Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Rabu, 30 Disember 2009

KISAH METEOR YANG JATUH DI MESIR





gambar sekadar hiasan 


Hari ini saya ke kuliah seperti biasa. Namun ada suatu perkara luar biasa yang berlaku. Kisah yang menarik untuk saya kongsikan di sini. Kisah tentang meteor yang jatuh di Mesir ini.


Sebelum saya berkisah, janganlah percaya sangat dengan tajuk yang saya letakkan. Itu hanya ayat untuk mencantikkan kisah dan membuatkan ia lebih 'boombastik'. Sewaktu saya turun dari bas, saya terkejut melihatkan seketul batu yang sangat besar berada di tengah-tengah jalan di hadapan tempat perhentian bas berdekatan kuliah. Perkara pertama yang terdetik di kepala saya ialah, tahi bintang ke komet ke meteor yang jatuh kat sini? Mungkin juga ada orang tengah buat penggambaran filem. Tapi, tidak kelihatan kamera ataupun krew di mana-mana. Lalu saya hanya tersenyum dan terus menuju ke kuliah.


Dalam perjalanan pulang dari kuliah saya menuju ke perhentian bas di mana ada batu 'meteor' yang saya lihat tadi. Namun situasi waktu itu sudah berubah. Kalau tadi, batu itu hanya terdampar di tengah jalan dan menjadi tontonan manusia yang lalu lalang, kini ia sudah bergerak sedikit kedudukannya ke tepi jalan. Anda tahu bagaimana batu itu boleh bergerak ke tepi? Jangan risau, saya bukan hendak membodohkan sesiapa, saya cuma ingin berkongsi pengajaran yang saya dapat hari ini. Batu itu digerakkan ke tepi jalan oleh sekumpulan lelaki Mesir yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh orang ramai yang memandu kenderaan di jalan yang sibuk itu. Apatah lagi batu tersebut betul-betul berada di hadapan perhentian bas. Bukankah menyusahkan orang namanya itu? Abaikanlah punca atau sebab bagaimana batu itu boleh terdampar di situ. Apa yang penting, seperti kata Wonderpet : KERJASAMA. Apa yang saya kesalkan ialah, saya tidak membawa kamera pada waktu itu. Jika tidak, sudah pasti situasi itu akan saya abadikan sampai akhir nanti.

Pasti mereka benar-benar menghayati sabda Nabi s.aw. :

Seseorang lelaki menemukan ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak menggangu orang-orang muslim”, kerana itu ia dimasukkan ke syurga.(Riwayat Muslim)
 Hadis dari Abu Hurairah r.a:
" Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya.

Begitulah setiap hari, kita bertemu dengan pelbagai peristiwa dan karenah manusia yang memberikan pengajaran buat kita. Seperti peribahasa Melayu yang selalu disebut 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Sepanjang pemukiman saya di bumi kinanah ini, saya melihat dan menemui pelbagai peristiwa dan ragam manusia. Ada yang sempat saya coretkan di sini, namun banyak juga yang hanya terakam di minda. Banyak kebaikan yang telah saya temui namun apabila difikirkan berapa banyak yang telah diaplikasikan dalam hidup saya sendiri, hati hampa dan kecewa. Memang banyak perkara berlaku yang mengharukan dan menyentuh hati kita. Namun jarang sekali kita mengambil iktibar dan pengajaran untuk kita terap dan aplikasikan dalam kehidupan kita. Jika ini yang berlaku, maka kita akan jadi seperti katak di bawah gelas yang mampu melihat persekitaran namun tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.


Mudah-mudahan kita sebagai umat Islam menjadi manusia yang paling banyak belajar dari persekitaran dan juga sejarah lampau. Kita mampu menjadi lebih baik dari semalam andai kita belajar dari sejarah dan persekitaran agar kita tidak mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan. Setiap hari adalah hijrah bagi kita. Hijrah dari keburukan kepada kesilapan. Hijrah dari mengejar dunia kepada mengejar Akhirat. Hijrah dari cinta manusia menuju cinta Tuhan.
Ya Allah, bimbinglah kami..

p/s: ini mungkin entri terakhir untuk tahun 2009. malam ini saya akan bertolak ke Semenanjung Sinai mengiringi pelajar-pelajar UM yang ber'jaulah' ke sana. malam esok kami akan mendaki Jabal Musa untuk melihat sendiri kebenaran agama Allah s.w.t. doakan kami selamat sepanjang perjalanan dan selamat pulang ke DMAK.
Mesti seronok orang-orang di Malaysia dapat melihat gerhana bulan malam esok. Marilah kita berjalan, melihat dan mentafsir.

Sabtu, 26 Disember 2009

10 MUHARAM, HARI ASYURA...

Semalam, dalam perjalanan pulang dari Port Sa'id ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah saya membaca semula karya atau naskhah teater bertajuk Karbala yang ditulis oleh Faisal Tehrani. Saya disoal oleh adinda-adinda UM tentang peristiwa sebenarnya yang berlaku di Karbala. Apabila saya menerangkan serba sedikit berdasarkan pembacaan saya, saya dilontarkan pula persoalan berkenaan Faisal Tehrani dan tuduhan syiah ke atas beliau. Saya sedar saya belum cukup ilmu untuk membahaskan berkenaan syiah ini. Tapi perbalahan yang membarahkan perpecahan di kalangan umat Islam adalah soal yang penting untuk sama-sama kita carikan penyelesaian. Dan saya melihat saranan yang disampaikan oleh Faisal Tehrani adalah suatu yang masuk akal untuk dipertimbangkan.

Saya memiliki beberapa karya besar Faisal Tehrani yang saya ulang kali baca apalagi karya beliau Tunggu Teduh Dulu yang mengisahkan tentang kecekalan dan kekuatan Salsabila dalam mengharungi kehidupan yang seringkali diwarnai dengan ujian dan cabaran yang pelbagai. Melalui watak Salsabila itu saya temui motivasi dan kekuatan untuk diri sendiri. Memang banyak yang mengatakan karya-karya beliau sudah banyak disusupi dengan unsur-unsur syiah. Namun tidak saya nafikan kehebatan karya-karya beliau dari sudut sastera apalagi mesej-mesej yang dibawakan lewat karya-karya beliau. Blog beliau adalah laman wajib yang saya akan baca setiap kali berkesempatan untuk online. Dan memang entri-entri beliau semenjak Muharam ini adalah berkisar saranan untuk meratapi kesyahidan Imam Hussein dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat beliau dalam peristiwa di Karbala.

Memang setiap kali membaca tulisan Faisal Tehrani, saya seringkali mempunyai pandangan-pandangan samada yang pro mahupun kontra terhadap idea yang beliau sampaikan. Saya bukanlah seorang yang banyak tahu seperti mereka yang lain namun setakat ilmu yang saya tahu, saya masih mampu untuk mengambil pengajaran dan pelajaran dari tulisan-tulisan beliau. Saya amat berterima kasih dengan beliau yang telah banyak mendedahkan tentang sejarah dan isu seputar dengan peristiwa di Karbala di blog beliau.

Makanya, bersempena dengan 10 Muharam adalah wajar untuk kita kaji dan selak kembali apa yang telah berlaku pada tarikh tersebut ribuan tahun dahulu. Mengambil tahu adalah antara cara menunjukkan prihatin dan perhatian kita kepada seseorang. Adakah salah mencintai ahlul bayt Rasulullah s.aw.? Lalu 10 Muharam yang sering kita sebut-sebut dan raikan dengan bubur 'Asyura setiap tahun itu kerana apa? Adakah sekadar mengikut-ikut orang lain atau kerana suka makan bubur 'Asyura.

Saya memahat azam untuk tahun 1431H ini untuk tidak lagi sekadar tahu tentang sesuatu isu atau perkara, tapi mengkaji dan mampu mempunyai pendapat sendiri. Doakan semoga dimaqbulkan.


p/s: Imtihan bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Peperiksaan saya adalah pada 21 Januari 2010 (Kesusasteraan Andalus) dan pada 25 Januari (Nusus Zaman Abbasiyah). Mohon doa semuanya moga dimudahkan menjawab soalan dan diberi kejayaan untuk naik tahun 4 pada sesi depan. Mohon maaf atas salah dan silap dan minta halal semuanya.

 

PARIS PUSAT FESYEN ISLAM?



Saya tidak mahu memandang negatif terhadap idea yang menarik seperti ini. Perkara pertama yang melintas di kepala saya apabila melihat headline ini ialah, sesiapa saja yang mahu merealisasikan idea ini wajar untuk membaca karya Faisal Tehrani bertajuk Manikam Kalbu sekiranya tidak dapat mendalami ilmu Fiqh sekitar aurat dalam Islam dan garis panduan pakaian yang sesuai dengan Islam. Dan pastinya para ulama' dan fuqaha' perlu menjadi pemantau yang tegas dalam isu ini.





p/s: wanita dan fesyen memang tak dapat dipisahkan?

Rabu, 23 Disember 2009

FORUM MA'AL HIJRAH 1431

Moderator : Us. Fathi Ramli
Panel : Us Mohd Noorazam Bahadur & Dr Husaini

Antara isi utama perbincangan yang dapat saya kongsikan :

1) Hijrah adalah suatu anjakan paradigma yang ada padanya yang berikut :
  - meninggalkan sesuatu atau suatu tempat yang sangat kita sayangi dan dekat di hati.
  - menjauhkan diri dari maksiat dan meninggalkan maksiat kerana Allah Taala.
  - tidak mencampurkan diri dengan pihak yang batil atau salah.
  - melibatkan diri dalam jama`ah Islam dan mengikuti pemimpin yang Islam.
  

2) Hijrah atau apa sahaja tindakan yang ingin dilaksanakan perlu ada perancangan yang teliti sepertimana proses Hijrah Rasulullah s.a.w. bersama sahabat Baginda Abu Bakar as-Siddiq. (ada penunjuk arah, ada yang menggantikan tempat tidur Baginda)

3) Niat yang betul dan ikhlas memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tindakan tidak lari dari syariat Allah s.w.t.

Saya memohon maaf kerana ada beberapa isi penting yang sudah saya 'terlupa' akibat kelewatan menyiapkan entri ini. Kesibukan yang tidak seberapa mengendalikan pelajar-pelajar Universiti Malaya agak membataskan waktu saya. sudahlah saya ini jenis lambat buat ayat..em, ini kelemahan saya yang paling perlu untuk dihijrahkan.

Ayuh, ambillah cahaya dari peristiwa hijrah (pengajaran, 'ibrah dan teladan) untuk kita sama-sama aplikasikan dalam hidup kita seharian. Mudah-mudahan tahun yang baru ini menjadikan kita lebih baik dari semalam yang telah berlalu. Amin.

KULLU SANAH WA ANTUM TOYYIBIN.
SALAM TAHUN BARU 1431H.



Jumaat, 4 Disember 2009

PENANGAN "KETIKA CINTA BERTASBIH"

Mulai semalam saya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang datang untuk belajar Bahasa Arab di Universiti Kaherah selama sebulan. Pelajar-pelajar ini yang berjumlah 30 orang terdiri dari 24 pelajar wanita dan 6 orang pelajar lelaki. Bayangkan nisbahnya, 1 lelaki : 4 perempuan. Agaknya memang betul di institut pengajian tinggi sekarang ini bilangan lelaki sangat kurang berbanding pelajar perempuan.

Pagi Jumaat saya dan Ustaz Ridwan membawa mereka berjalan-jalan menziarah Masjid Husain dan juga Masjid Azhar. Namun apa yang menggelikan hati saya ialah apabila sebelum bertolak ustaz mengatakan kita akan pergi melawat kuliah 'Mas Azzam'. Dan pelajar-pelajar ini yang juga banyak telah membaca dan menonton "Ketika Cinta Bertasbih" banyak mengenal Mesir lewat karya Habiburrahman El Shirazy. Antara yang sering mereka sebutkan adalah Metro yang sering menjadi pengangkutan utama dalam "Ayat-ayat Cinta". Dan begitulah perjalanan kami pada pagi itu. Asyik menunjuk suatu tempat sebagai lokasi dalam KCB.

"Sinilah tempat kuliah mas Azzam..kat sini tempat dia tahan teksi dan sebagainya lagi.."

Mesir barangkali perlu berterima kasih pada Habiburrahman El Shirazy yang banyak mempromosi Mesir secara tak langsung dalam karya-karyanya khususnya KCB. Barangkali Mesir patut untuk menganugerahkan gelaran Dato' kepada beliau atas jasa baiknya yang banyak mempromosi Mesir. Sedangkan Shah Rukh Khan yang 'shooting' beberapa saat di Melaka dianugerahkan Dato' oleh kerajaan negeri Melaka. Saya rasa Habiburrahman El shirazy lebih lagi layak. Tapi, saya tak tahu samada Mesir ada memberi gelaran Dato' atau tidak.

:: mungkin kita boleh lobi Habiburrahman El Shirazy untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi atau latar tempat dalam karya beliau yang seterusnya. Bukankah di Malaysia sekarang sudah ada cawangan Universiti Al Azhar? kalau jadi, saya sokong 100% beliau dianugerahkan gelaran Dato'  (',') ::