Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Sabtu, 3 Oktober 2009

KESATUAN, KERJASAMA, KASIH SAYANG

Apa yang bakal saya nyatakan hanyalah pandangan saya yang kurang ilmu, kurang tahu, dan kurang kaji. Namun, tidak semestinya pandangan saya ini salah walaupun ia juga tidak seharusnya betul.


Sesuatu yang saya pasti, kita adalah umat yang sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai umat Baginda Muhammad s.a.w. Namun apa yang menyedihkan dalam realiti umat Muhammad kini ialah kita seolah telah membuang tuah itu dari diri kita.


Masyarakat Arab bermula sebelum kemunculan Baginda s.a.w. lagi telah memiliki suatu sikap perkauman atau asobiyah yang sangat kuat. Namun, setelah kemunculan Baginda s.a.w. masyarakat Arab pada waktu itu bersatu dengan. Baik yang memeluk Islam mahupun yang menentang. Umat Islam waktu itu disatukan di bawah kalimah tauhid, disaudarakan antara Ansar dan Muhajirin sehinggakan mereka sanggup berkorban untuk saudara seakidah. Pihak musyrikin Mekah pula bersatu tanpa mengira puak demi untuk menghentikan dakwah Baginda s.a.w. yang menyeru kepada Islam. Perang Ahzab atau juga dinamai Khandaq menjadi bukti.


Masa berlalu, dan umat Islam kini bukan lagi seperti dahulu. Kekuatan kita sudah tiada lantaran kita dipisahkan oleh rasa nasionalisme yang lebih menebal dari persaudaraan Islam. Maka, apa yang menimpa saudara seIslam di Palestin tidak begitu diambil peduli oleh umat Islam di negara lain. Bukan tiada yang prihatin, namun berapalah saja jumlahnya. Itu apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Sedang dalam setiap negara Islam itu sendiri menyaksikan ketidaksatuan antara masyarakat Muslimnya.




Merenung pada politik tanahair, adakala timbul rasa muak apabila membaca berita tentang pergeseran antara parti politik orang-orang Melayu Islam. Namun untuk tidak mengambil peduli bukanlah juga satu sikap yang bijak kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda : " man la yahtammu bi amril muslimin falaisa minna "

Yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak mengambil tahu perihal saudara muslimin yang lain, maka dia bukan dari golongan kami.


Kembali kepada bumi kinanah yang menjadi saksi kedatangan ribuan rakyat Malaysia. Saya yakin bukan mudah untuk menyamakan fikrah antara ribuan yang ada itu. Dengan latar belakang dan pengalaman yang pelbagai, saya pasti setiap mahasiswa Malaysia di bumi Mesir mempunyai pemikiran dan ide yang berbeza. Lalu muncullah pelbagai jenis persatuan di kalangan mahasiswa kita. Ada yang sudah lama kukuh bertapak, ada juga yang baru setahun jagung usianya.


Saya buntu memikirkan perbezaan fikrah antara mahasiswa kita telah mewujudkan fenomena ketidaksatuan yang hanya merugikan mahasiswa kita sendiri. Suatu yang menyedihkan apabila yang satu menganggap yang satu lagi sebagai musuh. Saya mungkin tidak memahami perkara-perkara atau peristiwa yang berlaku. Namun saya yakin, tindakan menganggap atau mengelar mereka yang berbeza fikrah dengan kita sebagai musuh adalah tidak tepat lantaran kita umat Islam adalah bersaudara. Dan saya jadi sayu bila memikirkan andai Baginda s.a.w. masih hidup dan melihat situasi ini, pasti Baginda bersedih. Lalu, apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah s.w.t. apabila ditanya di Akhirat nanti?


Saya tidak rasa untuk melebihkan atau membenarkan mana-mana pihak kerana saya yakin kita sebagai manusia tidak lepas dari melakukan silap dan salah. Sehebat manapun kita, atau seberapa lamapun usia bukan ukuran atau jaminan bahawa kita sentiasa di pihak yang benar. Ada masa dan ketikanya kita tersilap dan tersalah dalam membuat penilaian dan tindakan. Sikap selalu merasakan diri sendiri itu betul dan orang lain sentiasa salah bukan tindakan yang baik. Mungkin ada baiknya jika kita renungkan punca dan sebab mengapa setiap peristiwa itu berlaku.


What goes around, comes around. Kadang apa yang berlaku kepada kita adalah disebabkan apa yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Maka, jika orang lain menyusahkan kita atau menganiaya kita, itu mungkin kerana kita pernah berbuat perkara yang sama kepada seseorang yang lain. Dan jika tidak, itu tandanya Allah menguji kita dengan ujian-Nya yang dalam pelbagai cara. Pasti nanti, Allah membalas kita atas kesabaran kita menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Satu prinsip yang selalu saya pegang; biarlah orang lain hendak berkata tidak baik atau membuat jahat atau menyusahkan kita, apa yang penting kita menghadapinya dengan kebaikan. Jadilah seperti pohon epal yang dibaling batu, namun dibalas dengan buah epal dan bukan batu. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah biasa, sedang membalas kebaikan dengan keburukan adalah zalim namanya. Dan membalas keburukan dengan keburukan adalah patut, namun membalas keburukan dengan kebaikan itulah keluarbiasaan dan tanda kehebatan seorang insan.


Mohon maaf bicara yang tersalah, kata yang tersilap. Moga ada kebaikan dan kebenaran dalam apa yang dinyatakan agar masa yang diluangkan tidak menjadi kerugian.


Siru ‘ala barakatillah..


Tiada ulasan: