Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Sabtu, 20 Jun 2009

DIARI IMTIHAN

Akhirnya setelah puas berhempas pulas, saya dapat menarik nafas lega kerana peperiksaan kali ini sudah selesai. Namun apabila difikirkan kesan yang bakal terhasil dari usaha sepanjang peperiksaan, tidak tidur malam juga saya. Apapun, kini saya akan kongsikan bersama anda diari saya sepanjang imtihan.


Mei 2009


Segalanya berjalan seperti biasa. Bermula dengan paper Al Quran, saya teruskan perjuangan dengan sebaik mungkin biar hati dipukul ganas oleh ombak rindu yang tak pernah surut. Saya kehilangan teman rapat. Ya, pada saat kritikal begini saya jadi pilu betapa dulu saya tidak pernah bersyukur atas nikmat itu. Namun peperiksaan tetap ditempuhi seperti biasa.


Jun 2009


Sepanjang minggu pertama dan kedua Jun saya kira saya dimurahkan rezeki. Ketika mana saya merasakan wang belanja saya dalam keadaan yang genting dan saya perlu berjimat, Tuhan datangkan rezekiNya dalam pelbagai cara. Segalanya dengan tiba-tiba dan tanpa disangka. Benarlah kalam Tuhan yang Mulia :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً

[الطلاق : 2]



وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً

[الطلاق : 3]


Maksudnya :” dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya)”

“ Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”


Ada insan yang bermurah hati memberi sumbangan, ada yang rajin memasak dan memberi kepada jiran. Ada juga yang suka berkongsi makanan. Sungguh bumi Kinanah ini penuh dengan pelbagai kejutan. Saya bersyukur dan mudahan mereka yang bermurah hati akan dibalas Tuhan dengan sebaik-baik ganjaran.


Sungguh bertuah mereka yang berkelana menuntut ilmu di bumi Musa ini kerana Allah tidak akan membiarkan mereka kebuluran. Apa yang lebih penting ialah ketaqwaan dan keimanan kepada Tuhan tidak akan pernah merugikan. Kerana Allah Maha Berkuasa untuk memberi rezekiNya kepada sesiapa yang Dia mahu seperti kisah Maryam yang Tuhan abadikan dalam Al Quran :


فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَهَا نَبَاتاً حَسَناً وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقاً قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَـذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللّهِ إنَّ اللّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

[آل عمران : 37]



2 JUN


Berita tentang kedatangan Presiden A.S Barrack Obama ke Mesir telah lama saya maklumi. Namun apa yang menggusarkan saya ialah kedatangannya pada 4 Jun adalah bertepatan dengan peperiksaan kertas Hadith. Pelajar-pelajar perubatan telah dimaklumkan sedari awal bahawa semua peperiksaan mereka pada 4 Jun akan ditunda. Yang menjadi persoalan bagaimana dengan kami pelajar Al Azhar? Segalanya hanya berlegar dalam fikiran sehinggalah persoalan itu terjawab pada pagi 2 Jun. Lalu dalam ketidak puasan hati kerana ini bermakna peperiksaan kami akan habis lebih lambat, saya mengucap syukur pada Tuhan kerana di sebalik semua itu saya diberi peluang tempoh yang lebih panjang untuk mengulangkaji bagi subjek Naqad Adab. Alhamdulillah 'ala kulli hal.


10 JUN


كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ

[آل عمران : 185]

Maksudnya: “ Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati “


Berita kemalangan 5 orang pelajar Perubatan yang dalam perjalanan pulang dari Ain Sukhna ke Kaherah benar-benar memilukan. Salah seorang mangsa telah meninggal dunia. Beliau yang dikenali sebagai Amar kata Syafiqah adalah seorang yang sangat baik akhlaqnya. Dan begitulah kematian datang menjengah kita. Tiada siapa sangka dalam musim peperiksaan akan berlaku peristiwa sebegini. Benar yang pergi tak akan kembali tapi kita yang masih hidup perlu kembali muhasabah diri. Adakah sepanjang musim imtihan ini kita ‘pulun’ study sehingga alpa dengan tugas kita sebagai hambaNya? Mudah-mudahan tidak. Kita sering lupa pada kematian namun ‘kematian’ itu tidak pernah lupa pada kita. Setiap hari Malaikat Izrail menziarah kita tanpa kita sedari. Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh-roh orang yang beriman yang telah mendahului kita dalam perjalanan ini. Al Fatihah untuk arwah Amar.


