Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Selasa, 15 September 2009

ANTI-MASYARAKAT

:: Gambar sekadar hiasan ::


Assalamualaikum,

Ada satu situasi yang ingin saya bawakan :
Katakanlah anda dan kawan-kawan atau jiran-jiran sepakat untuk membuat majlis berbuka puasa. Maka anda semua kumpullah duit seorang sikit dan sama-sama gotong-royong memasak. Akan tetapi, ada seorang kawan/jiran anda itu yang tidak mahu turut serta. Tak mengapalah, ikut suka dialah kan. Takkan kita nak paksa pula. Kemudian, bila dah siap masak dan masuk waktu Maghrib, kita pun solat setelah berbuka dengan kurma. Tup-tup masa nak makan makanan yang dimasak tadi, satu pinggan dah kosong. Pelik bin ajaib. Semua orang solat tadi dan sebelum tu memang belum ada sesiapa yang menyentuh makanan itu. Rupa-rupanya hamba Allah yang tak mahu ikut sama dengan kita tu dah tapau makanan tu bawa balik ke rumah dia.

Ha, apa perasaan anda?

Marah. ye, saya marah. Mungkin itu perkataan yang sebenarnya walau dalam benak cuba untuk menafikan rasa 'marah' itu. Tapi, bulan Ramadhan ini bukan bulan untuk melayan rasa marah apa lagi menurut rasa marah itu. Rasulullah pernah berpesan :
Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)
Maka, puasa ini bukan sahaja medan untuk kita menahan diri dari makan dan minum, bahkan lebih dari itu. Ramadhan adalah medan untuk kita melatih diri dengan menahan dan mengawal rasa-rasa yang mazmumah. Apabila rasa-rasa itu dapat kita kawal, ertinya puasa kita telah berjaya dan Insya Allah kita akan menjadi mukmin yang bertaqwa.

Saya sungguh pelik bagaimana seorang manusia itu boleh hidup tanpa bermasyarakat dengan manusia lain di sekelilingnya. Hidupnya hanya berlegar di dalam rumahnya. Makan, tidur dan semuanya di situ. Tidak ke surau / masjid bersolat jemaah. Tidak menolong kenduri kendara. Tidak menghadiri program / aktiviti yang dianjurkan. Pendek kata, dia dan dunianya sahaja. Orang lain baginya tiada kena mengena dengan dia. Rugi sekali orang yang begini. Sudahlah dia tidak menyumbang kepada masyarakat sekitarnya, bergaul apatah lagi. Tapi, bila ada suatu manfaat yang dia hendak dari masyarakat itu, dia ambil secara senyap-senyap atau istilah kasarnya ‘curi-curi’.

Beberapa tahun berada di alam kampus, saya banyak terlibat dalam penganjuran sesuatu program atau aktiviti (taklah banyak sangat macam orang lain, sikit-sikit je). Dan saya pernah hadapi situasi program yang mendapat sambutan hebat dan kurang mendapat sambutan. Namun, semua itu mungkin berlaku kerana kelemahan dan kekurangan yang pada pihak yang menganjurkan. Namun apa yang mengecewakan ialah apabila ada manusia yang tidak mahu langsung melibatkan dirinya dengan sebarang aktiviti dan program masyarakat setempat. Baik semasa waktu pengajian, peperiksaan, kerja atau cuti.

Mereka yang begini tidak menguntungkan atau merugikan kita tapi menyakitkan hati kita. Bayangkan bila ada aktiviti yang ada makan-makan. Semasa program dia tiada. Tapi masa makan dialah yang dulu ‘tapau’ bawa balik. Bukannya nak makan bersama-sama dengan orang lain. Saya tidak ingin mengata atau menuding jari menyalah sesiapa. Namun permasalahan ini adalah suatu yang patut kita risaukan.

Saya lebih suka muhasabah diri sendiri apabila menghadapi karenah manusia yang pelbagai dan menyakitkan hati. Ini kerana saya berpegang pada frasa Inggeris yang berbunyi : what goes around, comes around. Maksudnya apa yang pernah kita buat pada orang lain mungkin nanti akan dibuat oleh orang lain pada kita. Memang saya sedar kelemahan diri saya sendiri yang tidak ‘bermasyarakat’ sangat di tanah air. Seharian kehidupan saya kalau cuti di rumah hanya terhad di dalam rumah sahaja. Buat kerja rumah, menonton, sembang, atau apa sahaja. Jarang sekali saya melibatkan diri dengan jiran-jiran lain. Berbeza situasi saya di sekolah dan kampus. Mungkin kerana perbuatan saya yang menjadi ahli yang pasif dalam masyarakat di kawasan perumahan, saya menghadapi karenah manusia seperti itu di tempat pengajian.

Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan dan selesaikan ialah bagaimana untuk melibatkan ahli-ahli komuniti yang pasif ini ke dalam masyarakat? Sebelum itu ada baiknya kita selidik punca dan sebab yang mencetus sikap ‘pasif dan berkurung’ golongan ini.
  1. Kurangnya keyakinan diri pada pandangan saya menjadi faktor terbesar. Mereka ini mungkin punya hasrat untuk bersama dengan masyarakat namun terhalang oleh sifat inferiorty complex yang menguasai diri. Rasa takut sekiranya apa yang mereka lakukan diketawakan atau dimarah oleh ahli masyarakat yang lain.
  2. Pengalaman pahit yang pernah dilalui dalam masyarakat. Mungkin mereka pernah diejek akibat fizikal atau penampilan diri sehingga menyebabkan mereka berasa marah atau kecewa lalu menjauhkan diri dari orang lain.
  3. Tiada rasa atau kemahuan ingin bergaul dengan masyarakat. Ini adalah penyebab yang paling sukar untuk diubah. Dua faktor di atas mungkin boleh dibantu oleh masyarakat namun faktor yang akhir ini mungkin payah. Persepsi bahawa dia tidak memerlukan kepada orang lain dalam kehidupan adalah suatu pandangan yang salah. Kita lahir ke dunia pun disambut oleh doktor ataupun jururawat. Malah bila mati nanti pun kita perlukan orang untuk menguruskan jenazah kita. Lainlah kalau mati nanti dia boleh uruskan jenazah diri sendiri dari mandi, kapan sampai kebumi.
Maka apakah solusi untuk kita mengatasi masalah ini?

  1. Cuba ajak mereka secara baik untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Mungkin buat permulaan sebagai pemerhati. Lama kelamaan apabila sudah ada keyakinan dan keseronokan, mereka tidak akan malu untuk bermasyarakat.
  2. Ziarah ke rumah mereka sambil membawa makanan. Tanyalah khabar atau perkembangan dirinya. Tanyakan juga sekiranya dia memerlukan bantuan atau sumbangan dari ahli masyarakat yang lain. Tunjukkan keprihatinan dan kesediaan kita untuk membantu.
  3. Jangan perli atau sindir mereka samada secara berdepan atau 'di belakang'. Tindakan ini hanya akan menjauhkan mereka dari kelompok masyarakat.
Ini hanyalah sekadar pandangan saya yang masih lagi belajar memahami karektor manusia yang pelbagai dalam usaha untuk mendepani dunia yang lebih mencabar di tanah air nanti. Mudah-mudahan apa yang betul itu, sekiranya ada akan memberi manfaat kepada sesiapa jua. Dan jika ada antara kalam saya yang tersalah atau melanggar syariat Allah atau mengguris hati sesiapa, saya mohon keampunan dan kemaafan.

Siru 'ala barakatillah..


Rabu, 9 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN (2)


Salam semulia Ramadhan,

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, Allah s.w.t berfirman :


كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ


Maksudnya : kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).


Kita patut merasa bangga kerana Allah telah menjadikan kita sebagai sebaik-baik umat yang ada di muka bumi. Namun gelaran sebaik-baik umat itu ada syaratnya. Iaitulah apabila kita menyuruh kepada yang ma’ruf (kebaikan) dan kita mencegah segala bentuk kemunkaran dan kita beriman kepada Allah s.w.t. Maka, sekiranya tiga tugas asas ini tidak kita laksanakan tidak layaklah kita untuk digelar sebagai khaira ummah.


Namun di sana ada sesuatu yang masih perlu kita renungkan. Tidak cukup bila kita hanya memegang pada ayat ini sahaja. Kita perlu memahami al Quran kesemuanya.


Dalam surah as Shaff ayat ke tiga, Allah s.w.t berfirman :


كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ


Yang maksudnya : amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.


Dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “akan dibawa datang seorang lelaki lalu dicampakkan ke dalam neraka.Lalu neraka ia berkisar dengan alat pengisarnya.Lalu ia dikelilingi oleh ahli neraka yang lain dan mereka berkata: Wahai Fulan,bukankah engkau yang menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang kemungkaran?Maka dia menjawab : Aku menyuruh orang berbuat baik tapi aku tidak melakukannya dan aku melarang orang melakukan maksiat tetapi aku sendiri melakukannya.”


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,


Marilah kita renung kembali apa tugas kita dihantar Allah ke bumi kinanah ini? Allah mahu kita mengutip sebanyak mungkin ilmu yang ada di bumi ini dan nanti pulang ke negara kita, kita dapat memberikan pula ilmu kita itu dengan orang lain.


Inilah yang telah difirmankan Allah dalam surah at Taubah ayat 112 :


وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ


Yang bermaksud : dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).


Maka, tugas kitalah sebagai khaira ummah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan melarang dari kemunkaran. Dan janganlah kita menjadi orang yang ‘cakap tak serupa bikin’ kerana Allah sangatlah murka dengan orang yang berperangai begini. Dan dalam usaha kita untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemunkaran, mahu atau tidak kita perlu memiliki ilmu agama khususnya. Adalah tidak wajar sekiranya kita bercakap tanpa ada asas ilmu yang kukuh. Maka kitalah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. supaya mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama agar nanti pulangnya kita sebagai dai’e yang dapat memberi pengajaran kepada mereka yang tidak mengetahui.


Mudah-mudahan kita akan menggunakan peluang dan kesempatan yang Allah berikan kepada kita sepanjang kita berada di ardhil kinanah ini dengan berusaha memenuhkan dada kita dengan ilmu yang sebanyak mungkin untuk kita kongsikan kembali apa yang telah kita dapat itu dengan masyarakat yang sangat memerlukan. Sama-sama kita berusaha untuk menjadi ilmuan agama yang benar-benar faqih dalam urusan agama khususnya tanpa kita melupakan ilmu-ilmu dunia yang juga tidak kurang pentingnya dalam kehidupan kita pada hari ini. Moga Allah membantu kita dan memudahkan kita dalam perjuangan ini agar nanti kita dapat membentuk khaira ummah seperti yang telah disebut dalam al

Quran.

Siru ‘ala barakatillah..


Ahad, 6 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN (1)

Salam semulia Ramadhan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat 183:Yang bermaksud : Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.

Daripada ayat ini, kita dapat lihat beberapa key point penting iaitu : IMAN, PUASA dan TAQWA. Apakah itu iman, puasa & taqwa?

Dalam sebuah hadith dari Saidina Umar r.a. beliau meriwayatkan ketika mana beliau sedang duduk bersama Nabi s.a.w. datang Malaikat Jibril yang merupai seorang lelaki berpakaian sangat putih dan kemas penampilannya. Malaikat Jibril bertanyakan kepada Nabi s.a.w. apa itu Islam, Iman, & Ihsan. Jawab Nabi tentang IMAN ialah :

أن تؤمن بالله وملائكته و كتبه ورسله واليوم الأخر و تؤمن بالقدر خيره وشره
Maksudnya : Iman itu ialah bahawa engkau percaya kepada Allah, para malaikatNya, kitab--kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat, dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.

IMAN itu bukanlah sekadar kepercayaan dalam hati bahkan juga ia merangkumi pembuktian dengan lisan dan amal. Sebagi contoh : kita percaya kepada Allah s.w.t. di dalam hati, kita lafazkan keimanan itu dengan kalimah syahadah dan kita percaya kepada Allah secara perbuatan dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Begitu juga kepercayaan kepada Al-Quran, kita i’tikad di dalam hati, dan kita baca al Quran dengan lisan kita dan kita amalkan apa yang ada dalam al Quran. Percaya kepada Nabi juga begitu. Kita i’tikad dengan hati dan kita zahirkan dengan lisan dalam kalimah syahadah dan kita buktikan dengan mengikut sunnah-sunnah Baginda s.a.w. Jadi puasa ini adalah merupakan salah satu cara kita beriman dengan Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat,

Puasa bukanlah sekadar kita menahan diri dari makan dan minum bahkan kita kena juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa apalagi yang boleh membatalkan puasa. Puasa ini suatu ibadah yang istimewa kerana dalam puasa ini ada aspek Islam, Iman dan Ihsan. Kita tahu puasa ini merupakan rukun Islam yang ketiga, ia juga merupakan satu cara kita membuktikan keimanan kepada Allah s.w.t. dan semasa berpuasa juga hanya Allah dan kita sendiri yang tahu akan puasa kita. Ibu bapa atau sesiapa pun tak dapat memantau kita. Hanya Allah s.w.t. yang memantau. Inilah konsep Ihsan iaitu kita menyembah Allah seolah-olah kita melihatNya dan jika tidak, maka Allah itu sentiasa memerhatikan kita.

Timbul satu persoalan di benak kita. Kenapa Allah perintahkan kita supaya berpuasa? Adakah sekadar saja-saja Allah nak menguji keimanan kita? Sebenarnya setiap apa yang Allah perintahkan itu ada tujuan dan matlamatnya. Dan objektif atau matlamat yang perlu kita capai dari puasa ialah kita menjadi orang yang bertaqwa.

Maka apa pula yang dimaksudkan dengan Taqwa? Secara literal, puasa bermakna mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan. Syara’ pula mendefinisikan taqwa sebagai menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan cara menjalankan segala perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi segala laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat. Rasulullah pernah menjelaskan hakikat taqwa di dalam sebuah hadith Baginda yang bmaksud :

Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakanNya, bersyukur kepadaNya & tidak mengkufuri nikmatNya.

Saidina Umar pernah bertanya kepada Ubai bin Ka’ab akan makna taqwa. Lalu Ubai menjawab pertanyaan Umar dengan bertanya balik kepada Umar :

“Wahai Umar, adakah engkau pernah melalui suatu jalan yang berduri?”

Jawab Umar : “Ya” .

Tanya Ubai lagi : “Apakah yang kamu lakukan ketika melalui jalan tsebut?”

Jawab Umar : “Aku akan melangkah dengsn waspada dan hati-hati”.

Lalu dibalas oleh Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.

Dari kisah ini dapat kita fahami bahawa taqwa itu bermaksud berhati-hati dalam hidup agar tidak melakukan sesuatu yang haram serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut oleh Allah s.w.t.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah,

Kenapa kita perlu menjadi orang yang bertaqwa? Mari kita renung firman Allah s.w.t. dalam surah al Hujrat ayat 13:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

Maka taqwa itu adalah suatu martabat yang tinggi dalam konteks ibadah manusia kepada Allah s.w.t. Dan puasa ini mjadi suatu instrument tool atau alat untuk kita mencapai taqwa. Dan bulan Ramadhan ini adalah satu peluang untuk kita mencapai darjat taqwa. Macam seorang pekerja yang nak naik pangkat. Bulan Ramadhan ini umpama satu projek yang mana sekiranya dilaksanakan dengan baik, pekerja ini akan dinaikkan pangkat. Begitu juga dengan puasa, sekiranya dilaksanakan dengan sebaiknya, kita akan dapat naik pangkat menjadi orang yang bertaqwa. Siapakah yang tidak mahu mendapat pangkat dan martabat yang tinggi? Semua manusia pasti mahu apalagi sebagai Muslim kita mesti berusaha mencapai martabat taqwa kerana hanya itu sahaja yang dipandang oleh Allah s.w.t. Allah tidak memandang kepada keturunan kita samada dari keturunan diraja atau rakyat biasa. Allah juga tidak memandang pada kekayaan dan pangkat kita. Tapi apa yang Allah lihat ialah ketaqwaan kita.

Namun apa yang patut kita risaukan ialah Allah menggunakan lafaz لعل (mudah-mudahan) makna kata bukan semua orang yang berpuasa itu akan menjadi orang yang bertaqwa. Ada orang yang berpuasa namun apa yang dia dapat hanyalah lapar dan dahaga. Sebab dia hanya menahan diri dari makan dan minum tapi tidak menyekat nafsunya yang lain seperti mana yang pernah disebut Nabi dalam sebuah hadith. Ini adalah perkara yang sangat merisaukan kerana Nabi s.a.w. juga ada bersabda :

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Nabi tidak menggunakan perkataan صام tapi قام. Maknanya bulan Ramadhan ini bukan sekadar kita kena puasa tapi kita kena buat juga ibadah-ibadah lain seperti tilawah al Quran, solat sunat tarawih, sedeqah dan lain-lain lagi supaya kita dapat apa yang ditawarkan Allah pada penghujung ayat tadi iaitu menjadi orang yang bertaqwa dan diampunkan segala dosa yang telah lalu seperti dalam sabda Nabi s.a.w. Jadi, puasa boleh menjadikan kita orang yang bertaqwa dengan cara kita menghidupkan Ramadhan dengan ibadah-ibadah lain yang disebut tadi terutamanya pada malam sepuluh yang terakhir. Nabi s.a.w pada malam sepuluh yang terakhir ini antara amalan Baginda ialah : Baginda akan mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman, kemudian Baginda melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al Quran. Mengerjakan solat sunat dan membaca al Quran pada malam sepuluh yang terakhir ini sangat dititikberatkan oleh Nabi s.a.w. sehingga dalam satu riwayat ada menyebut bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadhan dan membaca al Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat tersebut dan tidak melalui ayat azab melainkan memohon perlindungan kepada Allah dari azab itu. Selain itu Baginda juga membanyakkan berdoa.

Prof Dr Wahbah Az Zuhaili dalam mentafsirkan ayat 183 surah al Baqarah tadi menyebut dalam Tafsir Munir : bahawa ibadah puasa ini dapat melahirkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. melalui beberapa faktor :

1-Puasa dapat mendidik jiwa untuk takut kepada Allah samada dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau keadaan orang yang berpuasa kecuali Allah s.w.t.

2-Puasa dapat mengekang hawa nafsu dan meringankan pengaruh serta penguasaannya.

3-Puasa juga mampu mencetus naluri yang peka (sensitif) dan sifat belas simpati terhadap insan yang lain (lapar sewaktu berbuka mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan kurang bernasib baik seperti saudara-saudara kita di Palestin.)

4-Ibadah puasa memahamkan kita tentang persamaan kedudukan taraf antara orang-orang kaya dan miskin.

Kesimpulannya, bulan Ramadhan ini adalah untuk kita pulun buat amal ibadah dengan banyak mudah-mudahan kita mendapat martabat taqwa dan moga nanti di penghujung Ramadhan Allah akan membebaskan kita dari Neraka. Semoga ibadah puasa kita akan diterima oleh Allah s.w.t. dan kita akan berjaya mencapai matlamat puasa; iaitu menjadi orang yang bertaqwa. Jadi, marilah kita saling mengingatkan sesama kita untuk sentiasa beribadah kepada Allah s.w.t. supaya kita tidak menjadi orang yang rugi seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al ‘Asr. Orang yang tidak akan rugi itu bukan sahaja dia beriman dan beramal ibadah akan tetapi kena juga berpesan-pesan kepada orang lain dengan kebenaran dan kesabaran.

Siru ‘ala barakatillah..