Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Rabu, 30 Disember 2009

KISAH METEOR YANG JATUH DI MESIR





gambar sekadar hiasan 


Hari ini saya ke kuliah seperti biasa. Namun ada suatu perkara luar biasa yang berlaku. Kisah yang menarik untuk saya kongsikan di sini. Kisah tentang meteor yang jatuh di Mesir ini.


Sebelum saya berkisah, janganlah percaya sangat dengan tajuk yang saya letakkan. Itu hanya ayat untuk mencantikkan kisah dan membuatkan ia lebih 'boombastik'. Sewaktu saya turun dari bas, saya terkejut melihatkan seketul batu yang sangat besar berada di tengah-tengah jalan di hadapan tempat perhentian bas berdekatan kuliah. Perkara pertama yang terdetik di kepala saya ialah, tahi bintang ke komet ke meteor yang jatuh kat sini? Mungkin juga ada orang tengah buat penggambaran filem. Tapi, tidak kelihatan kamera ataupun krew di mana-mana. Lalu saya hanya tersenyum dan terus menuju ke kuliah.


Dalam perjalanan pulang dari kuliah saya menuju ke perhentian bas di mana ada batu 'meteor' yang saya lihat tadi. Namun situasi waktu itu sudah berubah. Kalau tadi, batu itu hanya terdampar di tengah jalan dan menjadi tontonan manusia yang lalu lalang, kini ia sudah bergerak sedikit kedudukannya ke tepi jalan. Anda tahu bagaimana batu itu boleh bergerak ke tepi? Jangan risau, saya bukan hendak membodohkan sesiapa, saya cuma ingin berkongsi pengajaran yang saya dapat hari ini. Batu itu digerakkan ke tepi jalan oleh sekumpulan lelaki Mesir yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh orang ramai yang memandu kenderaan di jalan yang sibuk itu. Apatah lagi batu tersebut betul-betul berada di hadapan perhentian bas. Bukankah menyusahkan orang namanya itu? Abaikanlah punca atau sebab bagaimana batu itu boleh terdampar di situ. Apa yang penting, seperti kata Wonderpet : KERJASAMA. Apa yang saya kesalkan ialah, saya tidak membawa kamera pada waktu itu. Jika tidak, sudah pasti situasi itu akan saya abadikan sampai akhir nanti.

Pasti mereka benar-benar menghayati sabda Nabi s.aw. :

Seseorang lelaki menemukan ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak menggangu orang-orang muslim”, kerana itu ia dimasukkan ke syurga.(Riwayat Muslim)
 Hadis dari Abu Hurairah r.a:
" Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya.

Begitulah setiap hari, kita bertemu dengan pelbagai peristiwa dan karenah manusia yang memberikan pengajaran buat kita. Seperti peribahasa Melayu yang selalu disebut 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Sepanjang pemukiman saya di bumi kinanah ini, saya melihat dan menemui pelbagai peristiwa dan ragam manusia. Ada yang sempat saya coretkan di sini, namun banyak juga yang hanya terakam di minda. Banyak kebaikan yang telah saya temui namun apabila difikirkan berapa banyak yang telah diaplikasikan dalam hidup saya sendiri, hati hampa dan kecewa. Memang banyak perkara berlaku yang mengharukan dan menyentuh hati kita. Namun jarang sekali kita mengambil iktibar dan pengajaran untuk kita terap dan aplikasikan dalam kehidupan kita. Jika ini yang berlaku, maka kita akan jadi seperti katak di bawah gelas yang mampu melihat persekitaran namun tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.


Mudah-mudahan kita sebagai umat Islam menjadi manusia yang paling banyak belajar dari persekitaran dan juga sejarah lampau. Kita mampu menjadi lebih baik dari semalam andai kita belajar dari sejarah dan persekitaran agar kita tidak mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan. Setiap hari adalah hijrah bagi kita. Hijrah dari keburukan kepada kesilapan. Hijrah dari mengejar dunia kepada mengejar Akhirat. Hijrah dari cinta manusia menuju cinta Tuhan.
Ya Allah, bimbinglah kami..

p/s: ini mungkin entri terakhir untuk tahun 2009. malam ini saya akan bertolak ke Semenanjung Sinai mengiringi pelajar-pelajar UM yang ber'jaulah' ke sana. malam esok kami akan mendaki Jabal Musa untuk melihat sendiri kebenaran agama Allah s.w.t. doakan kami selamat sepanjang perjalanan dan selamat pulang ke DMAK.
Mesti seronok orang-orang di Malaysia dapat melihat gerhana bulan malam esok. Marilah kita berjalan, melihat dan mentafsir.

Tiada ulasan: