Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Ahad, 28 Februari 2010

MENCARI BAHAGIA

 Setiap manusia mahukan kebahagiaan. Biarpun pemahaman tentang kebahagian itu berbeza antara setiap manusia. Ada yang menganggap bahagia itu ada pada kehidupan yang mewah. Ada juga yang menganggap harta tidak memberi bahagia tanpa adanya manusia lain yang mencintai dirinya dan dicintainya. Ada yang menganggap bahagia itu pada jawatan dan nama yang disanjung. Namun mereka lupa beratnya amanah itu sehingga gunung ganang pun tidak sanggup untuk menanggungnya. 

Sebuah buku yang saya kira mesti dibaca oleh semua khususnya wanita Muslimah, As'adul Imraah fil 'Alam. Dalam usaha mencari bahagia, kita sering melakukan kesilapan apabila mencarinya di luar lingkungan. Bahagia itu dari hati. Dan pemilik hati-hati kita adalah Dia yang Maha Kuasa. Maka, carilah bahagia itu dengan menghubungkan hati-hati kita dengan-Nya.

Renungan buat diri yang alpa dan pujukan buat hati yang masih mencari bahagia.

BAHAGIA YANG DICARI

Andai kau mencari bahagia
Janganlah dilihat pada dunia
Kerana derita yang ada
Tiada hujungnya

Andai kau mencari bahagia
Kembalilah pada Tuhan
Yang punya Kuasa
Memberi bahagia

Bahagia yang kau cari
Bukan pada kilauan emas permata
Tidak juga pada manusia
Yang sering alpa dari Tuhannya

Bahagia itu ada dalam diri
Saat Tuhan diakrabi
Perintah-Nya dilunasi
Larangan-Nya dijauhi

Bahagia yang kau cari
Ada pada Tuhan yang Maha Memberi.

^ cahaya hijrah ^
26 Februari 2010/14 Rabi'ul Awwal 1431

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Siang menanti malam....
Putaran bumi paksinya...
Sang pencipta kuasa bijaksana...
Kurnai dia bahgia istimewa...