Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Sabtu, 26 Disember 2009

10 MUHARAM, HARI ASYURA...

Semalam, dalam perjalanan pulang dari Port Sa'id ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah saya membaca semula karya atau naskhah teater bertajuk Karbala yang ditulis oleh Faisal Tehrani. Saya disoal oleh adinda-adinda UM tentang peristiwa sebenarnya yang berlaku di Karbala. Apabila saya menerangkan serba sedikit berdasarkan pembacaan saya, saya dilontarkan pula persoalan berkenaan Faisal Tehrani dan tuduhan syiah ke atas beliau. Saya sedar saya belum cukup ilmu untuk membahaskan berkenaan syiah ini. Tapi perbalahan yang membarahkan perpecahan di kalangan umat Islam adalah soal yang penting untuk sama-sama kita carikan penyelesaian. Dan saya melihat saranan yang disampaikan oleh Faisal Tehrani adalah suatu yang masuk akal untuk dipertimbangkan.

Saya memiliki beberapa karya besar Faisal Tehrani yang saya ulang kali baca apalagi karya beliau Tunggu Teduh Dulu yang mengisahkan tentang kecekalan dan kekuatan Salsabila dalam mengharungi kehidupan yang seringkali diwarnai dengan ujian dan cabaran yang pelbagai. Melalui watak Salsabila itu saya temui motivasi dan kekuatan untuk diri sendiri. Memang banyak yang mengatakan karya-karya beliau sudah banyak disusupi dengan unsur-unsur syiah. Namun tidak saya nafikan kehebatan karya-karya beliau dari sudut sastera apalagi mesej-mesej yang dibawakan lewat karya-karya beliau. Blog beliau adalah laman wajib yang saya akan baca setiap kali berkesempatan untuk online. Dan memang entri-entri beliau semenjak Muharam ini adalah berkisar saranan untuk meratapi kesyahidan Imam Hussein dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat beliau dalam peristiwa di Karbala.

Memang setiap kali membaca tulisan Faisal Tehrani, saya seringkali mempunyai pandangan-pandangan samada yang pro mahupun kontra terhadap idea yang beliau sampaikan. Saya bukanlah seorang yang banyak tahu seperti mereka yang lain namun setakat ilmu yang saya tahu, saya masih mampu untuk mengambil pengajaran dan pelajaran dari tulisan-tulisan beliau. Saya amat berterima kasih dengan beliau yang telah banyak mendedahkan tentang sejarah dan isu seputar dengan peristiwa di Karbala di blog beliau.

Makanya, bersempena dengan 10 Muharam adalah wajar untuk kita kaji dan selak kembali apa yang telah berlaku pada tarikh tersebut ribuan tahun dahulu. Mengambil tahu adalah antara cara menunjukkan prihatin dan perhatian kita kepada seseorang. Adakah salah mencintai ahlul bayt Rasulullah s.aw.? Lalu 10 Muharam yang sering kita sebut-sebut dan raikan dengan bubur 'Asyura setiap tahun itu kerana apa? Adakah sekadar mengikut-ikut orang lain atau kerana suka makan bubur 'Asyura.

Saya memahat azam untuk tahun 1431H ini untuk tidak lagi sekadar tahu tentang sesuatu isu atau perkara, tapi mengkaji dan mampu mempunyai pendapat sendiri. Doakan semoga dimaqbulkan.


p/s: Imtihan bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Peperiksaan saya adalah pada 21 Januari 2010 (Kesusasteraan Andalus) dan pada 25 Januari (Nusus Zaman Abbasiyah). Mohon doa semuanya moga dimudahkan menjawab soalan dan diberi kejayaan untuk naik tahun 4 pada sesi depan. Mohon maaf atas salah dan silap dan minta halal semuanya.

 

Tiada ulasan: