Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Rabu, 21 Oktober 2009

KEAJAIBAN



Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Tiada yang mustahil bagi-Nya.

Rabu, 14 Oktober 2009

SPR DMAK



Buat kali pertamanya, ahli Jawatan kuasa Penghuni (JKP) Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah bakal dibuat melalui proses pencalonan dan pemilihan, bukan lagi secara lantikan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Gerak kerja SPR ini akan bermula sekitar 14/15 Oktober ini. Sekiranya ramai calon yang dicalonkan sehingga melebihi kuota, maka tentulah pilihanraya akan diadakan pada 30 Oktober.

:: i'm sure everyone is looking forward into this ::

Rabu, 7 Oktober 2009

PURDAH @ NIQAB


Apa saja berita yang dengar, kita mesti melihat atau mendengar kepada setiap pihak yang terlibat.. berita di atas adalah apa yang keluar dalam akhbar di Malaysia. Klik sini dan sini untuk melihat berita yang keluar di Mesir.


Hayati Firman Tuhan :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ



Maksudnya : Wahai orang-orang yang Beriman, apabila datang seorang fasiq dengan membawa suatu informasi maka periksalah dengan teliti agar kalian tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum karena suatu kebodohan, sehingga kalian menyesali perbuatan yang telah kalian lakukan

(al-Hujurat:6)


Sabtu, 3 Oktober 2009

PERKENALAN PERTAMA

Saya terkenang saat-saat semasa saya mula-mula tiba di bumi Mesir ini. Saya bertolak 2 hari selepas saya genap berusia 20 tahun. Tapi, bukan itu yang nak saya perkatakan.


Ketibaan saya sangatlah lambat dari pelajar-pelajar baru yang lain. Saya tidak kenal sesiapa sebelum datang ke Mesir. Apa yang saya ada hanya doa dan restu dari mak abah. Maka perjalanan hidup saya di Mesir bermula dari zero.



Apa yang menjadi kenangan manis dalam hidup saya ialah semasa saya mula tiba di Mesir, disambut oleh exco atau AJKT KPIPM pada waktu itu. Saya ditempatkan di syaqah 7 bersama dengan seorang lagi pelajar yang datang bersama saya. Waktu itu bulan puasa. Cuaca pada waktu itu adalah musim sejuk.



:: Wajah Wisma Darul Ridzuan sewaktu saya tiba ::


:: Wajah Wisma Darul Ridzuan pada tahun 2009 setelah diislah ::

Seminggu pertama saya di Mesir, saya hanya berehat. Saya tidur dan bangun untuk makan sewaktu sahur dan berbuka. Kemudian selepas bersembang barang sedikit, saya tidur semula. Begitulah indahnya pengalaman pertama saya di Mesir. Saya amat berterima kasih pada exco-exco KPIPM pada waktu itu yang banyak membantu saya. Tanpa mereka, entah apa yang terjadi pada saya. Begitulah untuk tahun berikutnya, saya pula terlibat dalam gerak kerja untuk menguruskan sambutan pelajar-pelajar baru.


Sekarang saya hanya terlibat menguruskan penempatan untuk pelajar-pelajar perubatan yang datang ke Mesir. Tak banyak mana pun kerja saya.


Apabila mengenangkan pengalaman semasa mula-mula tiba di Mesir, saya jadi kasihan melihat pelajar-pelajar baru yang
di bawah tajaan Yayasan Terengganu. Semasa saya menemui mereka, apa yang mereka tanyakan ialah "akak, kat sini boleh basuh baju?" Kasihan mereka. Seminggu pertama tiba sudah dibawa menjelajah Mesir. Bersyukur saya kerana saya tidak melalui apa yang mereka lalui. Namun, apa yang pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkin ini caranya Allah mengingatkan saya agar tidak mengabaikan KPIPM yang telah banyak membantu saya seawal mula saya menjejakkan kaki di bumi kinanah ini. KPIPM juga yang telah memberi saya pelbagai ilmu berkaitan organisasi, pengurusannya dan juga ilmu komunikasi sesama manusia.


Mudah-mudahan Allah pelihara kesatuan anak-anak Perak di
Mesir di bawah naungan KPIPM. Selamat kembali ke kuliah buat semua sahabat-sahabat di Mesir dan selamat datang ke bumi Anbiya' buat semua pelajar baru. Semoga permusafiran ilmu kita di bumi ini menjadikan kita insan yang lebih baik dari sebelum kedatangan kita ke sini dan kembalinya kita nanti dapat pula menyumbang bakti dan tenaga kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara tercinta..


:: p/s: saya masih belum berkesempatan menjenguk rumah baru Perak yang dengarnya dipanggil Wisma B. moga nanti dilapangkan masa untuk ke sana, Amin ::

KESATUAN, KERJASAMA, KASIH SAYANG

Apa yang bakal saya nyatakan hanyalah pandangan saya yang kurang ilmu, kurang tahu, dan kurang kaji. Namun, tidak semestinya pandangan saya ini salah walaupun ia juga tidak seharusnya betul.


Sesuatu yang saya pasti, kita adalah umat yang sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai umat Baginda Muhammad s.a.w. Namun apa yang menyedihkan dalam realiti umat Muhammad kini ialah kita seolah telah membuang tuah itu dari diri kita.


Masyarakat Arab bermula sebelum kemunculan Baginda s.a.w. lagi telah memiliki suatu sikap perkauman atau asobiyah yang sangat kuat. Namun, setelah kemunculan Baginda s.a.w. masyarakat Arab pada waktu itu bersatu dengan. Baik yang memeluk Islam mahupun yang menentang. Umat Islam waktu itu disatukan di bawah kalimah tauhid, disaudarakan antara Ansar dan Muhajirin sehinggakan mereka sanggup berkorban untuk saudara seakidah. Pihak musyrikin Mekah pula bersatu tanpa mengira puak demi untuk menghentikan dakwah Baginda s.a.w. yang menyeru kepada Islam. Perang Ahzab atau juga dinamai Khandaq menjadi bukti.


Masa berlalu, dan umat Islam kini bukan lagi seperti dahulu. Kekuatan kita sudah tiada lantaran kita dipisahkan oleh rasa nasionalisme yang lebih menebal dari persaudaraan Islam. Maka, apa yang menimpa saudara seIslam di Palestin tidak begitu diambil peduli oleh umat Islam di negara lain. Bukan tiada yang prihatin, namun berapalah saja jumlahnya. Itu apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Sedang dalam setiap negara Islam itu sendiri menyaksikan ketidaksatuan antara masyarakat Muslimnya.




Merenung pada politik tanahair, adakala timbul rasa muak apabila membaca berita tentang pergeseran antara parti politik orang-orang Melayu Islam. Namun untuk tidak mengambil peduli bukanlah juga satu sikap yang bijak kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda : " man la yahtammu bi amril muslimin falaisa minna "

Yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak mengambil tahu perihal saudara muslimin yang lain, maka dia bukan dari golongan kami.


Kembali kepada bumi kinanah yang menjadi saksi kedatangan ribuan rakyat Malaysia. Saya yakin bukan mudah untuk menyamakan fikrah antara ribuan yang ada itu. Dengan latar belakang dan pengalaman yang pelbagai, saya pasti setiap mahasiswa Malaysia di bumi Mesir mempunyai pemikiran dan ide yang berbeza. Lalu muncullah pelbagai jenis persatuan di kalangan mahasiswa kita. Ada yang sudah lama kukuh bertapak, ada juga yang baru setahun jagung usianya.


Saya buntu memikirkan perbezaan fikrah antara mahasiswa kita telah mewujudkan fenomena ketidaksatuan yang hanya merugikan mahasiswa kita sendiri. Suatu yang menyedihkan apabila yang satu menganggap yang satu lagi sebagai musuh. Saya mungkin tidak memahami perkara-perkara atau peristiwa yang berlaku. Namun saya yakin, tindakan menganggap atau mengelar mereka yang berbeza fikrah dengan kita sebagai musuh adalah tidak tepat lantaran kita umat Islam adalah bersaudara. Dan saya jadi sayu bila memikirkan andai Baginda s.a.w. masih hidup dan melihat situasi ini, pasti Baginda bersedih. Lalu, apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah s.w.t. apabila ditanya di Akhirat nanti?


Saya tidak rasa untuk melebihkan atau membenarkan mana-mana pihak kerana saya yakin kita sebagai manusia tidak lepas dari melakukan silap dan salah. Sehebat manapun kita, atau seberapa lamapun usia bukan ukuran atau jaminan bahawa kita sentiasa di pihak yang benar. Ada masa dan ketikanya kita tersilap dan tersalah dalam membuat penilaian dan tindakan. Sikap selalu merasakan diri sendiri itu betul dan orang lain sentiasa salah bukan tindakan yang baik. Mungkin ada baiknya jika kita renungkan punca dan sebab mengapa setiap peristiwa itu berlaku.


What goes around, comes around. Kadang apa yang berlaku kepada kita adalah disebabkan apa yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Maka, jika orang lain menyusahkan kita atau menganiaya kita, itu mungkin kerana kita pernah berbuat perkara yang sama kepada seseorang yang lain. Dan jika tidak, itu tandanya Allah menguji kita dengan ujian-Nya yang dalam pelbagai cara. Pasti nanti, Allah membalas kita atas kesabaran kita menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Satu prinsip yang selalu saya pegang; biarlah orang lain hendak berkata tidak baik atau membuat jahat atau menyusahkan kita, apa yang penting kita menghadapinya dengan kebaikan. Jadilah seperti pohon epal yang dibaling batu, namun dibalas dengan buah epal dan bukan batu. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah biasa, sedang membalas kebaikan dengan keburukan adalah zalim namanya. Dan membalas keburukan dengan keburukan adalah patut, namun membalas keburukan dengan kebaikan itulah keluarbiasaan dan tanda kehebatan seorang insan.


Mohon maaf bicara yang tersalah, kata yang tersilap. Moga ada kebaikan dan kebenaran dalam apa yang dinyatakan agar masa yang diluangkan tidak menjadi kerugian.


Siru ‘ala barakatillah..