Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Ahad, 26 Julai 2009

TERBANGLAH TINGGI

Dedikasi buat annur yang kini sibuk meladeni tuntutan kerjanya. Semoga Tuhan memelihara dan melindungimu selalu walau dimana sahaja. Dan semoga diberi keberkatan dalam setiap amalan.





TERBANGLAH TINGGI

Masih terbayang saat dulu
Kau memandangku
Penuh kasih sayang
Masih terngiang lagi bicaramu
Saat kau terduduk
Dihempap cabaran
Lirih suara dan sendu tangis
Masih basah di kamar ingatan

Kini kau berdiri
Tegak di atas kakimu sendiri
Bukan lagi seperti dulu

Pergilah
Dan terbanglah setinggi mampumu
Tunjukkan pada dunia siapa dirimu
Aku sentiasa melihat dari kejauhan
Mendoakanmu penuh kerinduan

Andai nanti langkahmu kabur
Pulanglah ke sini
Kerana aku setia menanti.


cahaya hijrah
0222
09072009









Jumaat, 17 Julai 2009

TAHUN KESEDIHAN


Tahun 2009 ini telah saya isytiharkan secara rasminya sebagai tahun kesedihan dalam hidup saya. Pelbagai peristiwa menyedihkan yang berlaku. Pemergian insan tersayang menemui Tuhan, kehilangan, perpisahan dan berjauhan dengan teman semuanya memberi kesan yang bukan sedikit dalam diri saya. Apalagi bila semua itu ditambah pula dengan ujian dari Tuhan yang Maha Penyayang.

Saya teringat mendengar kalam seorang sahabat tentang apa makna yang terselindung di balik nama Mesir. Dalam bahasa Arab. Mesir dieja dengan huruf mim, shod, ra.


Huruf mim diertikan sebagai mehnah yang bermaksud ujian. Shod pula membawa pengertian sabar dan ra pula beerti redha. Lalu benarlah kata-katanya itu. Tanyalah pada mereka yang pernah menjadi perantau di bumi ujian, sabar dan redha ini. Kehidupan di Mesir ini pasti tak lepas dari tiga perkara itu. Benar, Mesir adalah bumi yang penuh mehnah dan tribulasi. Masakan tidak, ini kan bumi Anbiya' seperti Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang mana kisah keduanya banyak termaktub dalam Al Quran. Musibah yang menimpa boleh dihadapi dengan sabar dan solat. Dan benar ramai yang sabar menghadapi musibah namun berapa kerat sahaja yang mampu untuk redha dengan setiap apa yang telah Tuhan takdirkan untuk diri. Redha itu bukan boleh dilihat. Kesabaran boleh dilihat oleh manusia lain. Namun redha, hanya Tuhan yang tahu. Ia sama seperti sifat ikhlas yang payah untuk dimiliki.

Hampir tidak percaya, keberadaan saya di bumi ini sudah menjangkau enam tahun. Suatu jangka masa yang terlalu lama. Pelajar perubatan yang datang ke sini pada tahun yang sama dengan saya pasti sudah pulang membawa ijazah mereka. Sahabat-sahabat yang datang batch yang sama dengan saya ada yang sudah berkahwin dan beranak pinak. Ada juga yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Master. Dan saya berada di mana?

Musibah yang menimpa diri manusia adalah berpunca kerana manusia itu sendiri. Seperti firman Tuhan dalam surah Ar Ruum ayat 41 yang bermaksud :
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia"

Dan setiap musibah yang berlaku dalam hidup ini saya cuba hadapinya dengan sebaik mungkin. Bagi saya apa yang berlaku itu hanya antara dua, iaitu samada ia suatu kafarah atas segala dosa-dosa yang lalu atau ia ujian yang pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuma kelemahan kita sebagai manusia yang jarang dapat memahami bicara yang Tuhan sampaikan di sebalik segala takdir yang telah ditetapkan buat setiap manusia.

Sudah acap kali saya diuji begini. Dan kini saya menerima ujian yang sama buat kali keempat. Sungguh ujian kali ini terasa berat yang amat lantaran jiwa yang sudah rapuh sekian lama. Sebelum ini saya lebih tabah menerima ujian ini sedang kini saya mudah saja mengalirkan air mata. Kak Su saja yang menasihati saya untuk terus tabah. Annur ada juga memberi kata semangat di celah-celah kesibukannya itu.

Saya sedar kini diri ini bagai layang-layang yang terputus tali. Hanya mengikut sahaja ke arah mana angin meniup. Kekuatan sudah hilang, apa yang tinggal hanya sebuah jasad yang masih terus menjalani kehidupan. Tugas yang diamanahkan terbengkalai separuh jalan tanpa ada rasa untuk menyempurnakannya. Saya perlu beruzlah kembali mencari semula diri yang telah hilang ditiup angin panas padang pasir. Semoga Tuhan akan tetap terus membimbing langkah kaki yang bakal dihayun selepas ini. Saya mohon kekuatan untuk mendepani bonda dan ayahanda. Amin.

Sabtu, 4 Julai 2009

SEPI

" Bisikku pada bulan
Kembalikan temanku
Kekasihku, Syurgaku

Tanpa dia
Malam menemaniku
Sepi memelukku

Bulan jangan biar siang
Biar alam ini kelam
Biar ia sepi
Sepertiku "

-khalil gibran-

Entah apa yang perlu dinamakan pada sebuah perasaan ini. Bait-bait kata dari filem Sepi itu terasa benar menyusuk ke dalam kalbu. Sepi. Mungkin itu perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan rasa ini.

"Tapi, bagaimana boleh sepi? Temanmu penuh keliling pinggang. Tawamu tak pernah suram. Senyummu tak pernah pudar"

"Benar, temanku sentiasa ada. Aku tidak makan sendirian. Berjalan sering berteman. Tapi aku sepi. Ya, jiwaku sepi, hatiku jua sepi. Biar bibir senyum dan ketawa tak henti, tapi jauh di sudut hati aku menangis dalam syahdu"

Aku kira kemelut ini berlaku kerana Allah telah menarik kembali nikmat 'sahabat sejati' yang pernah dulu aku kecapi namun jarang sekali aku syukuri.

kesuma- dulu jarang sangat nak berterima kasih padanya. Dia banyak menyedarkan aku akan personaliti diriku sendiri. Kami berkongsi bintang yang sama dan itu enjadi titik kuat yang mengikat kmi. Persamaan dan perbezaan personaliti kami tak pernah berjaya memisahkan kami. Kegembiraan hidup bersamanya membuatkan aku tidak terasa seksanya berjauhan dari keluarga. Namun sayang sekali bila aku terlewat menyedari betapa berharganya dia dalam hidupku. Bila mengetahui dia akan pergi jauh dariku, barulah aku merasakan betapa ruginya aku atas kehilangan ini. Dan perginya dia bagai membawa bersama sayap kiriku. Walau kini aku masih terbang di langit, ia sudah tidak seperti dulu. Awan yang indah bagai tiada lagi makna. Rintangan dan cabaran yang melanda tetap ku tempuhi. Namun kekuatanku sudah hilang separuh daya. Dan begitulah aku menjadi sepi.

annur- segalanya berlaku begitu pantas tanpa kita sedari. Kemanisan dan indahnya perhubungan tetap dirasai walaupun jarang bersua muka. Biar jauh di mata, tapi dekat di hati. Begitu tema kita. Dan kejauhan itu membungakan rindu yang tidak tergambar. Dia temanku yang tidak pernah jemu mendengar bicaraku biar malam sudah larut. Biar mata sudah berat dan kantuk mendakapnya. Bicaraku tetap disambutnya. Biar gembira mahupun sedih hiba, dia tetap setia meminjamkan telinga malah merangsang jiwa yang lara. Dengannya aku kongsikan segala. Kita sering bertukar pandangan, bersoal jawapan dan berkasih sayang. Benar, kita tidak pernah sunyi dari silap dan salah. Andai rajukmencelah antara kita pasti ada yang memujuk. Namun takdir Tuhan membawanya jauh dariku. Dia diperlukan oleh mereka yang sangat memerlukan khidmatnya. Dan aku harus merelakan walau dalam hati menderita kerinduan. Rindu pada tutur bicaranya. Rindu yang tak pernah surut. Dan aku ditinggalkan menjadi sepi.