Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Selasa, 29 Julai 2008

DERITA SEBUAH RASA

Sakit di hati
Serasa jantung bagai dirobek
Dicarik-carik
Tiap detik yang pergi
Hanya menambah pedih
Ngilu dan pilu
Hati hanya menyebut namanya
Mata cuma terbayang wajahnya



Tuhan,
Aku tak kuat
Diuji begini hebat

Bukan ku menolak fitrah
Namun dugaan ini
Terlalu dahsyat
Aku jadi walang
Saat ku sedar
Engkau telah ku abaikan
Bagaimana harus ku tempuhi
Hendak ku tinggalkan dia
Hati menjerit jangan
Akibat terlanjur dia kusayang

Sukar dikawal laku diri
Bila hati sudah dikuasai
Emosi cinta dan kasih sayang
Moga Tuhan menunjuki
Jalan yang benar
Lurus dan suci
Agar rasa ini bukan belati
Yang memusnah diri sendiri
Atau menjauhkan hati
Dari CintaNya yang hakiki

Rabu, 23 Julai 2008

MENANTI TETAMU RAMADHAN


Sudah hampir tiga minggu berada dalam bulan Rejab, sungguh tidak saya sedari begitu cepat masa berlalu. Rejab yang sangat kita kenali sebagai bulan Allah SWT penuh dengan kelebihan yang jarang kita rebutkan.

Rejab adalah bulan ketujuh dalam taqwim Islam selepas bulan Jamadil Akhir dan sebelum bulan Sya'ban. Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan Haram. Rejab adalah bulan yang sangat dimuliakan sejak zaman Jahiliyyah lagi.

Ada sebuah misalan Arab yang berbunyi : <<عش رجبا تر عجبا>>

Rejab membawa maksud kebesaran, keagungan dan kemuliaan dari segi bahasa. Rejab dalam bahasa Arab terbentuk dari tiga huruf iaitu ra', jim dan ba' yang masing-masing mempunyai pengertian tersendiri.

Huruf ra' membawa erti رحمة yang beerti rahmat Allah SWT ke atas hamba-hambaNya terutamanya umat Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Huruf jim pula beerti جود yang bermaksud pemurahnya Allah SWT. Manakala huruf ba' pula bermaksud بر yang beerti kebaikan dan kebajikan.

Kesemua sifat ini dapat kita lihat dalam peristiwa Isra' Mi'raj yang berlaku tanggal 27 Rejab dimana dengan rahmat dan kasih sayang Allah serta pemurahNya, kefardhuan solat yang pada asalnya ditaklifkan 50 waktu sehari semalam telah dikurangkan kepada 5 waktu sahaja. Bukan sekadar itu, malah Allah memberikan pahala berlipat kali ganda untuk 5 kali solat fardhu itu bersamaan dengan 50 kali sembahyang. Sedang amal kebajikan yang lain seperti sedekah, puasa, dan sebagainya tetap juga mendapat pahala yang berganda-ganda. Maha Suci Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

>>اللهم بارك لنا فى رجب و شعبان وبلغنا رمضان<<

Syukur Alhamdulillah, kerana Rahmat dan Pemurahnya Allah yang telah memberi kebaikan kepada saya,adik saya dan rakan-rakan dengan anugerah kejayaan. Moga nikmat ini tidak melalaikan kita untuk terus berusaha dengan lebih kuat lagi di masa hadapan.. Selamat menghabiskan musim cuti. Moga ia terisi dengan amalan-amalan yang memberi faedah buat kita semua bukan sahaja di muka bumi ini malah hingga ke Akhirat sana. Amin.

Selasa, 22 Julai 2008

::.. THANK YOU ALLAH ..::


Rasa syukur itu lahir dari hati

Tatkala nikmat Ilahi

Melimpahi diri

Tak mampu lagi digambar

Andai bisa dilakar rasa gembira ini

Pasti langit penuh berwarna warni

Benar Tuhan takkan menzalimi

Setiap doa hamba pasti dikabulkan

Bertuahlah diri yang punya perhatian

Yang dikasihi insan kiri dan kanan

Kerana mereka sering mendoakan

Yang terbaik buat diri ini

Terima kasih Tuhan

Atas nikmat sebuah kejayaan

Atas nikmat limpahan kasih sayang




Isnin, 21 Julai 2008

PERKAMPUNGAN TOK SAGOR 2008



















KALAH

Kekalahan itu lawannya kemenangan
Yang menjadi adat sebuah kehidupan
Yang sangat ditakuti
Mereka yang ingin bergelar pemenang

Kekalahan itu bukan hukuman
Bukan jua suatu siksaan
Bahkan ia satu kekuatan
Yang akan membimbing
Menuju kemenangan

Kekalahan itu sifatnya mengecewakan
Melukakan hati yang mengharap
Boleh membunuh semangat pejuang
Andai jiwa tidak kuat
Pergantungan pada Tuhan

Kekalahan itu suatu kenangan
Yang nanti menjadi momentum
Bagi mereka yang bersungguh
Dalam mencari erti sebenar
Sebuah kemenangan.


* Nukilan rasa hati saya saat menghiburkan hati kala diterjah berita kekalahan pasukan Dato’ Maharajalela dalam Perkampungan Tok Sagor yang telah berlangsung dari 15-19 Julai lalu. Sungguh kekalahan kali ini sangat memedihkan. Tidak seperti dulu bilamana saya tetap redha dengan kekalahan kerana sedar ia disebabkan oleh kurangnya usaha kami mengejar kemenangan. Namun kali ini hati saya bagai terhempas ke kaca dan tak mampu dicantum lagi. Moga Tuhan beri petunjuk panduan dalam mencari kemenangan hakiki.