Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Ahad, 10 Mei 2009

RINDU AIR TANGAN BONDA


Tahun ini sambutan Hari Ibu jatuh pada 10 Mei. Kalau di Mesir Hari Ibu dirayakan pada 21 Mac. Tidak penting bila dunia menyambut hari ibu. Yang penting, ibu tetap sentiasa di hati kita walau di mana kita berada. Berjauhan dengan bonda yang tercinta mengajar saya erti sebenar kasih sayang. Kalau dulu bila semasa di rumah, kata-kata dan nasihat ibu sering 'dimasukkan ke telinga kanan dan dikeluarkan ke telinga kiri'. Namun kedewasaan dan perpisahan mengajar erti sebenar bagaimana untuk lebih menghargai insan-insan yang terdekat.

Hari Ibu bukanlah satu-satunya hari untuk kita menghargai insan yang bernama ibu atau emak atau mama. Bagi saya Hari Ibu adalah hari untuk kita mengungkapkan sebanyak-banyak penghargaan dan kasih sayang buat ibu kita. Almaklum, kadang -kadang kita selalu disibukkan dengan pelbagai tugas. Kalau pelajar sibuk dengan pelajaran, yang bekerja sibuk dengan kerja, yang dah kahwin sibuk dengan keluarga, yang sedang bercinta pula sibuk dengan buah hatinya. Begitulah manusia. Kita sering mudah melupakan wanita yang paling berjasa dalam hidup kita. Bagi mereka yang senasib seperti saya yang berada di perantauan, hanya ucapan yang mampu diberikan sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Sesibuk mana pun kita, jangan sampai kita lupa untuk menghubungi ibu bapa. Memang kita jarang rindu pada mereka tapi mereka tidak pernah melupakan kita walaupun anak-anak yang lain ada di depan mata.

Buat Bonda Roziah yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan memberi segala yang dimahukan, semoga Tuhan merahmatimu selalu, memberkati kehidupanmu, memberi kebahagiaan bersama ayahanda, dan dimakbulkan segala doamu. Anakmu ini pohon dimaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan. Andai ada tingkah laku dan kata-kata yang mengguris hatimu, maafkanlah anakmu. Doakan kejayaanku di perantauan ini. Moga akan cepat pulang menemuimu.

Ketahuilah Bonda, anakanda menyayangimu dan merinduimu setiap waktu.

Mom, I LOVE YOU!

Lagu ini khas buat semua yang bergelar IBU.

Mawar Putih Untuk Mama - Sharifah Aini



Tiada ulasan: