Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Jumaat, 22 Ogos 2008

Bicara tentang Permatang Pauh

Tsunami politik yang melanda Malaysia sejak Pilihanraya baru baru ini benar-benar menggundah gulanakan hati saya. Mungkin kerana ini kali pertama saya menunaikan tangungjawab sebagai pengundi, maka saya jadi begitu teruja lalu peka dan prihatin dengan perkembangan politik negara. Sudah lama saya berhasrat untuk menulis sesuatu tentang pergolakan yang berlaku di tanah air akan tetapi ia hanya suatu cetusan rasa yang tidak disogok oleh sebarang idea. Lalu hasrat itu saya pendamkan sahaja hingga ke suatu masa bilamana Allah mengilhamkan bicara.

Tidak lama lagi Permatang Pauh akan berhadapan dengan suatu tsunami yang hebat. Pilihanraya yang bakal tiba 26 Ogos nanti menjadi medan tempur baik bagi calon kerajaan mahupun calon pembangkang. Permatang Pauh bukanlah suatu tempat yang asing bagi saya. Di situlah dulu saya belajar selama hampir 6 tahun di Madrasah Faqiah Daimiah. Berulang alik setiap hari menimba ilmu, mengutip pengalaman dan mencipta pelbagai memori indah zaman sekolah rendah. Selain saya, adik-adik saya seramai 6 orang juga bersekolah di situ (lari tajuk sekejap).

Saya sentiasa mendoakan agar Permatang Pauh khasnya sentiasa diulit damai berpanjangan. Walau tidak menjadi kawasan yang maju seperti Kuala Lumpur tapi yang penting penduduknya hidup selesa, aman dan damai. Pilihanraya yang bakal tiba diharapkan bukan satu faktor yang akan memecahbelahkan tapi menjadi momentum yang menyatukan. Seperti tema sambutan Merdeka pada tahun ini : Perpaduan Teras Kejayaan. Mudah-mudahan tanah air tercinta akan kekal merdeka selamanya. Selamat mengundi kepada mereka yang terlibat. Buatlah pilihan yang tepat agar nanti tidak menyesal di kemudian hari. Moga Allah memelihara kita semua walau betapa hebat tsunami melanda. Amin.

Tiada ulasan: