Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Jumaat, 26 Disember 2008

MOTIVASI CINTA

Cinta adalah perkara yang paling indah dalam dunia. Ada kata-kata Inggeris yang menyebut "the most beautiful thing in the world can not be seen, but it is to be feel". Cinta boleh menjadi punca atau sumber motivasi yang hebat buat manusia, namun ia juga boleh menjadi punca kepada kerosakan atau kemusnahan hidup manusia. Ini semua bergantung kepada manusia itu sendiri, bagaimana dia mengendalikan emosinya. Andai cinta itu dipacu ke arah yang positif, maka hasilnya begitu. Namun andai cinta itu lebih banyak dipengaruhi unsur negatif, maka negatiflah hasilnya. Cinta itu berada dalam hati. Maka untuk menjadikan cinta itu mendorong kepada positif, hati terlebih dahulu mestilah dibentuk menjadi hati yang baik.

Seperti sabda Baginda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya.Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati."

(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Maka jelaslah bahawa setiap perlakuan jasad tubuh anak Adam itu dipandu oleh seketul daging yang kita panggil ia sebagai hati. Perasaan cinta yang ada di dalam hati itu mampu untuk menjadi motivasi yang mendorong manusia ke arah menjadikan diri insan yang cemerlang. Persoalannya bagaimana cinta boleh menjadi motivasi? Sebelum melangkah jauh elok andai kita semak kembali apa yang kita ertikan dengan cinta dan motivasi? Dalam Kamus Dewan edisi ketiga cinta itu secara umumnya ditakrifkan sebagai suatu perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada negara, ibu bapa, dan lain-lain lagi. Manakala motivasi pula ditakrifkan sebagai suatu keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan. Lalu, kita simpulkan motivasi cinta itu sebagai perasaan sayang kepada sesuatu atau seseorang yang menjadi sebab, pemangkin, peransang atau pencetus semangat yang mendorong minda dan menggerakkan anggota supaya berusaha bagi mencapai matlamat yang diinginkan.

Bagaimanapun, tidak saya nafikan cinta juga boleh menjadi motivasi yang merosakkan bukan motivasi yang membina kerana motivasi itu bukanlah sekadar mengandungi maksud yang positif semata. Saya bagi contoh yang biasa berlaku dengan manusia yang bercinta ini ialah sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk telefon dan bersms dengan buah hati walaupun duit ibu bapa atau pinjaman pelajaran dan biasiswa.Kita lihat contoh yang lebih baik. Nabi Muhammad s.a.w. sangat mencintai umatnya sehinggakan di hujung nafasnya, baginda masih menyebut ummati, ummati. Contoh yang paling saya suka ialah peristiwa Isra' dan Mi'raj. Ketikamana Rasulullah dianugerahkan ibadah solat. Bukankah pada awalnya solat itu diperintahkan sebanyak 50 waktu? Lalu bagaimana ia hanya tinggal 5 waktu sahaja? Begitulah cintanya baginda Rasulullah s.a.w. kepada umatnya. Sanggup turun naik menghadap Allah s.w.t. meminta supaya dikurangkan jumlah solat yang difardukan. Kerana baginda cintakan umatnya lalu baginda meminta supaya kita tidak dibebani dengan solat sehingga 50 waktu. Begitulah saya melihat cinta menjadi motivasi terhebat manusia.

Masalahnya bagaimanakah cara untuk kita jadikan cinta itu sebagai motivasi terhebat? Terutama kalau orang yang masih bergelar pelajar?
Adakah cinta kepada 'seseorang' sesuai untuk menjadi motivasi bagi mengejar kejayaan? Apa yang lebih baik ialah kita belajar mencintai apa yang kita lakukan. Kalau kita sedang belajar, cubalah mencintai ilmu-ilmu yang kita pelajari. Cintai buku-buku, guru dan pensyarah kita. Belajar dalam suasana yang penuh rasa cinta tidak akan rasa susah atau tertekan. Apalagi pada saat-saat genting mendepani ujian dan peperiksaan.

Falsafahnya mudah, cintakan apa yang kita lakukan dan segalanya akan menjadi mudah dan tidak terbeban. Lalu timbul satu persoalan, bagaimana untuk cintakan ilmu? Bukan mudah dan bukan juga susah. Kuncinya ialah tak kenal maka tak cinta. Jadi, kalau kita tak mahu mencintai sesiapa janganlah berkenalan. Kalau ikutkan pesan bonda pada saya "don't get too close" kalau zaman masih belajar sekarang ini.

Kembali kepada cara mencintai ilmu, mula-mula kenali ilmu itu dan cuba cari keistimewaan dan kelebihan ilmu itu yang tidak ada pada ilmu lain. Kemudian cari tokoh-tokoh yang ada dalam ilmu tersebut dan cuba kenali dan cintai mereka. Sebagai contoh saya sekarang kena belajar subjek "Lahjat Al 'Arabiah" iaitu tentang bahasa pasar atau dialek-dialek yang ada dalam Bahasa Arab. Sudahlah saya ini memang tidak begitu gemar menggunakan bahasa pasar ('amiyah) di Mesir ini. Apa yang saya buat ialah saya cari sebanyak mungkin maklumat pasal dialek / loghat dalam bahasa Arab ini. Dan saya dapati bahasa Arab ini ada banyak dialek yang terhasil akibat dari faktor geografi yang memisahkan orang-orang Arab ini.

Dan lebih membuatkan saya teruja ialah loghat-loghat yang ada ini mempunyai sejarah yang panjang sehingga ke Zaman Jahiliyyah dahulu. Lalu tanpa diduga saya jatuh cinta pada subjek yang saya tak suka. Dan akhirnya saya cuba menanam cinta pada semua subjek yang saya belajar. Begitulah sepatutnya yang berlaku dari dulu. Namun malang kerana ia lambat berlaku. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana masih mampu bertahan di Bumi Anbiya' yang penuh ujian ini.

Kesimpulannya, sama-samalah kita mencintai ilmu. Lagi pula, bukankah ilmu itu kunci untuk mendapatkan dunia dan juga Akhirat sepertimana sabda Nabi s.a.w. :

“Sesiapa yang mahukan dunia maka hendaklah dengan ilmu,sesiapa yang mahukan akhirat maka hendaklah dengan ilmu,dan sesiapa yang mahukan keduanya maka hendaklah dengan ilmu.”

Cintailah ilmu dan para ulama'. Dan jadikanlah cinta itu sebagai motivasi untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Khamis, 25 Disember 2008

MENCIPTA CEMERLANG; DIATAS SIJIL ATAU KEHIDUPAN?

Semua insan inginkan kejayaan dan kecemerlangan. Bagi pelajar, inginkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Bagi sekolah, inginkan anak murid dan guru yang cemerlang. Bagi syarikat, mahukan pekerja yang cemerlang. Bagi pemerintah, impikan masyarakat dan negara yang cemerlang. Secara umumnya, kita mengetahui cemerlang itu ialah mendapat keputusan yang paling terbaik. Jika pelajar yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, inginkan keputtusan 7A, 8A, 9A. Yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia ingin mengumpul sebanyak mungkin A. Begitulah seterusnya hingga ke peringkat universiti.

Dalam keluarga saya, menjadi suatu 'pantang' bagi kami adik beradik kalau ada yang tidur selepas subuh. Kalau 'kantoi' dengan mak atau abah memang akan dapat tazkirah pagi jawabnya. Sebenarnya tazkirah pagi yang disampaikan itu sama sahaja isinya setiap hari. Abah akan cakap waktu pagi inilah malaikat turun agihkan rezeki. Kalau siapa yang tidur, memang tak dapatlah. Sebab itulah orang Cina ramai yang berjaya. Kerana mereka tidak tidur pagi. Pasti kita pernah melihat orang Cina senaman Tai Chi pagi-pagi kan? Ha, itulah buktinya. Mak pula akan menambah kalau nak dapat keputusan cemerlang kenalah banyakkan berdoa apatah lagi pada waktu pagi yang padanya terdapat waktu dhuha. Bukankah keputusan yang cemerlang itu juga salah satu bentuk rezeki dari Allah S.W.T.? Sebagai anak yang baik, kami dengarkan sahaja segalanya. Terima kasih mak dan abah atas segala leteran. Saya tak jemu mendengar leteran mereka kerana apabila dikenang itulah sebenarnya pesanan penting tanda kasih sayang dan cinta mereka pada anak-anak. Bukan semua orang dapat merasa nikmat dinasihati oleh insan tersayang. Hari ini saya mengerti bahawa sebenarnya harapan utama mereka bukanlah sekadar melihat anak-anak mereka ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, malah yang lebih penting kami menjadi insan yang cemerlang dalam kehidupan.

Tentulah besar bezanya mendapat keputusan yang cemerlang dan menjadi seorang yang cemerlang. Seorang yang mendapat keputusan yang cemerlang tidak semestinya akan menjadi insan yang cemerlang. Kisah hidup Sufiah yang suatu masa dahulu menjadi kebanggaan Malaysia tetapi kini memalukan nama Malaysia menjadi pengajaran. Akan tetapi, insan yang cemerlang pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang. Mudah bukan falsafahnya? Namun hakikatnya cemerlang adalah sesuatu yang mudah cair di mulut tapi tidak di anggota yang lain. Mudah disebut tapi sukar amat untuk diaplikasi.

Sewaktu keputusan SPM 2007 diumumkan pada bulan Mac yang lalu, saya bangga melihat ramai pelajar Islam telah berjaya. Berita muka depan akhbar Harian Metro sangat saya ingati hingga saat ini. klik sini untuk melihat berita kejayaan Azali Azlan

Ya, memang benar rahsia sebenar kejayaan seorang Muslim bukanlah pada usahanya menekuni pelajaran kerana jika ya, maka sama sahaja dengan mereka yang bukan Islam. Rahsia seorang Muslim ialah amalannya. Amalan sunat yang diamalkan samada solat atau puasa sangat susah untuk kita istiqamah.

Dalam Surah Al Mu'minun yang banyak menyenaraikan sikap dan sifat orang-orang mukmin yang berjaya dua kali Allah menekankan tentang peri pentingnya solat yang menjadi tiang agama.

Dalam ayat 1-2 Allah berfirman yang maksudnya :

{ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. }

Manakala dalam ayat 9 Allah berfirman yang bermaksud :

{ Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. }

Kecemerlangan yang hakiki lahir natijah daripada keperibadian yang cemerlang. Bagaimana untuk memiliki keperibadian yang cemerlang? Mulalah dari hati dengan cara mengikhlaskannya dalam apa sahaja yang kita lakukan seharian dan niatkan segalanya kerana Allah Ta'ala. Hati yang kenal siapa diri akan mengenal siapa Tuhannya dan tahu akan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Apabila hati telah kita bekalkan dengan maklumat dan nutrisi yang lengkap, ia pasti akan mendorong kita ke arah jalan yang menuju kepada matlamat yang kita citakan. Lalu apalagi yang perlu dibimbang apabila seketul hati itu telah cemerlang. Yakinlah hati yang cemerlang pasti akan membuahkan peribadi insan yang cemerlang. Bukankah itu juga yang disabdakan Nabi Junjungan s.a.w. dalam sebuah hadithnya :

عن أبي عبد الله النعمان بن بشير رضى الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن الحلال بين وإن الحرام بين وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام كالراعى يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه ألا و إن لكل ملك حمى ألا وإن حمى الله محارمه ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب. – رواه البخاري ومسلم -

yang bermaksud :

Dari Abu ‘Abdullah An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma katanya : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) maka di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang haram. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya.Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.

(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.)

Saya menyimpulkan begini sahaja, usaha untuk menjadi insan cemerlang, perlu bermula dari awal lagi. Mungkin seawal dari dalam kandungan lagi. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk personaliti seorang anak.

Ibu bapalah yang menjadi guru pertama seorang anak. Segalanya bermula dari dalam diri yang akan membentuk sebuah keluarga. Ingat lagi tak pada hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud :

" Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi".

Saya amat bersyukur Tuhan anugerahkan saya keluarga yang serba sederhana namun penuh dengan kasih sayang. Moga semua ini akan berpanjangan hingga ke hujung nyawa.

Dalam realiti kehidupan masyarakat hari ini yang sibuk mengejar kekayaan, banyak kes keluarga yang berantakan. Ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja hingga terlupa untuk mendidik dan memberi kasih sayang dalam erti kata yang sebenar adalah antara punca yang menyebabkan kebobrokan gejala sosial yang berlaku. Kasih sayang dibuktikan bukan dengan wang ringgit,

tapi dengan sentuhan mesra, dengan ungkapan kasih sayang dan pesanan berhikmah juga dengan memberikan pendidikan khususnya didikan agama. Ingat apa peninggalan Luqman, seorang ahli bijaksana pada anaknya? Apa lagi jika bukan pesanan-pesanan penting buat pedoman dan panduan si anak dalam menempuhi gelombang kehidupan yang amat mencabar terutama apabila orang tuanya telah tiada.

Firman Allah Ta`ala dalam Surah Luqman yang bermaksud :

{Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat
kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

-Ayat 13-

Seterusnya Allah berfirman lagi yang maksudnya :

(Luqman menasihati anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, jugarendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

-Ayat 16-19-

Sungguh bertuah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang memberi didikan Islam yang cemerlang dan bertuah juga ibu bapa yang mempunyai anak yang memiliki keperibadian Muslim yang cemerlang. Dan alangkah lebih bertuah seandainya mereka dipimpin oleh pemimpin yang cemerlang dalam mengaplikasikan seluruh ajaran Islam dalam kehidupan. Sungguh saya pasti saat itu hanya Islam yang tinggi dijulang dan orang-orang Islam adalah yang paling cemerlang. Dalam usaha mengejar sesuatu yang bernama cemerlang, dekatkanlah diri pada Tuhan kerana hanya Dialah sumber yang akan memberikan kita kecemerlangan, di dunia dan Akhirat.




catatan hujung : Moga Tuhan yang Maha Kuasa menganugerahkan kita kejayaan yang cemerlang khususnya buat pelajar-pelajar di bumi anbiya' ini yang bakal menghadapi peperiksaan fasal pertama bermula 10 Januari depan. Peperiksaan pada musim sejuk yang penuh dingin dan membekukan memang memerlukan kekuatan fizikal dan rohani yang tinggi dan tebal. Yang tidak mudah goyah dengan godaan. Musim sejuk begini ujian yang biasa ialah asyik lapar dan sedap tidur. Mudah-mudahan kita diberi kekuatan oleh Tuhan dan dibimbing sepanjang perjalanan menuju keCEMERLANGan. Amin.

Sabtu, 20 Disember 2008

AKHIRNYA...


Alhamdulillah, akhirnya disatukan juga mereka... hem, kenapa pula saya perlu membuat entri pasal topik ni? Bagi yang sudah mengerti mungkin tidak perlu diceritakan lagi.

Saya pasti ramailah gadis-gadis di Malaysia yang kecewa kerana Raja SMS ini sudah rasmi menjadi suami orang. Apa sekalipun, sama-sama kita doakan agar masjid yang didirikan akan kekal teguh hingga ke hujung usia. Apatah lagi kebelakangan ini asyik dipaparkan berita perceraian sahaja.

Buat semua yang sibuk ber'kenduri' pada musim cuti ini, saya ucapkan :

  • Selamat Pengantin Baru

  • Barakallahu laka wa baraka 'alaika wa jama'a bainkuma fi khair.

Semoga berbahagia hingga ke hujung nyawa.

Khamis, 11 Disember 2008

YANG TERSIRAT DI SEBALIK SEBUAH PENGORBANAN

Apabila dihayati sejarah korban yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. kita akan dapat melihat bahawa pengorbanan adalah suatu yang maha sukar untuk dilaksanakan. Pengorbanan itu sendiri adalah suatu yang istimewa kerana ia dilakukan untuk sesuatu atau seseorang yang kita sayang. Dan pastinya pengorbanan yang paling mulia ialah apabila kita mengorbankan sesuatu yang paling kita sayang untuk orang yang sangat kita sayang. Begitulah saya melihat pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s. Demi kerana perintah Tuhan yang yang lebih dicintai dari anaknya sendiri maka Nabi Allah Ibrahim a.s. tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Tuhannya. Begitu juga Nabi Allah Ismail a.s. yang lebih mencintai Allah dari nyawanya sendiri lalu tidak merasa ragu untuk mengorbankan dirinya sendiri. Begitulah mulianya sebuah pengorbanan. Ia bukan sekadar suatu perbuatan sahaja akan tetapi ia terkandung didalamnya pelbagai sifat. Rasa cinta dan kasih sayang yang terlalu kuat, keikhlasan hati yang tidak mengharap balasan, keimanan dan ketaqwaan kepada Tuhan, rasa berani dan tidak takutkan kematian atau kehilangan, serta keyakinan yang tinggi bahawa pengorbanannya itu suatu yang perlu.

Marilah kita sama-sama renung dan hayati sepanjang hayat kita ini sudah berapa banyak pengorbanan yang pernah kita buat demi yang tersayang? Atau adakah kita ini hanya mengharap pengorbanan dari orang lain?

Zulhijjah bukan sekadar untuk kita menghayati sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s. akan tetapi kita sepatutnya memahami erti sebenar dan falsafah di sebalik tiap pengorbanan dan cuba untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Sebagai seorang yang bergelar anak, ingatlah selalu pengorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu dan bapa kita. Sejak kita belum lahir ke dunia lagi mereka telah banyak berkorban untuk kita. Pengorbanan masa, tenaga, harta benda dan pelbagai lagi. Sehingga ke saat ini kita masih memerlukan mereka dan sehingga bila-bila pun kita tidak akan mampu untuk membalas segala jasa dan pengorbanan mereka. Tanyalah diri apa yang telah kita korbankan untuk mereka? Jika tiada janganlah pula kita asyik menyusahkan mereka. Tepuk dada tanyalah diri terbayarkah sudah segala pengorbanan, jasa dan kasih sayang mereka?




Istimewa buat Bonda Roziah dan Ayahanda Zuber, segunung emas sekalipun takkan bisa membalas segala pengorbanan kalian yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan memenuhi segala keperluan, apatah lagi sepotong ucapan penghargaan. Namun jauh di sudut hati kalian tetap jadi rinduan.

Sabtu, 6 Disember 2008

AHLAN WA SAHLAN.. MUHAMMAD FAEZAL NAQIB


A special dedication to someone special :)

For my dearest cousin, Ija. Congratulations on your new baby. May he become a good and obedient son. I pray that both of you will always be in good health. And may Allah bless you and your family.
I wish to see you and your baby soon. em, i wonder how he looks like, more like you or faizul.

Anyway, may Allah grant us all this wish
"And they (we) live happily ever after.."

And also not forgetting, my uncle, Pak Lang Wan and Mak Lang. Congratulations on their new baby, Muhammad Huzaifah. One more, my far cousin, Kak Ita, Congratulations on your new baby.

Jumaat, 21 November 2008

AMARAN DARI POLIS DI-RAJA MALAYSIA

Dunia kini semakin menakutkan rasanya. Kes-kes jenayah yang berlaku tidak menunjukkan tanda ia akan berkurang. Saya terima e-mail dari sahabat yang prihatin. Harap ia akan menjadi suatu peringatan buat kita bersama. Mudah-mudahan Allah pelihara kita walau dimana sahaja. amin. Dibawah saya sertakan kandungan e-mail tersebut.

Berhati-hati kawan-kawanku tentang masalah ekonomi yang semakin parah, manusia terdesak melakukan berbagai-bagai cara untuk merompak kita.

Berhati-hati semua terutama para wanita.

Bahaya....!!!

Baru minggu lepas malam Jumaat saya parking kereta diparking awam. Semasa nak balik kerumah saya terperasan ada pelekat kat cermin belakang kereta saya. Bila saya tanggalkan pelekat tu kat rumah, rupa-rupanya cuma resit pam minyak . Tak lama lepas itu saya terima email ini.

" AMARAN DARI PIHAK POLIS - BERHATI-HATI PADA KERTAS YANG MELEKAT PADA CERMIN BELAKANG KENDERAAN ANDA

-- CARA TERBARU UNTUK MENCURI KERETA ( INI BUKAN GURAUAN )

Sedarlah semua! Tolong sebar-sebarkan... .. Kita berjalan menghampiri tempat parking, membuka kereta dan masuk kedalamnya. Kita start engine kereta dan bersedia untuk berundur. Bila kita melihat cermin belakang untuk melihat kawasan belakang, kita dapati ada kertas yg melekat ditengah-tengah cermin belakang menghalang pandangan kita. Jadi kita parking balik kereta, buka pintu dan keluar untuk menanggalkan kertas (atau apa jua benda) yang menghalang penglihatan kita tadi. Bila anda sampai dibahagian belakang kereta, pada masa itulah pencuri itu akan keluar dari tempat sembunyinya, masuk kedalam kereta dan memecut pergi.Dia mungkin akan merempuh anda dengan laju semasa mereka melarikan kereta anda. Perasan tak kaum hawa? Saya pasti beg duit kita masih didalam kereta. Jadi sekarang pencuri memperolehi kereta kita, alamat rumah kita, duit kita, dan kunci-kunci kita. Rumah kita dan kesemua identity kita telah diperolehi!

BERHATI-HATI DENGAN CARA BARU YANG DIGUNAKAN

Jika kita melihat ada kertas melekat pada cermin belakang kita, teruskan memandu. Tanggalkan kertas itu kemudian. Kesemua maklumat peribadi dan pengenalan diri yang berada di beg tangan anda sudah tentu tidak mahu jatuh ketangan orang lain.

Sabtu, 15 November 2008

A YEAR OLDER, A YEAR WISER

Time goes by without we even realize. Even I still can’t believe that I have been in Egypt for almost five years. Anyway that is not the topic for today. Today I just want to wish my favorite partner, a happy birthday. A partner who have always been (and will always be) so understanding. We share the same sign : Scorpion. So, we have lots in common. For example, we both admire Faisal Tehrani. So, to Room master 111, Have a nice year ahead of you. Although this wish is kind of late because her birthday was on November 4th. Gomen, sis.

Not forgetting, my senior "Nur Dina" =) . Happy birthday. And also to all scorpions, happy birthday! And may all your wish come true. Amin.


Kek ini untuk semua yang bertambah usianya pada bulan November ini. Kek ditaja oleh za_ina@104.com
terima kasih daun keladi,
tahun depan buatlah lagi.

Jumaat, 14 November 2008

SUKU ABAD INI

Suku abad lalu

Kelahiran yang ditunggu

Membawa bahagia

Kini

Setelah suku abad berlalu

Yang kecil telah membesar

Yang muda kini dewasa

Sepanjang suku abad ini

Banyak sudah air mata yang tumpah

Keringat yang mengalir masih setia

Kasih sayang tak kurang dicurah

Pengorbanan tak pernah sudah

Setelah suku abad berlalu

Mereka masih diperlu

Insan mulia sering dirindu

Sumber motivasi ilham sejati

Kini

Setelah suku abad berlalu

Diri ini masih mencari

Ilmu dan pengalaman

Buat melengkapi diri

Agar nanti tercapai cita dan harapan

Moga terbalas segala pengorbanan


November bulan untuk memberi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga buat insan mulia yang telah membawa diri ini ke dunia. Bukan setakat itu, mendidik dan memelihara, memberi segala yang diminta tanpa jemu mahupun keluh kesah. Puisi ini buat Bonda dan Ayahanda yang sentiasa di hati. Dirimu tiada galang gantinya. Moga Allah membalas dengan segala kebaikan di dunia dan juga Akhirat, Amin.

Buat yang mengingati tarikh istimewa ini, terima kasih atas doa dan ingatan. Moga Tuhan memberkati kita semua dan memakbulkan setiap hajat yang diminta.

Khamis, 13 November 2008

BICARA KALA MALAM


Kata bulan aku punya cahaya
Cahaya terang kala malam
Dipuja insan seni
Cantik berseri
Bagai puteri

Kata bintang aku juga punya cahaya
Cahaya indah di permaidani kelam
Jadi panduan pengembara sepi
Walau tidak dipuja puji
Menjadi ilham pencinta seni

Kata bulan cahayaku dicari
Malam takkan sempurna
Andai aku sembunyi

Kata bintang cahayaku penyeri
Menghibur hati yang memandang
Membuang resah bertandang

Kala malam bertamu
Bulan dan bintang bicara lagi
Melerai rindu resah di hati
Kata bulan bintang temanku
Sempurnanya aku kerananya
Kata bintang bulan cintaku
Tanpanya segala tidak bermakna

Kala malam hadir
Bulan dan bintang pasti bicara
Walau tanpa madah cinta
Bicara bulan dan bintang
Enggan berpisah kala siang
Tetap bersama walau tidak bersua
Bulan dan bintang saling memerlukan
Saling melengkapkan
Tanpa bulan bintangkan sepi
Tanpa bintang bulankan sunyi
Lalu malam sunyi dan sepi

November 2008
dmak

Jumaat, 31 Oktober 2008

BELATED BIRTHDAY WISHES



I'm late.. too late to wish happy birthday to my sister and my brother. Well, I can't blame anyone else but myself. Although these wishes might not make them happy but I just want them to know that I never ever forget them.

This birthday wishes is for my brother Azim who is now 16 years old and my sister Zulaikha, 18 years old.

I pray to Allah that He will make both of you happy, make you smile, guide you safely thru every mile, grant you wealth, give you health, and most of all grant you Paradise.

Happy belated birthday!

Rabu, 8 Oktober 2008

BACK TO CAMPUS!

Akhirnya masa untuk bercuti telah tamat secara rasminya. Kini tibalah masanya untuk kembali sibuk ke kuliah. Alkisah yang sebenarnya kuliah telah mula dibuka pada 21 Ramadhan lepas tp waktu tu belum ada kuliah apa lagi. Lagipun dah nak dekat raya. Jadi, selepas cuti 6 Oktober hari tu kuliah memang dipenuhi manusia. Jalanraya -jalanraya juga sudah sibuk semula, kembali seperti biasa. Kanak-kanak sekolah pun sibuk ke sekolah.

Jadual kuliah semester satu bagi tahun tiga jurusan Bahasa Arab untuk sesi pengajian 2008 / 2009.


Semester ini saya akan mempelajari tujuh subjek.
  1. Nahu
  2. Sejarah Kesusasteraan Arab Zaman Abbasiah Pertama dan Kedua
  3. Sejarah Kesusasteraan Arab di Andalus
  4. Nusus
  5. Lahjah dan Qiraat
  6. Esei Balaghah
  7. Balaghah

Sesi pembelajaran yang baru bermula ini saya perlu mulakan dengan semangat yang lebih tinggi. Berada pada tahun tiga, semakin menghampiri tahun empat buat saya berdebar untuk menamatkan pengajian ijazah dan segera pulang ke tanah air. Namun, di celah angan-angan membayangkan masa depan, saya jadi gentar memikirkan sudah penuhkah ilmu di dada?
Sudah bersediakah mendepani masyarakat yang kini tenat dengan pelbagai masalah sosial? Tempoh lima tahun berada di bumi penuh berkah ini terasa begitu cepat berlalu. Adakala saya bertukar sendu bila membayangkan saya akan bakal meninggalkan bumi Mesir yang banyak mengajar saya segala erti kehidupan. Apa sekalipun, hidup perlu terus dihadapi dengan tabah dan cekal. Ujian dan cabaran pasti akan ada dalam apa jua bentuk sekalipun. Mudah-mudahan Tuhan menguatkan semangat kita semua dalam menghadapi kehidupan.

"Mulakan setiap hari yang baru dengan nama Allah" begitu sms yang saya terima dari Amar. Syukur saya punya Amar yang begitu penyayang dan sering memberi kata-kata perangsang. Selamat kembali ke kampus buat semua yang terlibat. Selamat menyempurnakan puasa dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Selasa, 30 September 2008

PERUTUSAN HARI RAYA 'AIDILFITRI 1429H


بسم الله
,إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفروه , ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا , من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له , أشهد ونشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا عبده ورسوله , اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد المبعوث رحمة للعالمين وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين, أما بعد

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. atas segala limpahan nikmat yang tidak terhitung. Yang telah menganugerahkan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan ganjaran berganda seterusnya menghadiahkan kita dengan Syawal sebagai hari untuk kita bergembira meraikan kemenangan setelah menjalani ibadah puasa dan segala ujian sepanjang Ramadhan. Selawat dan salam buat Junjungan tercinta yang merupakan contoh teladan terbaik buat seluruh umat manusia.

قال الله تعالى فى كتابه العزيز :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Ali 'Imran : 102)

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Taqwa bukanlah sesuatu yang sedia ada pada manusia itu sejak dia dilahirkan, akan tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dicapai dengan amal ibadah serta kepatuhan kepada Allah s.w.t. Kita semua mahu menjadi Muslim yang bukan sekadar Muslim tapi Muslim yang Mukminin dan Muttaqin. Lalu bagaimana caranya untuk kita memiliki tawqa itu? Antaranya terdapat dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah ayat 183 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Benarlah Kalam Tuhan dalam Al Quran yang menjadi panduan hidup kita sepanjang zaman. Puasa adalah ibadah yang sangat istimewa kerana Allah telah menjanjikan bahawa Allah akan membalas amalan puasa yang hanya Dia yang tahu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi)"

Puasa bukanlah sekadar menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa akan tetapi lebih dari itu, puasa melatih kita untuk berakhlaq mulia dan menjadi hamba yang bertaqwa.Puasa melatih kita untuk bersabar dengan ujian dan cabaran, puasa juga melatih kita untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki di samping melatih kita untuk prihatin dengan insan-insan yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan mereka yang hidup dalam suasana peperangan. Puasa yang sempurna itu adalah dengan menahan jiwa kita dari segala rasa yang tidak baik, sedang puasa yang biasa hanya sekadar menahan rasa lapar dan dahaga. Lalu pada pagi yang mulia ini sama-sama kita renung kembali di mana letaknya puasa kita?

Sahabat-sahabat,

Hari raya 'Aidil Fitri adalah hari untuk kita meraikan kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan melawan dan menundukkan nafsu. Orang-orang beriman yang berpuasa dengan sempurna akan meraikan 'Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan manakala orang-orang yang puasanya sekadar menahan lapar dan dahaga akan meraikan 'Aidil Fitri kerana kegembiraan berlalunya Ramadhan. Keindahan dan kegembiraan sebenar menyambut 'Aidil Fitri hanya akan terasa sekiranya matlamat puasa itu tercapai sepertimana yang terdapat dalam firman Allah tadi iaitu :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ yang bererti "mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Puasa pada bulan Ramadhan terselit maksud yang murni dan perlu kita hayati. Nafsu yang dibendung dengan lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, akal dan jiwa yang disuguhkan dengan Kalam-kalam suci Tuhan, hati yang dibersihkan dengan solat tarawih adakah semuanya telah kita miliki setelah tamatnya madrasah Ramadhan? Tepuk dada tanyalah iman.

Sahabat-sahabat,

'Aidil Fitri bererti kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru lahir iaitu suci dan bersih dari dosa dan noda. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka, pada hari yang mulia ini marilah kita kembali kepada fitrah dengan menyucikan diri, jiwa, dan hati kita dari segala sifat yang tidak baik. Manusia memang fitrahnya sukakan yang baik dan bencikan yang sebaliknya. Jadi, bersama-samalah kita bersalam dan bermaafan. Hapuskan segala hasad dan dengki, leraikan segala persengketaan, maafkan segala kesilapan dan kesalahan insan. Agar hidup kita nanti penuh damai dan bahagia.

Dalam masa yang sama marilah kita mengeratkan ukhuwah sesama kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan manusia dan tidak membezakan antara kita. Kita umpama sebuah bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain sepertimana sabda Nabi s.a.w. yang telah kita maklumi. Umat Islam umpama satu jasad yang bersambung antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab dan saling bertolong bantu dalam urusan dunia dan juga agama Islam bak kata peribahasa Melayu : cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Moga-moga dengan semangat ini akan menjadikan kita insan yang bertaqwa.

Sahabat-sahabat,

Hari raya adalah hari kemenangan, hari untuk kita mengucapkan syukur atas segala nikmat, hari untuk kita saling ziarah menziarahi, hari untuk kita merapatkan persaudaraan dan hari untuk kita bergembira. Namun, sebagai Muslim bagaimanakah cara yang sebenarnya meraikan hari raya? Di Malaysia, pada hari raya umat Islam disogokkan dengan pelbagai jenis rancangan hiburan samada filem, drama, konsert dan sebagainya. Lalu anak-anak muda lebih banyak menghabiskan masa di depan peti televisyen sahaja. Kalaupun ada yang berziarah, masing-masing menanam niat untuk mengumpul duit raya. Aktiviti bermain mercun juga masih berlaku di mana-mana sahaja. Belum masuk bulan Syawal pun mereka sudah berdentum dengan bunyi meriam buluh dan sebagainya. Sebagai insan yang belajar ilmu agama, kita mesti tahu bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita bergembira di hari raya.

Yang paling utama kita membanyakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Kemudian, kita bermaafan sesama insan dan menziarah sanak saudara serta rakan taulan. Bak kata pepatah : yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan. Dalam seronok berziarah, jangan sampai kita lupa adab-adab berziarah yang diajar dalam Islam. Namun, dalam kemeriahan berhari raya kita mesti mengingati juga saudara seagama kita yang berhari raya dalam keadaan yang tidak bernasib baik seperti kita. Seandainya pada bulan Ramadhan kita insaf dan prihatin dengan nasib anak-anak yatim, fakir miskin, dan mereka yang menderita kerana peperangan, maka pada bulan Syawal juga sepatutnya begitu. Bukan pada dua bulan ini sahaja, begitu juga dengan bulan-bulan lain. Amalan sedeqah janganlah hanya hangat-hangat tahi ayam sepanjang Ramadhan sahaja. Jika itu yang berlaku, maka ini menunjukkan bahawa puasa kita tidak mencapai matlamat yang sepatutnya iaitu menjadi orang yang bertaqwa. Begitu juga dalam kita bergembira dengan sahabat-sahabat kita, ingatlah pada mereka yang telah pergi mendahului kita menghadap Ilahi. Walaupun kita berada di kejauhan dan tidak dapat menziarahi pusara mereka, hadiahkanlah Fatihah buat mereka kerana setelah tamatnya Ramadhan, bererti azab kubur akan dijalankan kembali.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Perginya Ramadhan juga bererti tamatlah tempoh tahanan syaitan dan konco-konconya. Lalu beringatlah selalu akan kewujudannya. Jangan sampai kita lalai dan alpa sehingga berlaku pembaziran dalam menyediakan makanan, makan dengan terlalu banyak, berjalan-jalan hingga tertinggal waktu solat, dan lain-lain lagi.

Mudah-mudahan tarbiyah sebulan Ramadhan akan menjadikan kita insan yang beriman, yang bertaqwa, dan insan yang lebih kuat untuk menghadapi segala mehnah dan tribulasi selepas Ramadhan. Pemukiman sementara kita di bumi anbiya' ini perlu dimanfaat sebaik mungkin. Kutiplah segala mutiara ilmu yang ada, penuhi dada dengan memperbanyakkan pengetahuan dalam apa jua bidang serta perkasakan diri kita dengan kemahiran-kemahiran yang penting. Ingatlah selalu tugas dan matlamat sebenar kita datang ke bumi ini. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk memperbaharui azam dan semangat kita bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta amal ibadah kita kepada Allah s.w.t. juga menyungguhkan lagi usaha kita dalam perjuangan untuk menuntut ilmu dan juga meninggikan agama Allah ini supaya Islam dapat ditegakkan sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah As Shaff ayat sembilan yang bermaksud : Dialah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya 'Aidil Fitri, Kullu 'Am Wa Antum Toyyibin. Dari hati yang tulus ikhlas saya mohon kemaafan andai ada sebarang kata-kata mahupun tulisan saya yang menyinggung mana-mana pihak. Sesungguhnya apa yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari diri saya yang kurang sempurna. Hakikat kedua-duanya itu dari Allah dan disandarkan pada diri saya yang lemah ini.

Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba menyampaikan barang serangkap dua pantun untuk sahabat-sahabat:

Beransur pergi Ramadhan mulia,
Sebulan puasa, Syawal pun tiba,
Syahdu takbir menggamit rasa,
Rindu pada yang jauh di mata.

Hari bahagia bulan mulia,
Dirai indah penuh bermakna,
Salah silap diri hamba,
Salam dihulur, maaf dipinta.

Sekian sahaja dari saya.

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد.

Rabu, 17 September 2008

PUASA DI BULAN RAMADHAN MENYUCIKAN ROHANI DAN JASMANI

Puasa adalah cara yang terbaik untuk menyucikan rohani dan jasmani. Allah s.w.t. telah memerintahkan umat Islam dan umat-umat sebelumnya untuk berpuasa.

Firman-Nya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya :Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al Baqarah : 183)

Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan dengan jelas bagaimana seharusnya umat Islam itu berpuasa serta tujuan dan faedah yang diperolehi dari puasa. Penyelidikan saintifik yang dilakukan telah mendedahkan beberapa fakta penting tentang puasa yang membuktikan adanya hikmah di sebalik perintah berpuasa. Ianya bukan sekadar suatu bentuk pengabdian, akan tetapi suatu kaedah penting dalam memastikan kesinambungan kehidupan dan kesihatan manusia.

Tuhan telah memilih bulan Ramadhan yang mulia, yang padanya telah diturunkan Al Quranul Karim, sebagai bulan untuk berpuasa. Dengan kedatangan Ramadhan, umat Islam berasa gembira dan optimis. Mereka menyambut bulan ini sepertimana sabda Baginda s.a.w. (bilamana Baginda melihat anak bulan Ramadhan) yang bermaksud : "Allah Maha Besar! Ya Allah, mulakanlah bulan ini dengan kebaikan, ketaatan, keselamatan dan Islam serta bimbinglah kami ke jalan yang Kau redhai. Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhan kamu semua hanyalah Allah, Yang maha Pemurah lagi Maha Bijaksana"

Pada bulan Ramadhan, ketenangan jiwa dan keimanan bertambah lantaran dari ibadah malam yang berterusan, membaca Al Quran, memuji Allah dan memohon keampunan-Nya. Umat Islam juga mengelakkan dari berbicara hal orang lain, perbalahan, dan perbuatan yang tidak baik. Semua ini bisa sahaja menghapuskan perasaan negatif yang dialami umat Islam yang boleh mempengaruhi kesihatan jiwa dan boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Keimanan yang ikhlas kepada Allah sepanjang bulan mulia ini sebenarnya mempunyai kesan menakjubkan dalam mengubati sebarang kondisi perubatan sebelum ia bertambah buruk.

Puasa adalah suatu bukti keimanan seseorang Muslim. Bila sahaja bulan mulia ini bermula, setiap Muslim telahpun mempersiapkan dirinya secara spiritual untuk menyambut ketibaannya. Hari-hari yang istimewa ini berlalu sehinggalah hari kedua puluh Ramadhan. Pada waktu ini, umat Islam memperuntukkan setiap masanya untuk beribadah di masjid mengikuti amalan yang pernah dilakukan Baginda Rasulullah s.a.w. Ummul Mukminin 'Aishah r.h.a. pernah berkata : "Rasulullah s.a.w. selalu bersolat sepanjang malam semasa sepuluh hari terakhir Ramadhan, dan Baginda selalu mengejutkan seisi rumahnya untuk bersembahyang". Kesungguhan yang jitu dalam menyembah Allah s.w.t. meningkatkan kesucian jiwa dan keupayaannya untuk menerima anugerah Allah kepada hamba-hambaNya. Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan diampunkan semua dosanya."

Dari aspek lain, puasa dianggap sebagai satu kaedah perubatan untuk membersihkan tubuh badan dari sebarang lebihan ataupun bahan toksid atau saki-baki makanan yang tidak diperlukan. Natijahnya, banyak jurnal perubatan mengiktiraf puasa sebagai suatu kaedah rawatan nutrisi. Seseorang Muslim itu berpuasa kira-kira 12 hingga 16 jam sehari, bergantung kepada musim samada musim sejuk, panas, bunga atau luruh. Dalam tempoh yang sedikit ini, tahap kandungan gula di dalam darah menurun. Tubuh kemudiannya cuba untuk mencari sumber lain untuk menghasilkan tenaga, lalu menggunakan karbohidrat yang tersimpan di hati. Simpanan makanan ini mampu untuk membekalkan tenaga kepada badan selama enam jam. Selepas ia habis digunakan, tubuh kemudian akan memecahkan simpanan lemak di bawah kulit dan sekitar organ untuk mendapatkan tenaga yang diperlukan. Tubuh juga akan memusnahkan sel-sel yang tidak diperlukan, seperti sel-sel yang tidak sihat, dan dengan demikian menghapuskan bahan-bahan toksid yang terdapat padanya. Proses ini diikuti dengan pembinaan sel-sel baru untuk menggantikan sel-sel yang telah dimusnahkan. Kesemua proses ini memperbaharui unsur-unsur biologi tubuh badan dan menjadikannya lebih efisyen dan bertenaga.

Kebanyakan institusi-institusi kesihatan moden telah mengenal pasti beberapa peraturan asas untuk meningkatkan lagi fungsi tubuh badan. Ini semua bergantung kepada nutrisi ringkas dan menahan diri dari mengambil segala bentuk nutrisi biasa untuk suatu tempoh masa yang tertentu. Mereka mencadangkan supaya hanya mengambil makanan ringkas yang mudah untuk dihadam seperti sayur-sayuran, jus buah-buahan dan minuman panas. Pakar nutrisi juga mencadangkan diet nutrisi ini diamalkan selama tujuh hari sebanyak dua kali setahun pada musim bunga dan musim luruh. Ini boleh mengelakkan tubuh badan dari pelbagai masalah kesihatan, terutamanya pada usia tua.

Puasa dalam Islam mempunyai kelebihan tersendiri dimana ia membenarkan mereka yang berpuasa untuk makan apa sahaja pada penghujung hari (kecuali makanan-makanan yang telah diharamkan dalam Islam). Ini membolehkan tubuh badan menggantikan semula tenaga yang telah hilang dan melindungi seseorang Muslim itu dari penyakit-penyakit yang muncul akibat daripada kekurangan zat makanan atau kekurangan vitamin dan garam galian. Ini berlainan dengan jenis-jenis puasa yang lain yang berlanjutan untuk tempoh masa yang lama, seperti vegetarian yang hanya bergantung semata-mata kepada sayur-sayuran untuk mendapatkan nutrisi.

Justeru, kita dapat melihat bahawa kaedah puasa dalam Islam mengambil kira faedah kepada tubuh badan manusia dan juga kesihatan serta kesucian jiwa. Ini akan memastikan tubuh badan sentiasa bertenaga dan aktif. Sesetengah orang yang jahil percaya yang puasa boleh menyebabkan kelesuan dan anemia. Tanggapan ini salah sama sekali, memandangkan puasa hanya meninggalkan kesan baik kepada Muslim.

Allah berfirman :

وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al Baqarah : 184)

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat istimewa kerana pada bulan inilah Al Quran diturunkan untuk menjadi panduan manusia ke jalan yang benar. Wajar sekali kita mengkaji firman Allah :

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا


Maksudnya : (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?


(Muhammad : 24)

Dan juga firman Allah :

أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً

Maksudnya : Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya. (An Nisa' : 82)

Adalah suatu perkara yang biasa di mana keupayaan seseorang Muslim untuk memahami ayat-ayat Al Quran itu berbeza antara satu sama lain, disebabkan oleh perbezaan tahap ilmu pengetahuan pada zaman yang berbeza dan perbezaan intelek.


Terjemahan dari artikel bertajuk "Fasting in Ramadhan Purifies the Soul and Body…!" oleh Dr. Ahmad Fouad Pacha dalam majalah Al Azhar bulan Ramadhan 1429H.

Isnin, 8 September 2008

UJIAN RAMADHAN

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud “Adakah manusia menghitung mereka akan ditinggalkan begitu sahaja setelah mereka mengaku beriman (kepada Allah) sedang mereka tidak diuji? Maka Kami telah uji mereka (umat) yang terdahulu maka sesungguhnya dengan itu Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang dusta”.

Kehidupan sebagai manusia di muka bumi ini lumrahnya ada susah dan senang, ada turun dan naik, ada suka dan duka, ada derita ada bahagia. Ujian dan cabaran adalah tradisi kehidupan. Sebagai Muslim, kita wajar sekali untuk sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja ujian yang Allah turunkan buat kita. Setiap apa yang berlaku telahpun tercatat di Luh Mahfuz, maka kuatkanlah iman dan ingatlah selalu akan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar. Sabar dan redha dengan segala ujian yang menduga adalah sikap utama seorang Muslim. Setiap ujian yang datang ada hikmah yang tersimpan. Mungkin akal kita tidak terjangkau, tapi yang pasti Tuhan itu tidak menzalimi hambaNya.

Ramadhan yang lalu saya sekeluarga kehilangan nenda Hassan Shaari yang telah dijemput menghadapNya pada 26 Ramadhan. Sambutan raya pada tahun lalu kurang meriah pastinya. Tahun ini kami kehilangan pula datuk saudara saya. Walaupun tidak begitu akrab dengannya, namun kehilangannya tetap terasa. Namun ujian yang lebih hebat saya rasakan apabila sepupu saya angah Izah yang masih remaja telah disahkan menghidap kanser. Saya mendoakan moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan buat Pak Lang Wan sekeluarga sebagai bekal melalui ujian ini. Pagi jumaat awal Ramadhan Bonda menghantar sms mengatakan Angah akan dibedah di Hospital Ipoh. Tadi Bonda memaklumkan Angah disahkan menghidap kanser dan ditukarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia. Buat Angah, syafakillah. Moga Allah menyembuhkanmu dan menganugerahkan nikmat kesihatan yang sempurna. Suatu nikmat yang seringkali kita lupakan untuk disyukuri.

Seseorang insan yang ditimpa kesakitan dan penyakit, bukanlah hanya menderita seorang diri. Orang-orang di sekelilingnya juga akan turut menderita dan merasa payah. Walaupun orang-orang di sekelilingnya tidak merasa ujian kesakitan yang dirasai pesakit, namun mereka turut diuji Tuhan dengan dugaan menguruskan, menjaga dan melayan pesakit. Disinilah pentingnya sabar dan redha. Disinilah terlihat siapa sebenar keluarga kita. Adakah yang datang melawat, meringankan beban, menawar khidmat, menghulur sumbangan, memberi perangsang dan doa pembakar semangat. Disebalik ujian kesakitan, Allah berikan nikmat keluarga yang penyayang dan prihatin. Mudah-mudahan ujian yang ditempuh sepanjang Ramadhan khususnya akan dihadapi dengan kesabaran yang maha besar. Sesungguhnya sabar di atas ujian itu juga akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. Apatah lagi pada bulan Ramadhan yang setiap pahala dilipatganda.

Ibnul Qoyyim rohimahullah mengatakan dalam Madarijus Salikin : “Sabar adalah menahan jiwa dari keluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh serta menahan anggota badan dari berbuat tasywisy (tidak lurus). Sabar ada tiga macam : Sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah, sabar dari maksiat, dan sabar dari cobaan Allah.”

Semua orang tak lepas dari diuji. Sekarang ini di sini kami diuji dengan bantuan dermasiswa zakat yang masih belum ada berita. Kalimah sabar sudah jenuh dilantun. Mujur juga bulan Ramadhan ini rezeki berbuka ada dimana-mana. Di masjid terutama. Sumbangan dari yang berada melimpah mengisi perut menghilang lapar seharian berpuasa. Alhamdulillah, syukur pada Tuhan atas segala nikmat. Benar adakala masalah material ini memang benar-benar menganggu jiwa. Namun keyakinan pada Tuhan itu penguat jiwa kerana penuntut ilmu agamaNya tidak akan terbiar kebuluran. Rezeki pasti ada andai kita benar-benar beriman dan bertaqwa padaNya. Berpeganglah pada janjiNya dalam Surah At Talaq ayat 2 dan 3 :

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangkakannya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepda ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketetapan bagi tiap-tiap sesuatu."

Marilah kita sama-sama berdoa agar Tuhan memberikan kesabaran dan ketabahan yang berterusan dalam mengharungi setiap ujian dan cubaan yang diturunkan. Moga kesabaran kita akan dibalas Tuhan dengan nikmat yang lebih indah pada masa depan. Sepertimana Nabi Allah Ayub yang diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat. Kesakitan yang tidak terbayang oleh kita. Dan akhirnya baginda disembuhkan Allah dan dianugerah dengan segala nikmat yang berlipat ganda dari apa yang pernah dimilikinya sebelum itu. Ramadhan bulan tarbiyah yang penuh hikmah. Mudah-mudahan Tuhan mengampunkan segala dosa kita yang lalu dan memberikan nikmat atas kesabaran kita dalam mendepani segala ujian dariNya. Juga moga ujian dan cubaan itu akan sentiasa mendekatkan kita kepadaNya, bukan menjauhkan kita daripadaNya.

Rabu, 3 September 2008

Memoir Ramadhan

Ramadhan bulan yang penuh keistimewaan. Ramadhan itu sendiri terbentuk dari huruf-huruf yang melambangkan kelebihan yang terdapat padanya. Ra, mim, dan dhod masing-masing membawa pengertian tersendiri. 10 hari yang pertama dilimpahi dengan huruf ra yang bererti 'Rahmat'. 10 hari yang kedua pula dicurahkan 'Maghfirah' iaitu keampunan. Dan 10 hari yang terakhir pula dianugerah dengan 'Dhoman minan nar' iaitu jaminan dari api neraka. Sungguh beruntung sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan pesta ibadah yang sesungguhnya. Bukan sekadar itu sahaja. Kita jangan lupa untuk meninggalkan segala keburukan yang sering berlaku di bulan-bulan lain. Walaupun tentera-tentera syaitan diikat sepanjang bulan mulia ini, namun nafsu yang telah akrab dengannya jangan dipandang remeh.

Sepanjang lima tahun berada di Mesir saya telah tiga kali bertemu Ramadhan. Baki dua kali Ramadhan saya bercuti di Malaysia. Sungguh-sungguh Ramadhan di Mesir berbeza dengan di Malaysia. Kemeriahan menyambut Ramadhan terasa seawal bulan Rejab lagi. Masuk bulan Sya'aban jalanan di Kaherah ini dihiasi dengan lampu-lampu dari yang bersaiz kecil hingga besar.

Ianya seolah-olah suasana di kampung di Malaysia tatkala lampu-lampu pelita dipasang di halaman rumah pada penghujung Ramadhan atau disebut malam tujuh likur. Bezanya di bumi anbiya' ini lampu-lampu ini dipasang sebelum bermulanya Ramadhan lagi. Kemeriahan menyambut Ramadhan terasa dengan ucapan-ucapan dan doa yang sering diucapkan sesama insan. Lain dengan Malaysia yang sibuk dengan persiapan menyambut raya walhal puasa belum bermula. Rakaman program raya, jualan-jualan keperluan hari raya, dan macam-macam lagi. Namun bukanlah semuanya begitu. Saya yakin masih ada yang benar-benar menanti ketibaan Ramadhan dan menghidupkan Ramadhan dengan pelbagai amalan baik yang wajib mahupun sunat. Suasana berbuka dan limpahan rezeki sepanjang Ramadhan hampir sama sahaja di Mesir dan Malaysia. Namun tetap saya merasakan Mesir lebih meriah dengan sumbangan dari mereka yang berada untuk juadah berbuka puasa. Sekarang ini alhamdulillah saya tidak perlu membeli atau memasak makanan untuk berbuka mahupun bersahur. Juadah berbuka yang disedeqahkan oleh orang-orang kaya dan syarikat tertentu ini sudah lebih dari cukup untuk memberi tenaga. Syukur juga kerana sepanjang Ramadhan ini saya yakin tidak akan putus rezeki kerana setiap hari akan makan nasi. Itulah istimewanya Ramadhan kerana bulan-bulan lain pun bukannya setiap hari dapat makan nasi. Adakala mee segera sahaja dimakan buat mengisi perut.Apa sekalipun syukur kerana masih ada rezeki untuk mengisi perut. Saudara-saudara seislam di negara lain kekurangan makanan sedang kita di sini berlimpahan makanan sehingga adakalanya berlaku pembaziran.

Ramadhan bagi saya bulan yang penuh kenangan. Kenangan bersama keluarga paling indah bermain di minda. Entah mengapa Ramadhan kali ini saya begitu rindu pada mereka. Rindu untuk ramai-ramai berbuka dan sahur, rindu pada masakan bonda yang mengikat hati-hati kami, rindu pada suara ayahanda dan bonda yang mengaji Al Quran, rindu pada suara bonda yang mengejutkan kami untuk bangun bersahur. Suara bonda memanggil penuh kasih sayang. Kita tak akan dengar nada itu dari orang lain meski betapa sayang pun kita pada orang itu ataupun sebaliknya. Rindu pada Ramadhan mudah-mudahan sentiasa mekar di hati. Rindu yang akan membuahkan kegembiraan. Seperti hadith yang sering kita dengar, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi)". Moga ibadah puasa kita dan ibadah-ibadah lain akan diterima Allah s.w.t. dan kita nanti akan dimasukkan ke Syurga melalui pintu yang telah Allah khususkan untuk orang-orang yang berpuasa.
Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.”
(Hadith riwayat Bukhari & Muslim)