Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Selasa, 30 September 2008

PERUTUSAN HARI RAYA 'AIDILFITRI 1429H


بسم الله
,إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفروه , ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا , من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له , أشهد ونشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا عبده ورسوله , اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد المبعوث رحمة للعالمين وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين, أما بعد

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. atas segala limpahan nikmat yang tidak terhitung. Yang telah menganugerahkan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan ganjaran berganda seterusnya menghadiahkan kita dengan Syawal sebagai hari untuk kita bergembira meraikan kemenangan setelah menjalani ibadah puasa dan segala ujian sepanjang Ramadhan. Selawat dan salam buat Junjungan tercinta yang merupakan contoh teladan terbaik buat seluruh umat manusia.

قال الله تعالى فى كتابه العزيز :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Ali 'Imran : 102)

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Taqwa bukanlah sesuatu yang sedia ada pada manusia itu sejak dia dilahirkan, akan tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dicapai dengan amal ibadah serta kepatuhan kepada Allah s.w.t. Kita semua mahu menjadi Muslim yang bukan sekadar Muslim tapi Muslim yang Mukminin dan Muttaqin. Lalu bagaimana caranya untuk kita memiliki tawqa itu? Antaranya terdapat dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah ayat 183 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Benarlah Kalam Tuhan dalam Al Quran yang menjadi panduan hidup kita sepanjang zaman. Puasa adalah ibadah yang sangat istimewa kerana Allah telah menjanjikan bahawa Allah akan membalas amalan puasa yang hanya Dia yang tahu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi)"

Puasa bukanlah sekadar menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa akan tetapi lebih dari itu, puasa melatih kita untuk berakhlaq mulia dan menjadi hamba yang bertaqwa.Puasa melatih kita untuk bersabar dengan ujian dan cabaran, puasa juga melatih kita untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki di samping melatih kita untuk prihatin dengan insan-insan yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan mereka yang hidup dalam suasana peperangan. Puasa yang sempurna itu adalah dengan menahan jiwa kita dari segala rasa yang tidak baik, sedang puasa yang biasa hanya sekadar menahan rasa lapar dan dahaga. Lalu pada pagi yang mulia ini sama-sama kita renung kembali di mana letaknya puasa kita?

Sahabat-sahabat,

Hari raya 'Aidil Fitri adalah hari untuk kita meraikan kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan melawan dan menundukkan nafsu. Orang-orang beriman yang berpuasa dengan sempurna akan meraikan 'Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan manakala orang-orang yang puasanya sekadar menahan lapar dan dahaga akan meraikan 'Aidil Fitri kerana kegembiraan berlalunya Ramadhan. Keindahan dan kegembiraan sebenar menyambut 'Aidil Fitri hanya akan terasa sekiranya matlamat puasa itu tercapai sepertimana yang terdapat dalam firman Allah tadi iaitu :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ yang bererti "mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Puasa pada bulan Ramadhan terselit maksud yang murni dan perlu kita hayati. Nafsu yang dibendung dengan lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, akal dan jiwa yang disuguhkan dengan Kalam-kalam suci Tuhan, hati yang dibersihkan dengan solat tarawih adakah semuanya telah kita miliki setelah tamatnya madrasah Ramadhan? Tepuk dada tanyalah iman.

Sahabat-sahabat,

'Aidil Fitri bererti kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru lahir iaitu suci dan bersih dari dosa dan noda. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka, pada hari yang mulia ini marilah kita kembali kepada fitrah dengan menyucikan diri, jiwa, dan hati kita dari segala sifat yang tidak baik. Manusia memang fitrahnya sukakan yang baik dan bencikan yang sebaliknya. Jadi, bersama-samalah kita bersalam dan bermaafan. Hapuskan segala hasad dan dengki, leraikan segala persengketaan, maafkan segala kesilapan dan kesalahan insan. Agar hidup kita nanti penuh damai dan bahagia.

Dalam masa yang sama marilah kita mengeratkan ukhuwah sesama kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan manusia dan tidak membezakan antara kita. Kita umpama sebuah bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain sepertimana sabda Nabi s.a.w. yang telah kita maklumi. Umat Islam umpama satu jasad yang bersambung antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab dan saling bertolong bantu dalam urusan dunia dan juga agama Islam bak kata peribahasa Melayu : cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Moga-moga dengan semangat ini akan menjadikan kita insan yang bertaqwa.

Sahabat-sahabat,

Hari raya adalah hari kemenangan, hari untuk kita mengucapkan syukur atas segala nikmat, hari untuk kita saling ziarah menziarahi, hari untuk kita merapatkan persaudaraan dan hari untuk kita bergembira. Namun, sebagai Muslim bagaimanakah cara yang sebenarnya meraikan hari raya? Di Malaysia, pada hari raya umat Islam disogokkan dengan pelbagai jenis rancangan hiburan samada filem, drama, konsert dan sebagainya. Lalu anak-anak muda lebih banyak menghabiskan masa di depan peti televisyen sahaja. Kalaupun ada yang berziarah, masing-masing menanam niat untuk mengumpul duit raya. Aktiviti bermain mercun juga masih berlaku di mana-mana sahaja. Belum masuk bulan Syawal pun mereka sudah berdentum dengan bunyi meriam buluh dan sebagainya. Sebagai insan yang belajar ilmu agama, kita mesti tahu bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita bergembira di hari raya.

Yang paling utama kita membanyakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Kemudian, kita bermaafan sesama insan dan menziarah sanak saudara serta rakan taulan. Bak kata pepatah : yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan. Dalam seronok berziarah, jangan sampai kita lupa adab-adab berziarah yang diajar dalam Islam. Namun, dalam kemeriahan berhari raya kita mesti mengingati juga saudara seagama kita yang berhari raya dalam keadaan yang tidak bernasib baik seperti kita. Seandainya pada bulan Ramadhan kita insaf dan prihatin dengan nasib anak-anak yatim, fakir miskin, dan mereka yang menderita kerana peperangan, maka pada bulan Syawal juga sepatutnya begitu. Bukan pada dua bulan ini sahaja, begitu juga dengan bulan-bulan lain. Amalan sedeqah janganlah hanya hangat-hangat tahi ayam sepanjang Ramadhan sahaja. Jika itu yang berlaku, maka ini menunjukkan bahawa puasa kita tidak mencapai matlamat yang sepatutnya iaitu menjadi orang yang bertaqwa. Begitu juga dalam kita bergembira dengan sahabat-sahabat kita, ingatlah pada mereka yang telah pergi mendahului kita menghadap Ilahi. Walaupun kita berada di kejauhan dan tidak dapat menziarahi pusara mereka, hadiahkanlah Fatihah buat mereka kerana setelah tamatnya Ramadhan, bererti azab kubur akan dijalankan kembali.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Perginya Ramadhan juga bererti tamatlah tempoh tahanan syaitan dan konco-konconya. Lalu beringatlah selalu akan kewujudannya. Jangan sampai kita lalai dan alpa sehingga berlaku pembaziran dalam menyediakan makanan, makan dengan terlalu banyak, berjalan-jalan hingga tertinggal waktu solat, dan lain-lain lagi.

Mudah-mudahan tarbiyah sebulan Ramadhan akan menjadikan kita insan yang beriman, yang bertaqwa, dan insan yang lebih kuat untuk menghadapi segala mehnah dan tribulasi selepas Ramadhan. Pemukiman sementara kita di bumi anbiya' ini perlu dimanfaat sebaik mungkin. Kutiplah segala mutiara ilmu yang ada, penuhi dada dengan memperbanyakkan pengetahuan dalam apa jua bidang serta perkasakan diri kita dengan kemahiran-kemahiran yang penting. Ingatlah selalu tugas dan matlamat sebenar kita datang ke bumi ini. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk memperbaharui azam dan semangat kita bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta amal ibadah kita kepada Allah s.w.t. juga menyungguhkan lagi usaha kita dalam perjuangan untuk menuntut ilmu dan juga meninggikan agama Allah ini supaya Islam dapat ditegakkan sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah As Shaff ayat sembilan yang bermaksud : Dialah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya 'Aidil Fitri, Kullu 'Am Wa Antum Toyyibin. Dari hati yang tulus ikhlas saya mohon kemaafan andai ada sebarang kata-kata mahupun tulisan saya yang menyinggung mana-mana pihak. Sesungguhnya apa yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari diri saya yang kurang sempurna. Hakikat kedua-duanya itu dari Allah dan disandarkan pada diri saya yang lemah ini.

Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba menyampaikan barang serangkap dua pantun untuk sahabat-sahabat:

Beransur pergi Ramadhan mulia,
Sebulan puasa, Syawal pun tiba,
Syahdu takbir menggamit rasa,
Rindu pada yang jauh di mata.

