Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Sabtu, 16 Mei 2009

ZIKIR FIKIR

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.


Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.
Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya.
Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

::sumber:kpipm64yahoogroups::

SELAMAT HARI GURU

16 Mei menjadi satu simbol kepada profesion yang paling mulia bagi manusia. Apa tidaknya, kerana setiap manusia yang berjaya pada hari ini dapat berbuat begitu kerana jasa mereka yang bergelar guru. Mereka adalah ibu bapa kedua kita. Jika tanpa ibu bapa kita tidak akan lahir ke dunia. Namun, tanpa guru kita akan jadi insan yang tidak berguna. Mulianya guru kerana mereka mengajar kita tanpa mengharap sebarang balasan dari kita selain kejayaan untuk diri kita sendiri.

Merenung kepada sejarah hidup saya yang telah berlalu, saya bersyukur kerana saya menjadi saya pada hari ini kerana guru-guru yang pernah mengajar saya. Keberadaan saya di bumi Kinanah ini juga kerana kesungguhan guru yang bukan sahaja mengajar bahkan membantu dalam proses permohonan untuk ke Universiti tertua di dunia ini.

Buat guru-guru yang pernah mendidik saya bermula dari awal pengajian saya di
  • Madrasah Attahzibiah Addiniah, Kampung Kastam Bagan Jermal, Pulau Pinang (1989)
  • Madrasah Arridhwaniah, Telok Medan, Perak (1990)
  • Madrasah Faqiah Daimiah, Permatang Pauh, Pulau Pinang (1990-1995)
  • Maahad Mahmud, Alor Setar, Kedah (1996-2000)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor (STAM 2001-2002)
  • pensyarah-pensyarah di Kolej Universiti Islam Malaysia (kini Universiti Sains Islam Malaysia) (Jun - Oktober 2003)
  • juga kepada pensyarah-pensyarah saya sekarang di Al Azhar
Selautan penghargaan dan terima kasih tidak akan mampu membalas segala jasa bakti kalian pada anak-anak didikmu, khususnya diri ini. Sekudus doa dariku moga Tuhan merahmati hidup kalian selalu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran atas segala yang pernah kalian curahkan. JAZAKUMULLAHU KHAIRAL JAZA'

SELAMAT HARI GURU

(gambar terbaru guru-guru KISAS, mungkin ada ustaz / ustazah saya yang tiada dalam gambar ini. gambar guru-guru Maahad saya tiada dalam simpanan saya sekarang. Semuanya ada di rumah di Malaysia. cuba juga cari di internet, tapi tak jumpa..kelemahan saya sendiri :(

Khamis, 14 Mei 2009

PROMOSI & KONGSI


::sumber:lamanwebPMRAM::

UZLAH MEMBURU NAJAH II

Peperiksaan lisan telah pun berlalu. Alhamdulillah syukur pada Tuhan Yang Maha Kuasa. Seperti biasa kami yang mengaji di Jabatan Bahasa Arab dimestikan mengambil (syafawi) ujian lisan bagi dua subjek iaitu Nahu dan Balaghah serta Al Quran. Sukatan untuk hafazan Al Quran telah dikurangkan mulai sesi ini. Jika dulu setiap tahun perlu menghafaz 2 juzu' kini ia telah dikurangkan kepada 2 juzu'.
Syafawi Balaghah : 10 Mei
Syafawi Nahu : 11 Mei
Syafawi Al Quran : 14 Mei
Mudah-mudahan apa yang telah lepas diberi kejayaan oleh Tuhan. Yang akan datang, moga dipermudahkan. Imtihan tahriri (peperiksaan bertulis) akan bermula pada 18 Mei sehingga 15 Jun nanti. Kali ini kami akan menjadi kumpulan yang paling akhir tamat peperiksaan. Oh, ini langsung tak sama dengan pelajar perubatan. Mereka punya selang masa yang banyak antara setiap subjek sedang kami cuma selang selama 2,3 hari. Tapi bagi di sesetengah tempat ada yang cuma selang sehari, seperti di Tanta dan Iskandariah.

Seperti imtihan faslu awal yang lalu, imtihan kali ini juga diadakan pada waktu petang dari jam 1 hingga 4 petang kecuali bagi kertas Al Quran dan Bahasa Inggeris yang hanya diberi masa 2 jam iaitu 1-3 petang. Musim panas ini benar-benar menguji jiwa. Mohon Tuhan kuatkan saya untuk terus berpuasa sunat Isnin, Khamis.

Jadual Imtihan Tahriri :

18 Mei : Al Quran
21 Mei : Sorf (Morfologi)
25 Mei : Balaghah (Retorik)
28 Mei : Fiqh Usrah wal Mirath (Fiqh keluarga dan Ilmu Faraidh)
1 Jun : Nahu
4 Jun : Hadith
8 Jun : Naqad Adab (Kritikan Sastera)
11 Jun : Bahasa Inggeris
15 Jun : Adab Muqaran (Perbandingan Sastera)

Mohon doa dari semua moga kami dibumi Anbiya' ini diberi kejayaan yang cemerlang. Demi maruah Islam yang dijulang dan demi Ayah Bonda yang menanti kepulangan.

"Allahummaj 'alna minan najihin wal faizin fi kulli imtihan"
...................

Adinda Teah telah selamat pulang ke tanah air. Saya yakin dia kini sibuk menyiapkan persiapan untuk hari bahagianya. Moga-moga segalanya berjalan lancar. Dan harapnya dia tak lupa hantar kad jemputan pada kami di sini walaupun memang 'comform' kami tak dapat pergi. Isk...

Selasa, 12 Mei 2009

Hakim: Nizar MB Perak yang sah

Hakim: Nizar MB Perak yang sah
May 11, 09 3:45pm
kemaskini 8.34pm Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

sumber:malaysiakini.com


Ahad, 10 Mei 2009

RINDU AIR TANGAN BONDA


Tahun ini sambutan Hari Ibu jatuh pada 10 Mei. Kalau di Mesir Hari Ibu dirayakan pada 21 Mac. Tidak penting bila dunia menyambut hari ibu. Yang penting, ibu tetap sentiasa di hati kita walau di mana kita berada. Berjauhan dengan bonda yang tercinta mengajar saya erti sebenar kasih sayang. Kalau dulu bila semasa di rumah, kata-kata dan nasihat ibu sering 'dimasukkan ke telinga kanan dan dikeluarkan ke telinga kiri'. Namun kedewasaan dan perpisahan mengajar erti sebenar bagaimana untuk lebih menghargai insan-insan yang terdekat.

Hari Ibu bukanlah satu-satunya hari untuk kita menghargai insan yang bernama ibu atau emak atau mama. Bagi saya Hari Ibu adalah hari untuk kita mengungkapkan sebanyak-banyak penghargaan dan kasih sayang buat ibu kita. Almaklum, kadang -kadang kita selalu disibukkan dengan pelbagai tugas. Kalau pelajar sibuk dengan pelajaran, yang bekerja sibuk dengan kerja, yang dah kahwin sibuk dengan keluarga, yang sedang bercinta pula sibuk dengan buah hatinya. Begitulah manusia. Kita sering mudah melupakan wanita yang paling berjasa dalam hidup kita. Bagi mereka yang senasib seperti saya yang berada di perantauan, hanya ucapan yang mampu diberikan sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Sesibuk mana pun kita, jangan sampai kita lupa untuk menghubungi ibu bapa. Memang kita jarang rindu pada mereka tapi mereka tidak pernah melupakan kita walaupun anak-anak yang lain ada di depan mata.

Buat Bonda Roziah yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan memberi segala yang dimahukan, semoga Tuhan merahmatimu selalu, memberkati kehidupanmu, memberi kebahagiaan bersama ayahanda, dan dimakbulkan segala doamu. Anakmu ini pohon dimaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan. Andai ada tingkah laku dan kata-kata yang mengguris hatimu, maafkanlah anakmu. Doakan kejayaanku di perantauan ini. Moga akan cepat pulang menemuimu.

Ketahuilah Bonda, anakanda menyayangimu dan merinduimu setiap waktu.

Mom, I LOVE YOU!

Lagu ini khas buat semua yang bergelar IBU.

Mawar Putih Untuk Mama - Sharifah Aini



Sabtu, 9 Mei 2009

Saya buntu mahu diletakkan tajuk apa. Doa saya moga dijauhkan bencana ini dari kita yang beriman pada-Nya. Amin

Kasut tumit tinggi bahaya - CAP

Manusia punya nafsu yang pelbagai. Antaranya nafsu untuk kelihatan cantik, bergaya, dan sentiasa 'up to date' kononnya. Kepelbagaian ciptaan fesyen pada hari ini adakalanya menimbulkan rasa jengkel di hati. Kadang-kadang saya terfikir, macam ini pun cantik ke? Namun begitulah manusia. Tak semestinya yang cantik di mata kita cantik di mata orang lain.

Apa yang penting dalam melengkapkan keperluan hidup di dunia ini samada soal makanan, pakaian atau apa sahaja ialah bersederhana. Seperti firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 31 yang bermaksud :
"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
Jadi, kalau nak pakai kasut tak perlulah kita melebih-lebih. Cukuplah sekadar kasut itu boleh berfungsi untuk melapik tapak kaki semasa berjalan. Apatah lagi bila kasut tumit tinggi itu lebih banyak mengundang padah dan kemudaratan kepada tubuh badan. Kadang-kadang harga sebuah kecantikan (pada pandangan mata manusia) terlalu mahal kerana bayarannya ialah nikmat sebuah kesihatan. Maka hayatilah firman Allah dalam ayat ke 26 surah Al-A'raf :
"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."
Kepada wanita-wanita yang memakai kasut tumit tinggi bacalah di sini untuk melihat kesan dan akibat dari fesyen yang langsung tak menepati prinsip-prinsip Islam. Sayangi diri, jauhi kasut tumit tinggi! Itu kempen bulan ini sempena Hari Ibu esok.

<sumber:utusanmalaysiaonline>





Khamis, 7 Mei 2009

KISAH IDRIS TAWFIQ MENCARI KEBENARAN


Kisah benar yang membenarkan kesucian agama Islam yang kita anuti. Baca kisah insan bernama Idris Tawfiq di sini.