Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Jumaat, 25 Februari 2011

ALHAMDULILLAH, SYUKUR

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Sesungguhnya, Tuhan telah menetapkan bahawa di sebalik tiap kesusahan itu ada kemudahannya. Di balik derita, ada juga gembira. Cuma manusia yang jarang sekali mampu bersabar dalam mendepani kesusahan ataupun derita. Sedangkan Tuhan sudah menjanjikan bahawa Dia sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar.

Secebis ujian yang Tuhan berikan tidakkan sama dengan ujian yang Dia berikan kepada hamba-hambaNya yang lain di Palestin sana. Mudah-mudahan setiap ujian yang ditempuhi meningkatkan nilai iman dan taqwa serta menjadikan diri kita lebih dekat padaNya yang Maha Kuasa.

Alhamdulillah, kerajaan negeri akan membantu menghantar pelajar-pelajar yang belajar di Mesir. Itu sudah sangat menggembirakan. Apatah lagi sesi pembelajaran juga sudah ditentukan akan bermula pada pertengahan bulan Mac.

Sementara menanti makluman lanjut dari pihak yang berkenaan, ruang cuti yang ada ini mesti dimanfaatkan sewajarnya. Moga Tuhan sentiasa bersama dalam setiap langkah kaki ini menuju kepadaNya.

Bersamalah kita memanjat doa untuk keselamatan dan kesejahteraan umat Islam khususnya di mana sahaja berada.

Rabu, 23 Februari 2011

SEMOGA ADA BENARNYA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Akhirnya khabar yang ditunggu tiba jua. Cuma sekarang masih menanti pengesahan dari pihak kerajaan negeri sendiri. Mudah-mudahan ia terlaksana. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih kepada yang prihatin. Klik sini untuk baca khabar gembira.

Selasa, 22 Februari 2011

CATATAN SEMPENA 'EXTENDED WINTER BREAK'

Alhamdulillah, walaupun kini saya berada di kawasan kampung yang jauh berbeza dengan suasana bandar besar Kaherah saya tidaklah sangat merasa janggal disebabkan oleh talian internet yang ada di rumah.
Terima kasih pada bonda. Ketepikan dahulu soal suasana kampung yang masih belum saya mesrai, itu bukan isunya untuk dibicarakan disini.

Cuti 'darurat' yang diberikan tidak memberikan keseronokan bersama dengan keluarga. Bukan tidak bersyukur. Tapi, dalam melalui cuti ini, hati tidaklah gembira seperti disangka. Persoalan bilakah dapat kembali ke Kaherah meneruskan pengajian, soal tiket kapal terbang yang semakin mahal, soal keselamatan bila berada di sana, dan macam-macam lagi tak pernah senyap dari akal fikiran. Dalam doa, hanya pada-Nya dipanjatkan sejuta pengharapan semoga segalanya nanti dapat berjalan lancar seperti sediakala setelah selesai 'extended winter break' ini.

Dalam asyik melayari internet, entah bagaimana saya jadi tertagih dengan laman MedicMesir yang banyak pula informasinya. Tapi apa-apa informasi pun tetap perlu dipastikan dahulu kesahihannya.

Syukur apabila membaca berita gembira tentang beberapa kerajaan negeri yang sudi membantu anak-anak negerinya untuk kembali meneruskan pengajian di Mesir dengan menanggung kos penerbangan ke Mesir. Beruntung pelajar-pelajar Pahang, PerlisPulau Pinang, Selangor dan terbaru Melaka. Namun semua itu masih tertakluk dengan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab sekiranya Mesir sudah selamat dan keselamatan pelajar-pelajar disana terjamin. Semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya.

Saya kira anak-anak Perak juga mengharapkan kerajaan Perak juga sudi membantu dalam soal kos kembali ke Mesir. Semoga dipermudahkan urusan-urusan mereka yang menuntut ilmu di jalan-Nya.

Rabbuna yusahhil, ya Rabb

Selasa, 15 Februari 2011

MESIR DARI KEJAUHAN..

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Alhamdulillah, walaupun berada di ceruk kampung yang jauh sangat bezanya dengan kehidupan di Kaherah, sekurang-kurangnya talian internet di sini masih berfungsi dengan baik. syukur..

Setiap hari bila melayari internet, perkara yang mesti dibuat ialah buka Al Jazeera dan baca berita-berita tentang Mesir yang ku rindui.. paling best hari ni jumpa satu video yang sangat menarik tentang harapan rakyat Mesir terhadap Mesir..aah,malas kabor..tengok sendiri kat sini.. yang saya paling suka adalah part 1:28 memang terbaik..itulah jua harapanku..

Setiap hari kepala mengira-ngira bila agaknya boleh balik Mesir? Rindunya Allah sahaja tahu..

Semoga keadaan akan bertambah baik dan Mesir akan terus menuju kepada kemajuan yang diredhai. Amin.

Rabu, 9 Februari 2011

ALHAMDULILLAH 'ALA KULLI HAL

Tepat 7.31 pagi penerbangan MAS selamat mendarat di  KLIA. Dalam hati, pelbagai rasa menghuni. Entah apa puncanya, badan terasa panas bagaikan demam. Mungkinkah hati masih berat meninggalkan bumi Mesir? Antara percaya dengan tidak, hati tertanya-tanya : what's next?

Tiba di rumah, hari sudah suntuk. Namun, hasrat untuk menulis entri baru melonjak-lonjak meski akal sudah kekeringan idea. Apa yang penting dalam catatan ini ialah, saya ingin merakamkan berjuta-juta dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam Ops Piramid sehingga memungkinkan saya kini selamat berada di rumah bersama keluarga. Terima kasih kepada pihak-pihak berikut :

- Perdana Menteri Malaysia
- Menteri-menteri yang turun padang ke Cairo dan juga Jeddah bagi melihat sendiri keadaan para pelajar
- Pegawai-pegawai di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Education Malaysia
- Ayahanda Ustaz Harun Mat Zain dan Ummi Azizah (shukran awi2 sudi tumpangkan kami 2 malam)
- Barisan ahli jawatankuasa PERUBATAN dan Jawatankuasa Penghuni Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (yang bertungkus lumus menjalankan tugas sehingga tidak tidur malam dan tidak menentu makan minum)
- Kedutaan Malaysia di Arab Saudi
- Kerajaan Arab Saudi
- Kakitangan Tabung Haji di Kompleks Tabung Haji Madinatul Hujjaj, Jeddah (terima kasih atas keprihatinan dan layanan yang menghilangkan keresahan dan kegalauan hati kami)
- hKelab Malaysia Jeddah (yang tidak putus-putus memberikan bantuan berupa makanan dan pakaian serta segala keperluan yang kami minta)
- Malaysian Airlines, Air Asia dan TUDM
- Sukarelawan yang membantu dalam proses evakuasi
- Sahabat-sahabat se'DMAK' yang sentiasa menceriakan hari-hari meski keadaan di luar sangat tegang dan merisaukan.
- Semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan proses evakuasi pelajar Malaysia

JAZAKUMULLAHU KHAIRAL JAZA' 

|nurhajar nafi'ah zuber|
|2022 padang rengas|