………………….

13 JUN


Sudah lama tidak menjengah ke mator Qahirah. Walaupun dalam hati ada juga rasa risau yang bergolak kerana saya pernah mengatakan pada Syafiqah yang mator itu pusat penyebaran virus selesema H1N1. Namun saya tawakal pada Tuhan kerana kesempatan untuk menghantar pulang Kak Na ke Malaysia saya kira bukan sia-sia. Seringkali mator menjadi simbolik yang mencetus semangat apabila menghantar kepulangan mereka yang di tahun akhir. Perasaan rindu pada keluarga tidak pernah surut. Lalu pulang dari mator pasti menaikkan semangat untuk lebih berusaha apalagi dalam fatrah imtihan yang ‘panas’ ini.

13 Jun juga adalah tarikh kenduri sepupu saya Ayen di Ipoh. Rasa kecewa tidak dapat pulang menghadirinya saya ubati dengan doa mudah-mudahan saya akan dapat pulang pada kenduri Kak Lang nanti walaupun dia sendiri membuka ruang untuk saya mendahuluinya.

Kenduri tuan Aji pula telah selamat berlangsung pada 7 Jun lalu. Walaupun kecewa juga rasa hati kerana tidak menerima kad yang telah dijanjikan, namun saya tetap doakan kebahagian buat kedua pasang mempelai.


18 JUN


Hari terakhir peperiksaan. Subjek Hadith. Pulang dari peperiksaan saya dan cik Bunga singgah ke Mahlawi membeli sedikit barang. Oleh itu, kami pulang menaiki bas yang mengambil jalan belakang ARMA. Sebaik sahaja kami nampak bangunan ARMA, saya jadi terkejut melihat kesan hitam di salah satu tingkap di bangunan lelaki. Saya mengira, itu tingkat yang kelima! Adakah ada kebakaran yang telah berlaku sepanjang saya menghadapi peperiksaan tadi?

Segalanya terjawab apabila melangkah masuk dan melihat keadaan di dalam ARMA. Saya segera telefon seorang kawan untuk mengetahui apa yang berlaku. Pelajar lelaki yang biliknya terbakar itu adalah ketua aras lima. Sungguh sayu memikirkan bagaimana keadaan dia agaknya apabila diuji Allah dengan sebegitu hebat. Saya doakan beliau tabah menghadapi ujian ini.

Saya ingin menulis lebih panjang lagi. Namun kesihatan tidak begitu mengizinkan. Saya demam dan selesema sudah sehari suntuk. Moga Allah beri peluang untuk saya kembali ke sini. Amin.


…………….


" Ada waktunya bila kita terlalu mengharap dan bergantung pada manusia, kita sering terlupa pada Tuhan yang telah menentukan segalanya. Kadang kala juga kita merasakan bahawa kita adalah insan yang malang apabila kasih sayang dan cinta yang kita berikan tidak dibalas. Namun Tuhan nafikan semua itu apabila insan-insan lain di sekeliling kita memberikan kasih sayang dan cinta tanpa mengharap balasan. Sungguh indah ukhuwah yang bertunjangkan rasa cinta kepada Allah. Maka hargailah sahabat-sahabat sekeliling kita yang sentiasa prihatin dengan diri kita. Jangan terlalu mengharapkan kasih sayang insan jauh yang tidak menyayangi kita sehingga kita lupa pada insan berhampiran kita"


Tiada ulasan: