Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Khamis, 25 Februari 2010

PELAJARAN KEHIDUPAN

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaannya pada diri yang penuh kekurangan ini sehingga ke saat ini masih mampu untuk mengetikkan jari-jari di papan kekunci.
Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga dan para sahabat baginda. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi ajma'in.

Janji untuk mengemaskini blog dan memasukkan entri baru sering terabai. Ada saja alasan yang sering dibagi untuk menyedapkan hati sendiri. Alasan ketiadaan idea adalah yang paling kerap saya gunakan. Muhasabah dan post-mortem yang dibuat pada akhir malam sering membuatkan saya menyalahkan diri sendiri atas segala perkara yang berlaku. Tak perlu sibuk-sibuk menuding jari pada orang lain sedang hakikatnya satu jari yang kita arahkan pada orang lain, sembilan lagi jari menuding ke arah diri sendiri. Lagi pula, setiap perbuatan kita ataupun kegagalan kita untuk melaksanakan sesuatu perbuatan akan meninggalkan kesan samada kepada diri kita sendiri ataupun orang lain. What goes around, comes around (A person's actions, whether good or bad, will often have consequences for that person)*

Cuti musim sejuk selama 2 minggu telah selamat dilalui. Apa yang dilakukan dan diisi sepanjang 2 minggu itu biarlah menjadi kenangan dan pengajaran yang akan diingati seumur hidup. Apa yang boleh dikongsi, akan cuba saya kongsikan. Tanggal 13 - 15 Februari lepas, saya telah mengikuti lawatan ke Semenanjung Sinai yang dianjurkan oleh Bahagian Pelancongan & Perhubungan JKP DMAK. Lawatan berjalan dengan lancar walaupun pada hari pertama perjalanan, bas yang kami naiki mengalami kerosakan dan kami telah terpaksa berhenti di tengah jalan dua kali. Akibatnya, jadual kami lari sehingga menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berkelah makan tengahari di tengah jalan memandangkan perut pada waktu itu sudah menyanyi. Saya kira itu menjadi kenangan buat semua yang terlibat. Samada kenangan itu indah atau buruk, terpulang pada diri yang menilainya. Saya sangat bersyukur kerana di kesempatan menunggu bas dibaiki itu, ada peserta yang berani mengambil inisiatif untuk memulakan silaturrahim dengan peserta lain. Sungguh itu yang sangat saya kesalkan pada diri sendiri. Saya jarang dapat memiliki keberanian seperti itu walaupun kesedaran atau keinginan untuk melaksanakannya cukup tinggi. Kadang terjadi, saya cemburu dengan mereka yang diberi Tuhan 'anugerah bakat semulajadi' seperti sifat ramah dan ringan mulut.

Takdir Tuhan mengatasi segala perancangan manusia. Betapa hebat pun perancangan kita, tetap perancangan Allah yang akan berjalan. Maka, sifat redha dan sabar itu wajar diingatkan selalu pada hati meski mulut kita sering menyebut begitu begini. Apatah lagi Mesir ini yang dirangkumkan didalamnya 3 ciri yang mesti ada iaitu : mehnah, sabar dan redha. Maka, jika kita tidak mampu untuk menerima dan mengaplikasikan ketiga-tiga perkara ini janganlah datang ke Mesir. Kalau dah ada di Mesir dan tak mampu terima 3 perkara ini, pulang sahajalah supaya nanti tidak menyalahkan orang lain.

Saya belajar beberapa perkara penting dalam kehidupan :
  1. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menunaikan kehendak kita. Mungkin sudah takdir-Nya hasrat kita itu tidak tertunai.
  2. Kita perlu menghormati dan mengasihi orang lain terlebih dulu sebelum kita menuntut orang lain menghormati dan mengasihi kita. 
  3. Terima seadanya kelemahan dan kelebihan orang lain jika mahu diri kita diterima.
  4. Manusia punya cara yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan salahkan orang lain sekiranya kita tidak berpuas hati dengan tindakan atau keputusan mereka. Cuba bayangkan kita yang berada di tempat mereka.
  5. Dan paling penting, setiap apa yang berlaku pada kita adalah disebabkan oleh diri kita sendiri. Maka muhasabah diri selalu dan jangan asyik nak cari kesalahan orang lain.
  6. Kita tidak boleh memaksa orang berubah. Kalau kita tidak berpuas hati dengan orang lain, cuba renungi diri sendiri. Mungkin kita sebenarnya yang perlu berubah.
 Saya perlu tamatkan di sini supaya tidak terus melalut. Biar sikit asal berterusan. Biar sikit asal padat pengajaran. Mudahan kehidupan akan terus berjalan lancar dan setiap pengajaran dari kehidupan kita terima dengan dada yang lapang. Moga kesilapan tidak berulang dan hari esok yang datang akan sentiasa lebih baik dari semalam yang hilang.

*sumber : wikipedia

Tiada ulasan: