Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Jumaat, 27 November 2009

MUHASABAH AIDIL ADHA

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA..KULLU AM WA ANTUM TOYYIBIN


Hari Raya Aidil Adha yang juga kita sebut Hari Raya Korban menjadi simbolik pada suatu perkara yang paling besar dalam kehidupan, iaitu pengorbanan. Apabila disebut pengorbanan, ada sebuah lagu yang secara automatik terlintas di fikiran saya.

P. Ramlee

Berkorban Apa Saja

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Kepentingan sendiri
Tidak diingini
Bahagia kekasih
Saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati
Itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia


Pengorbanan adalah suatu yang sangat mulia dan suatu perkara besar yang sewajibnya kita hargai dan syukuri. Keberadaan kita di bumi ini khususnya anak-anak perantau di ardhul kinanah ini adalah kerana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kita khususnya. Usah dibicara soal wang ringgit yang sering diminta lewat setiap panggilan telefon mahupun sms. Apa yang lebih besar bagi saya adalah pengorbanan hati dan perasaan. Tanpa pengorbanan hati dan perasaan, segala pengorbanan material bagaikan tiada maknanya.

Ketika Nabi Ibrahim a.s. diilhamkan oleh Allah s.w.t. untuk mengorbankan anakandanya, Baginda telah lebih dulu mengorbankan rasa kasih dan sayang Baginda terhadap Nabi Ismail a.s. demi kerana Tuhan yang diimaninya. Mengorbankan rasa kasihan pada anak yang masih muda demi menuruti perintah Tuhannya. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w. yang mengorbankan rasa cinta terhadap tanah kelahirannya demi untuk sebuah hijrah yang bakal mengembangkan dakwah Baginda.

Berkorban bukan semata kerana ganjaran atau demi kepuasan diri sendiri. Bahkan lebih dari itu, manusia berkorban kerana ingin memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada insan lain seperti kata-kata dalam lirik di atas. Setiap pengorbanan yang dilakukan bukan untuk sembarangan orang, akan tetapi untuk orang yang paling dan amat dicintai. Maka bertuahlah insan-insan yang menerima perngorbanan itu. 

Hari Raya inilah yang sepatutnya kita besarkan dari hari-hari lain. Hari yang mulia ini juga, kita sewajarnya merenung diri dan mengenang betapa banyak pengorbanan yang telah kita terima terutama dari ibu bapa. Sedari kewujudan kita alam rahim lagi, sudah banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita. Setelah lahir, kita dibesarkan dengan pengorbanan yang tidak pernah berhenti. Hinggalah kini, kita perlu sedar bahawa kita lahir dan menjadi dewasa seperti sekarang ini kerana pengorbanan mereka di sekeliling kita terutama ibu bapa. Kadang kita sebagai manusia sering mendabik dada menyebut-nyebut pengorbanan sendiri. 

"saya mengorbankan rasa rindu pada keluarga demi untuk mendapatkan khazanah ilmu di bumi Al Azhar ini."

"saya mengorbankan masa muda saya demi untuk mendapatkan segulung ijazah yang akan lebih menjamin masa depan keluarga saya"

"saya mengorbankan masa lapang saya demi mendapatkan keputusan yang cemerlang"

"saya mengorbankan masa saya demi untuk menjaga kebajikan orang-orang bawahan saya"
Pelbagai lagilah pengorbanan yang konon kita lakukan demi untuk orang lain. Padahal dalam hati hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang salah atau cara yang salah tidak akan menatijahkan hasil yang baik. Kadang ada juga manusia yang silap dalam berkorban. Sanggup mengorbankan masa belajar demi untuk memenuhi kehendak hati yang kepingin jamming di studio muzik? Korbankan duit belanja makan (sanggup makan mee segera sahaja) demi memenuhi keinginan memiliki handphone  yang mahal dan konon canggih padahal kewangan yang ada tidaklah sebanyak mana. FIkirkan sendiri di mana nilai pengorbanan yang sebegitu. Mengorbankan kesihatan diri, mengorbankan hak jasmani yang perlukan makanan berkhasiat, mengorbankan tanggungjawab utama sebagai seorang pelajar adalah suatu yang tidak wajar dilakukan.

Apa lagi sebagai pemimpin yang dilantik oleh orang bawahan. Tidak patut jika seorang yang merasakan tanggungjawab sebagai pemimpin mengabaikan orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya. Sepatutnya seorang yang mengaku pemimpin mengorbankan kepentingan diri dan mendahulukan kepentingan dan kemaslahatan orang bawahan berbanding dirinya. Walaupun begitu, jangan lupa bahawa apa jua bentuk pengorbanan mahupun ithar  yang dilakukan ada tatacara dan kaedahnya dalam agama Islam.

Marah betul saya dengan seorang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan ahlinya, namun mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan ahli. Di sudut mana dalam hatinya yang menghayati erti pengorbanan? Dimana letak rasa tanggungjawabnya jika tidakpun ada rasa kasih dan sayang pada ahlinya? Manusia yang seperti ini wajar disedarkan dengan sebuah hadith yang maksudnya : "seseorang pemimpin itu adalah khadam bagi kaumnya."  

Lalu, muhasabahlah diri dan cuba baiki kelemahan yang ada. Benar sebagai manusia kita tidak lepas dari melakukan salah dan silap. Namun setiap kesalahan yang dilakukan wajar diambil iktibar dan pengajaran. Ingatkan diri agar silap dan salah itu tidak diulangi lagi pada masa depan kerana Rasulullah ada berpesan bahawa orang mukmin itu tidak akan jatuh ke lubang yang sama sebanyak dua kali. Beringatlah selalu bahawa amanah yang dipundakkan di bahu setiap pemimpin itu akan ditanya oleh Allah s.w.t. kelak.

Aidil Adha ini adalah kesempatan untuk mengenang berapa banyak insan yang telah berkorban untuk kita selama ini, mensyukuri nikmat kasih sayang manusia yang menjadi pendorong untuk mereka berkorban demi kita dan merenung diri sendiri apakah pengorbanan yang telah kita beri pada insan-insan yang kita sayang mahupun yang menyayangi kita. Jangan selalu menuntut orang lain untuk mengorbankan sesuatu untuk kita sedang kita berat untuk mengorbankan sesuatu untuk mereka. Dan jangan asyik menyebut pengorbanan yang pernah kita lakukan. Seorang muslim itu sikapnya sentiasa melupakan kebaikan dia pada orang lain dan mengingati kebaikan orang lain padanya.


Salam Aidil Adha. Selamat menghayati ibadah korban. Semoga semua jemaah haji selamat pulang ke pangkuan keluarga tersayang.

Tiada ulasan: