Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Jumaat, 4 April 2008

PENINGKATAN YANG TIDAK DIHARAPKAN


Sebagai manusia biasa, kita ingin sentiasa memajukan diri, meningkatkan kualiti diri, menambah nilai dan mutu hidup. Itu fitrah kita sebagai manusia. Tidak ada mana-mana manusia pun yang mahu dan rela hidup selamanya dalam kemiskinan, kemunduran dan kesusahan. Akan tetapi, tidak semua peningkatan dan kenaikan itu akan membahagiakan. Sebagai contoh, cukup jika saya katakan kenaikan harga barang keperluan asasi hidup seperti beras, tepung, gula, dan sebagainya akan membuat kita resah. Saya kira ini berlaku kerana kenaikan dan peningkatan ini adalah tidak seimbang. Apa yang saya maksudkan, sekiranya dalam masa yang sama gaji dinaikkan mungkin isu harga barang yang naik tidak akan menjadi masalah. Di Malaysia, apabila isu kenaikan harga barang digunakan oleh pakatan pembangkang, nyata ia membuahkan hasil yang cukup lumayan. Empat buah negeri kini sudah bertukar pimpinan.



Di Mesir kini, masyarakat pelajar Malaysia turut dibebani isu yang sama. Akan tetapi, apa yang mampu dilakukan? Dalam Muktamar PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) baru-baru ini, isu ini begitu hangat diperkatakan kerana harga beras yang sudah sedia naik dikhabarkan akan naik lebih tinggi lagi. Sebelum ini harga beras hanya LE68 seguni (kalau tak silap saya seguni lebih kurang 25 kg). Sekarang ini harganya sudah naik lebih kurang LE80 dan dikatakan akan naik sehingga LE100. Saya merasakan jalan yang terbaik adalah 'ikat perut'. Pasti ini akan menimbulkan kebimbangan bukan kepada pelajar tetapi, ibu bapa. Bagi ibu bapa , keperluan makan dan minum seseorang anak adalah suatu yang menjadi keutamaan. Biar berapa pun harga makanan bukanlah persoalan. Namun disana masih ada lagi yang membimbangkan; harga tiket kapal terbang. Seingat saya, kali pertama pulang bercuti di tanah air harga tiket pergi balik sekitar LE3500. Tapi sekarang ini sudah meningkat LE5000. Oleh itu, cepat-cepatlah tamatkan pengajian dan pulang sebelum harga tiket melonjak lebih tinggi.

Kenaikan harga barang kini bukan hanya membimbangkan pelajar-pelajar Malaysia, malah juga rakyat Mesir sendiri. Bagi mereka yang berpendapatan lumayan pasti ini tidak menjadi suatu kebimbangan. Tapi, bagaimana dengan mereka yang hidup melarat? Yang meminta sedekah dan mengharap ehsan orang lain? Saya sering bertemu dengan kanak-kanak yang meminta sedekah samada di tepi jalan, di dalam bas mahupun di mana-mana. Kadang-kadang jika tidak dihulur, mereka sampai menarik-narik tudung saya. Sungguh ia benar-benar menyentuh hati sesiapa sahaja apabila melihat kanak-kanak yang berpakaian compang camping, kotor dan tidak mendapat makanan yang secukupnya. Pandangan mata mereka mampu menusuk ke lubuk hati. Jika sebelum kenaikan harga berlaku pun mereka kekurangan makanan, bagaimana pula sekarang?

Saya kira masyarakat pelajar Malaysia disini tidak mempunyai sebarang pilihan selain untuk ikat perut. Saya tidaklah menggambarkan situasi sekarang ini sebagai situasi yang teruk tetapi ia lebih kepada suatu bentuk ujian kepada bakal-bakal pewaris Nabi ini. Bukankah ini suatu peringatan buat kita agar berpada-pada dan bersederhana dalam soal kehidupan? Mungkin sebelum ini kita sering mewah dengan makanan sehingga berlaku pembaziran. Lantas, Tuhan memberi peringatan sebagai tanda kasih sayang-Nya agar kita tidak terus leka dalam pembaziran. Sebagai manusia hidup kita penuh dengan pelbagai perkara yang baik dan buruk samada kita suka atau tidak. Hidup ini bukan Syurga tapi perjalanan menuju Syurga. Andai kita idamkan kemanisan dan keindahan Syurga, maka redhalah dengan kepahitan dan kesukaran hidup di dunia.

Tiada ulasan: