam semulia Ramadhan,

    Sahabat-sahabat yang dikasihi,

    Dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, Allah s.w.t berfirman :


    كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ


    Maksudnya : kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).


    Kita patut merasa bangga kerana Allah telah menjadikan kita sebagai sebaik-baik umat yang ada di muka bumi. Namun gelaran sebaik-baik umat itu ada syaratnya. Iaitulah apabila kita menyuruh kepada yang ma’ruf (kebaikan) dan kita mencegah segala bentuk kemunkaran dan kita beriman kepada Allah s.w.t. Maka, sekiranya tiga tugas asas ini tidak kita laksanakan tidak layaklah kita untuk digelar sebagai khaira ummah.


    Namun di sana ada sesuatu yang masih perlu kita renungkan. Tidak cukup bila kita hanya memegang pada ayat ini sahaja. Kita perlu memahami al Quran kesemuanya.


    Dalam surah as Shaff ayat ke tiga, Allah s.w.t berfirman :


    كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ


    Yang maksudnya : amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.


    Dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “akan dibawa datang seorang lelaki lalu dicampakkan ke dalam neraka.Lalu neraka ia berkisar dengan alat pengisarnya.Lalu ia dikelilingi oleh ahli neraka yang lain dan mereka berkata: Wahai Fulan,bukankah engkau yang menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang kemungkaran?Maka dia menjawab : Aku menyuruh orang berbuat baik tapi aku tidak melakukannya dan aku melarang orang melakukan maksiat tetapi aku sendiri melakukannya.”


    Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,


    Marilah kita renung kembali apa tugas kita dihantar Allah ke bumi kinanah ini? Allah mahu kita mengutip sebanyak mungkin ilmu yang ada di bumi ini dan nanti pulang ke negara kita, kita dapat memberikan pula ilmu kita itu dengan orang lain.


    Inilah yang telah difirmankan Allah dalam surah at Taubah ayat 112 :


    وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ


    Yang bermaksud : dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).


    Maka, tugas kitalah sebagai khaira ummah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan melarang dari kemunkaran. Dan janganlah kita menjadi orang yang ‘cakap tak serupa bikin’ kerana Allah sangatlah murka dengan orang yang berperangai begini. Dan dalam usaha kita untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemunkaran, mahu atau tidak kita perlu memiliki ilmu agama khususnya. Adalah tidak wajar sekiranya kita bercakap tanpa ada asas ilmu yang kukuh. Maka kitalah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. supaya mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama agar nanti pulangnya kita sebagai dai’e yang dapat memberi pengajaran kepada mereka yang tidak mengetahui.


    Mudah-mudahan kita akan menggunakan peluang dan kesempatan yang Allah berikan kepada kita sepanjang kita berada di ardhil kinanah ini dengan berusaha memenuhkan dada kita dengan ilmu yang sebanyak mungkin untuk kita kongsikan kembali apa yang telah kita dapat itu dengan masyarakat yang sangat memerlukan. Sama-sama kita berusaha untuk menjadi ilmuan agama yang benar-benar faqih dalam urusan agama khususnya tanpa kita melupakan ilmu-ilmu dunia yang juga tidak kurang pentingnya dalam kehidupan kita pada hari ini. Moga Allah membantu kita dan memudahkan kita dalam perjuangan ini agar nanti kita dapat membentuk khaira ummah seperti yang telah disebut dalam al

    Quran.

    Siru ‘ala barakatillah..