Hari bahagia bulan mulia,
Dirai indah penuh bermakna,
Salah silap diri hamba,
Salam dihulur, maaf dipinta.

Sekian sahaja dari saya.

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد.

Rabu, 17 September 2008

PUASA DI BULAN RAMADHAN MENYUCIKAN ROHANI DAN JASMANI

Puasa adalah cara yang terbaik untuk menyucikan rohani dan jasmani. Allah s.w.t. telah memerintahkan umat Islam dan umat-umat sebelumnya untuk berpuasa.

Firman-Nya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya :Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al Baqarah : 183)

Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan dengan jelas bagaimana seharusnya umat Islam itu berpuasa serta tujuan dan faedah yang diperolehi dari puasa. Penyelidikan saintifik yang dilakukan telah mendedahkan beberapa fakta penting tentang puasa yang membuktikan adanya hikmah di sebalik perintah berpuasa. Ianya bukan sekadar suatu bentuk pengabdian, akan tetapi suatu kaedah penting dalam memastikan kesinambungan kehidupan dan kesihatan manusia.

Tuhan telah memilih bulan Ramadhan yang mulia, yang padanya telah diturunkan Al Quranul Karim, sebagai bulan untuk berpuasa. Dengan kedatangan Ramadhan, umat Islam berasa gembira dan optimis. Mereka menyambut bulan ini sepertimana sabda Baginda s.a.w. (bilamana Baginda melihat anak bulan Ramadhan) yang bermaksud : "Allah Maha Besar! Ya Allah, mulakanlah bulan ini dengan kebaikan, ketaatan, keselamatan dan Islam serta bimbinglah kami ke jalan yang Kau redhai. Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhan kamu semua hanyalah Allah, Yang maha Pemurah lagi Maha Bijaksana"

Pada bulan Ramadhan, ketenangan jiwa dan keimanan bertambah lantaran dari ibadah malam yang berterusan, membaca Al Quran, memuji Allah dan memohon keampunan-Nya. Umat Islam juga mengelakkan dari berbicara hal orang lain, perbalahan, dan perbuatan yang tidak baik. Semua ini bisa sahaja menghapuskan perasaan negatif yang dialami umat Islam yang boleh mempengaruhi kesihatan jiwa dan boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Keimanan yang ikhlas kepada Allah sepanjang bulan mulia ini sebenarnya mempunyai kesan menakjubkan dalam mengubati sebarang kondisi perubatan sebelum ia bertambah buruk.

Puasa adalah suatu bukti keimanan seseorang Muslim. Bila sahaja bulan mulia ini bermula, setiap Muslim telahpun mempersiapkan dirinya secara spiritual untuk menyambut ketibaannya. Hari-hari yang istimewa ini berlalu sehinggalah hari kedua puluh Ramadhan. Pada waktu ini, umat Islam memperuntukkan setiap masanya untuk beribadah di masjid mengikuti amalan yang pernah dilakukan Baginda Rasulullah s.a.w. Ummul Mukminin 'Aishah r.h.a. pernah berkata : "Rasulullah s.a.w. selalu bersolat sepanjang malam semasa sepuluh hari terakhir Ramadhan, dan Baginda selalu mengejutkan seisi rumahnya untuk bersembahyang". Kesungguhan yang jitu dalam menyembah Allah s.w.t. meningkatkan kesucian jiwa dan keupayaannya untuk menerima anugerah Allah kepada hamba-hambaNya. Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan diampunkan semua dosanya."

Dari aspek lain, puasa dianggap sebagai satu kaedah perubatan untuk membersihkan tubuh badan dari sebarang lebihan ataupun bahan toksid atau saki-baki makanan yang tidak diperlukan. Natijahnya, banyak jurnal perubatan mengiktiraf puasa sebagai suatu kaedah rawatan nutrisi. Seseorang Muslim itu berpuasa kira-kira 12 hingga 16 jam sehari, bergantung kepada musim samada musim sejuk, panas, bunga atau luruh. Dalam tempoh yang sedikit ini, tahap kandungan gula di dalam darah menurun. Tubuh kemudiannya cuba untuk mencari sumber lain untuk menghasilkan tenaga, lalu menggunakan karbohidrat yang tersimpan di hati. Simpanan makanan ini mampu untuk membekalkan tenaga kepada badan selama enam jam. Selepas ia habis digunakan, tubuh kemudian akan memecahkan simpanan lemak di bawah kulit dan sekitar organ untuk mendapatkan tenaga yang diperlukan. Tubuh juga akan memusnahkan sel-sel yang tidak diperlukan, seperti sel-sel yang tidak sihat, dan dengan demikian menghapuskan bahan-bahan toksid yang terdapat padanya. Proses ini diikuti dengan pembinaan sel-sel baru untuk menggantikan sel-sel yang telah dimusnahkan. Kesemua proses ini memperbaharui unsur-unsur biologi tubuh badan dan menjadikannya lebih efisyen dan bertenaga.

Kebanyakan institusi-institusi kesihatan moden telah mengenal pasti beberapa peraturan asas untuk meningkatkan lagi fungsi tubuh badan. Ini semua bergantung kepada nutrisi ringkas dan menahan diri dari mengambil segala bentuk nutrisi biasa untuk suatu tempoh masa yang tertentu. Mereka mencadangkan supaya hanya mengambil makanan ringkas yang mudah untuk dihadam seperti sayur-sayuran, jus buah-buahan dan minuman panas. Pakar nutrisi juga mencadangkan diet nutrisi ini diamalkan selama tujuh hari sebanyak dua kali setahun pada musim bunga dan musim luruh. Ini boleh mengelakkan tubuh badan dari pelbagai masalah kesihatan, terutamanya pada usia tua.

Puasa dalam Islam mempunyai kelebihan tersendiri dimana ia membenarkan mereka yang berpuasa untuk makan apa sahaja pada penghujung hari (kecuali makanan-makanan yang telah diharamkan dalam Islam). Ini membolehkan tubuh badan menggantikan semula tenaga yang telah hilang dan melindungi seseorang Muslim itu dari penyakit-penyakit yang muncul akibat daripada kekurangan zat makanan atau kekurangan vitamin dan garam galian. Ini berlainan dengan jenis-jenis puasa yang lain yang berlanjutan untuk tempoh masa yang lama, seperti vegetarian yang hanya bergantung semata-mata kepada sayur-sayuran untuk mendapatkan nutrisi.

Justeru, kita dapat melihat bahawa kaedah puasa dalam Islam mengambil kira faedah kepada tubuh badan manusia dan juga kesihatan serta kesucian jiwa. Ini akan memastikan tubuh badan sentiasa bertenaga dan aktif. Sesetengah orang yang jahil percaya yang puasa boleh menyebabkan kelesuan dan anemia. Tanggapan ini salah sama sekali, memandangkan puasa hanya meninggalkan kesan baik kepada Muslim.

Allah berfirman :

وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al Baqarah : 184)

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat istimewa kerana pada bulan inilah Al Quran diturunkan untuk menjadi panduan manusia ke jalan yang benar. Wajar sekali kita mengkaji firman Allah :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا


Maksudnya : (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?


(Muhammad : 24)

Dan juga firman Allah :

أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً

Maksudnya : Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya. (An Nisa' : 82)

Adalah suatu perkara yang biasa di mana keupayaan seseorang Muslim untuk memahami ayat-ayat Al Quran itu berbeza antara satu sama lain, disebabkan oleh perbezaan tahap ilmu pengetahuan pada zaman yang berbeza dan perbezaan intelek.


Terjemahan dari artikel bertajuk "Fasting in Ramadhan Purifies the Soul and Body…!" oleh Dr. Ahmad Fouad Pacha dalam majalah Al Azhar bulan Ramadhan 1429H.

Isnin, 8 September 2008

UJIAN RAMADHAN

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud “Adakah manusia menghitung mereka akan ditinggalkan begitu sahaja setelah mereka mengaku beriman (kepada Allah) sedang mereka tidak diuji? Maka Kami telah uji mereka (umat) yang terdahulu maka sesungguhnya dengan itu Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang dusta”.

Kehidupan sebagai manusia di muka bumi ini lumrahnya ada susah dan senang, ada turun dan naik, ada suka dan duka, ada derita ada bahagia. Ujian dan cabaran adalah tradisi kehidupan. Sebagai Muslim, kita wajar sekali untuk sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja ujian yang Allah turunkan buat kita. Setiap apa yang berlaku telahpun tercatat di Luh Mahfuz, maka kuatkanlah iman dan ingatlah selalu akan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar. Sabar dan redha dengan segala ujian yang menduga adalah sikap utama seorang Muslim. Setiap ujian yang datang ada hikmah yang tersimpan. Mungkin akal kita tidak terjangkau, tapi yang pasti Tuhan itu tidak menzalimi hambaNya.

Ramadhan yang lalu saya sekeluarga kehilangan nenda Hassan Shaari yang telah dijemput menghadapNya pada 26 Ramadhan. Sambutan raya pada tahun lalu kurang meriah pastinya. Tahun ini kami kehilangan pula datuk saudara saya. Walaupun tidak begitu akrab dengannya, namun kehilangannya tetap terasa. Namun ujian yang lebih hebat saya rasakan apabila sepupu saya angah Izah yang masih remaja telah disahkan menghidap kanser. Saya mendoakan moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan buat Pak Lang Wan sekeluarga sebagai bekal melalui ujian ini. Pagi jumaat awal Ramadhan Bonda menghantar sms mengatakan Angah akan dibedah di Hospital Ipoh. Tadi Bonda memaklumkan Angah disahkan menghidap kanser dan ditukarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia. Buat Angah, syafakillah. Moga Allah menyembuhkanmu dan menganugerahkan nikmat kesihatan yang sempurna. Suatu nikmat yang seringkali kita lupakan untuk disyukuri.

Seseorang insan yang ditimpa kesakitan dan penyakit, bukanlah hanya menderita seorang diri. Orang-orang di sekelilingnya juga akan turut menderita dan merasa payah. Walaupun orang-orang di sekelilingnya tidak merasa ujian kesakitan yang dirasai pesakit, namun mereka turut diuji Tuhan dengan dugaan menguruskan, menjaga dan melayan pesakit. Disinilah pentingnya sabar dan redha. Disinilah terlihat siapa sebenar keluarga kita. Adakah yang datang melawat, meringankan beban, menawar khidmat, menghulur sumbangan, memberi perangsang dan doa pembakar semangat. Disebalik ujian kesakitan, Allah berikan nikmat keluarga yang penyayang dan prihatin. Mudah-mudahan ujian yang ditempuh sepanjang Ramadhan khususnya akan dihadapi dengan kesabaran yang maha besar. Sesungguhnya sabar di atas ujian itu juga akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. Apatah lagi pada bulan Ramadhan yang setiap pahala dilipatganda.

Ibnul Qoyyim rohimahullah mengatakan dalam Madarijus Salikin : “Sabar adalah menahan jiwa dari keluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh serta menahan anggota badan dari berbuat tasywisy (tidak lurus). Sabar ada tiga macam : Sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah, sabar dari maksiat, dan sabar dari cobaan Allah.”

Semua orang tak lepas dari diuji. Sekarang ini di sini kami diuji dengan bantuan dermasiswa zakat yang masih belum ada berita. Kalimah sabar sudah jenuh dilantun. Mujur juga bulan Ramadhan ini rezeki berbuka ada dimana-mana. Di masjid terutama. Sumbangan dari yang berada melimpah mengisi perut menghilang lapar seharian berpuasa. Alhamdulillah, syukur pada Tuhan atas segala nikmat. Benar adakala masalah material ini memang benar-benar menganggu jiwa. Namun keyakinan pada Tuhan itu penguat jiwa kerana penuntut ilmu agamaNya tidak akan terbiar kebuluran. Rezeki pasti ada andai kita benar-benar beriman dan bertaqwa padaNya. Berpeganglah pada janjiNya dalam Surah At Talaq ayat 2 dan 3 :

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangkakannya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepda ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketetapan bagi tiap-tiap sesuatu."

Marilah kita sama-sama berdoa agar Tuhan memberikan kesabaran dan ketabahan yang berterusan dalam mengharungi setiap ujian dan cubaan yang diturunkan. Moga kesabaran kita akan dibalas Tuhan dengan nikmat yang lebih indah pada masa depan. Sepertimana Nabi Allah Ayub yang diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat. Kesakitan yang tidak terbayang oleh kita. Dan akhirnya baginda disembuhkan Allah dan dianugerah dengan segala nikmat yang berlipat ganda dari apa yang pernah dimilikinya sebelum itu. Ramadhan bulan tarbiyah yang penuh hikmah. Mudah-mudahan Tuhan mengampunkan segala dosa kita yang lalu dan memberikan nikmat atas kesabaran kita dalam mendepani segala ujian dariNya. Juga moga ujian dan cubaan itu akan sentiasa mendekatkan kita kepadaNya, bukan menjauhkan kita daripadaNya.

Rabu, 3 September 2008

Memoir Ramadhan

Ramadhan bulan yang penuh keistimewaan. Ramadhan itu sendiri terbentuk dari huruf-huruf yang melambangkan kelebihan yang terdapat padanya. Ra, mim, dan dhod masing-masing membawa pengertian tersendiri. 10 hari yang pertama dilimpahi dengan huruf ra yang bererti 'Rahmat'. 10 hari yang kedua pula dicurahkan 'Maghfirah' iaitu keampunan. Dan 10 hari yang terakhir pula dianugerah dengan 'Dhoman minan nar' iaitu jaminan dari api neraka. Sungguh beruntung sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan pesta ibadah yang sesungguhnya. Bukan sekadar itu sahaja. Kita jangan lupa untuk meninggalkan segala keburukan yang sering berlaku di bulan-bulan lain. Walaupun tentera-tentera syaitan diikat sepanjang bulan mulia ini, namun nafsu yang telah akrab dengannya jangan dipandang remeh.

Sepanjang lima tahun berada di Mesir saya telah tiga kali bertemu Ramadhan. Baki dua kali Ramadhan saya bercuti di Malaysia. Sungguh-sungguh Ramadhan di Mesir berbeza dengan di Malaysia. Kemeriahan menyambut Ramadhan terasa seawal bulan Rejab lagi. Masuk bulan Sya'aban jalanan di Kaherah ini dihiasi dengan lampu-lampu dari yang bersaiz kecil hingga besar.

Ianya seolah-olah suasana di kampung di Malaysia tatkala lampu-lampu pelita dipasang di halaman rumah pada penghujung Ramadhan atau disebut malam tujuh likur. Bezanya di bumi anbiya' ini lampu-lampu ini dipasang sebelum bermulanya Ramadhan lagi. Kemeriahan menyambut Ramadhan terasa dengan ucapan-ucapan dan doa yang sering diucapkan sesama insan. Lain dengan Malaysia yang sibuk dengan persiapan menyambut raya walhal puasa belum bermula. Rakaman program raya, jualan-jualan keperluan hari raya, dan macam-macam lagi. Namun bukanlah semuanya begitu. Saya yakin masih ada yang benar-benar menanti ketibaan Ramadhan dan menghidupkan Ramadhan dengan pelbagai amalan baik yang wajib mahupun sunat. Suasana berbuka dan limpahan rezeki sepanjang Ramadhan hampir sama sahaja di Mesir dan Malaysia. Namun tetap saya merasakan Mesir lebih meriah dengan sumbangan dari mereka yang berada untuk juadah berbuka puasa. Sekarang ini alhamdulillah saya tidak perlu membeli atau memasak makanan untuk berbuka mahupun bersahur. Juadah berbuka yang disedeqahkan oleh orang-orang kaya dan syarikat tertentu ini sudah lebih dari cukup untuk memberi tenaga. Syukur juga kerana sepanjang Ramadhan ini saya yakin tidak akan putus rezeki kerana setiap hari akan makan nasi. Itulah istimewanya Ramadhan kerana bulan-bulan lain pun bukannya setiap hari dapat makan nasi. Adakala mee segera sahaja dimakan buat mengisi perut.Apa sekalipun syukur kerana masih ada rezeki untuk mengisi perut. Saudara-saudara seislam di negara lain kekurangan makanan sedang kita di sini berlimpahan makanan sehingga adakalanya berlaku pembaziran.

Ramadhan bagi saya bulan yang penuh kenangan. Kenangan bersama keluarga paling indah bermain di minda. Entah mengapa Ramadhan kali ini saya begitu rindu pada mereka. Rindu untuk ramai-ramai berbuka dan sahur, rindu pada masakan bonda yang mengikat hati-hati kami, rindu pada suara ayahanda dan bonda yang mengaji Al Quran, rindu pada suara bonda yang mengejutkan kami untuk bangun bersahur. Suara bonda memanggil penuh kasih sayang. Kita tak akan dengar nada itu dari orang lain meski betapa sayang pun kita pada orang itu ataupun sebaliknya. Rindu pada Ramadhan mudah-mudahan sentiasa mekar di hati. Rindu yang akan membuahkan kegembiraan. Seperti hadith yang sering kita dengar, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi)". Moga ibadah puasa kita dan ibadah-ibadah lain akan diterima Allah s.w.t. dan kita nanti akan dimasukkan ke Syurga melalui pintu yang telah Allah khususkan untuk orang-orang yang berpuasa.
Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.”
(Hadith riwayat Bukhari & Muslim)