Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Khamis, 25 Jun 2009

KEMAAFAN ITU PAYAH, TAPI IA SIFAT AHLI JANNAH



Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menapak ke sini walaupun masih belum sembuh secara total dari jangkitan kuman, bakteria dan virus. Sebenarnya gian untuk menulis sesuatu tidak dapat ditahan walaupun batuk dan selesema tidak berhenti. Budak-budak medic ni pulak tak habis-habis nak usik.

"Pergi la klinik. Kena check takut-takut serius. Sekarang ni musim selesema ****"

"na'uzu billah"

Saya kira ini adalah tempoh paling lama saya berada dalam keadaan kurang sihat. Tapi kata Dr. Syafi saya ni lambat sembuh sebab tak makan ubat. Saya cuma menjawab dalam hati " akak amalkan natural healing" ^_^

Suku abad menjalani hidup sebagai seorang pelajar saya kira suatu tempoh masa yang sudah cukup mematangkan saya. Apalagi tempoh pemastautinan di ardul kinanah ini terasa begitu mendewasakan saya. Ya, saya belajar erti dewasa, tanggungjawab dan kematangan dengan debu-debu kota Kaherah yang tak pernah surut. Setiap hari yang berlalu sentiasa memberikan saya satu pengalaman, kenangan dan ilmu baru. Saya belajar untuk lebih memahami dunia dan seisi penduduknya yang pelbagai ragam dan karenah. Ada yang muka manis berperangai syaitan sehingga saya jadi takut memikirkan keselamatan diri samada di Mesir atau di Malaysia. Ada yang mulutnya manis menabur gula tapi hatinya busuk penuh sampah. Ada yang bermuka-muka atau dengan kata lain bercabang lidahnya (dalam bahasa PPSMI kita panggil two face). Tidak saya nafikan ada yang baik dan ikhlas dalam menghulurkan salam.

Begitulah dunia. Penuh warna warni. Kalau dunia ni hanya ada orang baik saja tanpa orang jahat tentu kita tak akan tahu apa itu baik dan jahat. Sebab itu Allah ciptakan Syurga dan Neraka supaya kita tahu mana yang baik dan jahat, mana yang betul dan salah.

Sifat manusia ini tak pernah tak buat salah. Biar betapa pandai pun kita. Semua orang buat kesalahan, buat kesilapan. Yang ma'sum hanyalah Nabi s.a.w. Maka, janganlah kita merasa kita ini mulia dengan sebab keturunan atau jawatan atau harta yang melimpah ruah. Apabila terbuat salah, mintalah maaf kepada mereka yang telah kita buat salah. Takkan hina jika kita meminta maaf dan tak akan rugi jika kita memaafkan. Biasa sahaja berlaku anak berbuat salah pada ibu ayah. Maka anak-anak akan meminta maaf. Dan ibu bapa akan memaafkan. Begitulah hidup akan diteruskan. Buat apa hendak disimpan dendam dan rasa marah. Apabila si anak sudah menghulur tangan memohon ampun dan maaf, bukankah lebih mulia jika diampunkan saja. Sedangkan Nabi ampunkan umat. Bukankah itu frasa yang sering kita dengar? Apa untungnya jika tidak dimaafkan mereka yang meminta kemaafan? Tiada siapa. Hanya syaitan yang bertepuk gembira kerana telah berjaya membuat sengketa dalam sebuah perhubungan. Apabila tidak dimaafkan, yang meminta maaf akan berkecil hati dan kecewa kerana dilayan sebegitu rupa. Yang tidak memberi maaf pula hanya menderita menyimpan amarah dan sakit hati. Bila hati sakit, nanti akan merebak ke tempat lain. Kerana hati itu raja dalam tubuh badan.

WIN-WIN SITUATION

Maka bersamalah kita saling memaafkan. Jangan tunggu Hari Raya sahaja nak minta maaf. Pihak yang meminta maaf dan memberi maaf tak akan rugi apa, malah sama-sama untung (dalam bahasa PPSMI win-win situation). Lupakan sengketa dan salah faham yang berlaku (kosong-kosong bak kata anak muda sekarang). Mulakan hari yang baru dengan senyuman dengan cara memberi kemaafan kepada peristiwa semalam. Kita tidak akan dapat maju ke depan jika asyik mengikat diri kita dengan sengketa semalam. Jangan biarkan syaitan laknatullah itu yang mendapat untung dengan kerugian yang kita tanggung.

Saya mohon maaf kepada semua andai saya pernah membuat salah dan silap. Dan mohon juga ditunjukkan jalan yang sebetulnya agar saya tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Saya masih seorang pelajar. Dan saya ingat kata-kata yang pernah saya dengar bahawa selagi berstatus pelajar inilah kita boleh buat salah kerana ini tempoh untuk kita belajar. Jangan bila dah keluar dari alam pelajar baru nak buat salah. Itu yang banyak berlaku rasuah dan benda-benda yang tak sepatutnya tu.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Tapi bukanlah di sini bermakna saya menggalakkan semua orang buat salah. Nanti ada pula yang pergi mencuri lepas tu minta maaf. Itu tak masuk perbincangan di sini sebab semua orang tahu mencuri itu memang salah. Apa yang saya maksudkan di sini ialah kesalahan yang tidak disengajakan. Dan belajar dari kesilapan juga adalah suatu tuntutan. Jangan ulangi silap yang sama. Kerana sesungguhnya mukmin itu tidak akan terjatuh dua kali ke dalam lubang yang sama. Begitu sepatutnya yang berlaku. Lalu, berilah kemaafan kepada mereka yang ikhlas meminta. Tunjukkan apa kesilapan itu dan berikan tunjuk ajar yang sebetulnya.

Jangan kerana silap yang satu kita lupakan kebaikan yang lalu. Kadang-kadang manusia ini memang lebih mudah nampak kesalahan orang lain tapi kesalahan sendiri tidak ternampak. Bak kata pepatah Melayu: gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tak nampak. Kita sepatutnya mengamalkan sikap lupakan salah orang pada kita, ingat kebaikan orang pada kita dan bukan sebaliknya.

Mudah-mudahan kita akan terus hidup dalam keharmonian tanpa ada sengketa. Salah faham dan selisih pandangan itu perkara biasa dalam kehidupan. Lupakan sengketa, berilah kemaafan pasti hidup penuh kebahagiaan.


p/s: ayat2 tentang bahasa PPSMI itu terbit sebab selalu baca blog FT tentang PPSMI. ye, saya juga anti PPSMI tapi bukan Bahasa Inggeris. leganya saya tak terlibat dengan semua tu. kalau tak, saya tak sanggup membayangkan bagaimana result subjek sains dan matematik saya. moga2 dimansuhkan sahaja selepas ini. saya risau dengan adik saya yang masih di sekolah. mereka bukan genius macam Safiah.


DEDIKASI BUAT ABAH:
SELAMAT HARI BAPA..

maaf ye abah sebab terlupa..tak sengaja..Hajar sayang abah ;)




Tiada ulasan: