Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Rabu, 25 Februari 2009

CINTA DAN KEHIDUPAN

Zaman terkebelakang ini, kehidupan manusia khususnya remaja sering dipenuhkan dengan isu cinta. Cinta yang dimaksudkan itu pula bukanlah cinta kepada Allah dan RasulNya bahkan lebih kepada cinta sesama manusia yang didasarkan pada nafsu semata. Kalau di institut pengajian tinggi (IPT) samada awam atau swasta, kebanyakan pelajarnya sudahpun berpasangan. Jika suatu masa dahulu golongan yang berpasangan ini adalah minoriti di IPT, akan tetapi kini sudah terbalik kerana mereka sudah menjadi majoriti. Bahkan golongan yang tidak berpasangan adakalanya diejek dan dipersendakan hanya kerana tiada yang 'mahu' pada mereka.

Berbicara soal cinta murahan begini sebenarnya seboleh mungkin ingin saya elakkan. Namun kesan dan implikasi yang sangat hebat dalam kehidupan pelajar hanya kerana cinta ini, sudah tidak wajar lagi untuk tidak diambil peduli. Malahan pelajar-pelajar di sekolah juga sudah ada kes yang sebegini. Apakah institusi kekeluargaan sudah kekurangan kasih sayang hinggakan remaja-remaja ini mencarinya dari insan yang di luar lingkungan persaudaraan? Ya benar, cinta itu fitrah akan tetapi, janganlah ia dijadikan fitnah. Yang lebih menakutkan lagi, penangan cinta itu tidak mengenal siapa. Baik golongan jahil agama mahupun yang tahu agama.

Cinta itu bagaikan virus yang apabila ia menjangkiti hati, maka susah sekali untuk diubati. Beza usia, status, darjat, pangkat, harta, nama dan sebagainya tidak menjadi penghalang buat orang yang bercinta. Sebab itu orang yang sedang hangat bercinta ini tidak makan teguran, nasihat dan lebih-lebih lagi tazkirah. Seluruh jiwa raga, hati dan perasaan mereka hanya fokus pada cinta mereka sahaja. Sudah dibius cinta bak kata ustaz Hasrizal dalam webnya.

Hendak mengubat penyakit akibat virus cinta ini bukanlah mudah. Kerana hati manusia ini merupakan raja dalam tubuh badannya. Jadi, kalau setiap masa hanya 'cintanya' sahaja yang difikirkan bagaimanalah kita hendak sembuhkan dia? Apa yang penting dalam mengubati virus ini ialah orang itu sendiri perlu sedar yang dirinya sudah dijangkiti virus cinta dan dia sendiri mestilah ada keinginan untuk mengubati hatinya itu. Kalau tidak payahlah bagi orang lain untuk membantu.

PREVENTION IS BETTER THAN CURE

Bonda saya pernah berpesan, katanya " don't get too close". Apabila difikir sedalam-dalamnya, kata-kata bonda tersimpan falsafah yang begitu mendalam. Dan akhirnya saya bersetuju dengan tindakan orang-orang lama yang pernah belajar di Mesir dahulu. Pesan mereka agar adik-adik baru tidak menyimpan nombor telefon mereka yang berlainan jantina dan memadam nombor telefon rakan setugas yang disimpan sekiranya urusan persatuan atau kerja yang hendak dilaksanakan telah selesai. Di sini pergaulan dijaga sebaik mungkin agar tidak terlalu bebas. Kenapa mereka berpesan begitu? Seperti kata bonda, jangan jadi terlalu rapat. Jadi, untuk mengelakkan dari dijangkiti virus cinta ini, adalah lebih baik agar kita terlebih dahulu mencegah dan menjauhkan diri dari sebarang unsur yang boleh menyebabkan kita dijangkiti. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?

Ada kalam arab yang berbunyi begini : bermula dari pandangan menjadi senyuman kemudian memberi salam, kemudiannya disusuli pertemuan dan akhirnya.. anda sendiri yang tentukan. Begitulah cinta itu berevolusi. (Baca entri ustaz Hasrizal tentang teori evolusi cinta)

Orang-orang tua dahulu juga ada bermadah tentang punca dan asal timbulnya cinta seperti yang dirakamkan dalam pantun ini :
Dari mana punai melayang?
Dari sawah turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang?
Dari mata turun ke hati.

KESIMPULAN

Perasaan ingin disayangi dan menyayangi itu suatu fitrah yang memang Allah letakkan dalam setiap hati dan jiwa manusia. Setiap manusia yang normal pasti ada rasa cinta dan kasih sayang. Lalu persoalannya samada cinta itu mampu memacu kita ke arah yang lebih positif atau menjerumuskan kita ke arah yang negatif? Saya pernah menulis tentang motivasi cinta di mana cinta itu boleh menjadi sumber motivasi dan kekuatan yang terhebat dalam diri manusia. Namun ia juga boleh menjadi virus dan ubat bius yang bisa melumpuhkan seluruh anggota dan pemikiran manusia sehingga tidak lagi mampu berfikir sewajarnya. Cinta dan kehidupan tidak mungkin dipisahkan kerana cinta itu sendiri menjadi sumber kepada kehidupan. Lahirnya kita ke dunia kerana cinta antara ayah dan bonda. Kita membesar menjadi kita pada hari ini kerana cintanya mereka pada kita. Jadi, suburkanlah cinta dan letakkan ia di tempat yang sewajarnya. Berikan cinta pada yang layak menerima dan jangan menangisi cinta yang bukan milik kita. Renungi lirik nasyid Kerana Cinta nyanyian dan In-Team Mestica sebagai penutup entri kali ini.

cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan di mana terciptalah cinta
di situ rindu bermula

cinta itu tak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahagia biarpun sengsara
berkorban segala-gala

semua kerana cinta
yang pahit manis di rasa
menghibur nestapa
merawat duka
damai di jiwa
terpadamlah api benci permusuhan
terjalinlah kasih sayang begitulah cinta
yang diidamkan tanpa nafsu yang mencemarkan

dan jangan pula
kerana bercinta kita pun leka entah ke mana
dan jangan pula kerana bercinta
tergadai semua maruah agama

cinta yang sejati
hanya cintakan illahi
cinta ayah bonda
tulus suci selamanya
cintakan saudara
masa berada
hanya sementara
cinta sesama insan
suburkan dengan ketakwaan..




Tiada ulasan: