Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Selasa, 22 April 2008

Mencari semangat yang hilang

Di saat-saat genting menanti peperiksaan yang hampir tiba, saya diminta untuk mengikuti kursus yang diadakan pada 17 - 19 April lepas. Sungguh bagi saya ia tidaklah begitu membebankan. Akan tetapi yang menyebabkan saya terkesima ialah kursus tersebut diadakan nun di Hurghada yang berjarak hampir 500 km dari kota Kaherah. Dalam hati saya timbul pelbagai perasaan yang saya sendiri tak pasti. Rasa agak teruja kerana dapat pergi ke Hurghada, rasa risau terpaksa korbankan masa study, rasa sedih berjauhan dengan buah hati (komputer) saya. Semuanya saya satukan dalam hati dan saya katakan pasti ada hikmah Allah sebalik takdir Tuhan ini. Saya abadikan segala memori buat tatapan suatu hari nanti.

Kursus Kecemerlangan Penghuni Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah
17 - 19 April 2008
Tempat : Hotel Snafer, Hurghada
Anjuran : Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah

Bertolak dari DMAK pukul 2.30 petang. Rombongan kami pergi dengan sebuah bas dan sebuah coaster. Peserta lelaki dan pegawai menaiki bas dan kami yang perempuan menaiki coaster. Memang suatu yang kurang selesa menaiki coaster apatah lagi dalam perjalanan yang jauh sehingga memakan masa lebih 6 jam.

Jam 5.15 petang kami berhenti di suatu tempat bernama Zafarana untuk solat 'Asar. Sungguh saya tidak puas hati kerana bayaran masuk ke tandas adalah LE1. Mahal sangat kan? Tapi apa nak buat kerana saya tiada pilihan lain. Sekurang kurangnya saya berpuas hati dengan kebersihan dan keselesaan tandas itu. Berbaloi jugalah.

Meneruskan perjalanan ke Hurghada kami melalui jalan yang hampir dengan laut. Sungguh lapang rasa di hati apabila melihat laut yang terbentang seluas mata memandang. Tenang, damai dan tanpa pencemaran.

Setelah malam baru kami tiba di hotel penginapan. Lebih kurang pukul 9.20 malam. Setelah check-in bilik masing-masing dan solat jama' Maghrib dan 'Isya' kami menjamu selera dengan bekalan makanan yang memang dibawa dari DMAK. Kemudian kami diberi taklimat tentang kursus yang akan bermula esok pagi.

Kursus bermula pukul 8 pagi dengan slot yang pertama bertajuk Arah & Halatuju DMAK disampaikan oleh En Mohd Puat. Kemudian kami sambung slot kedua bertajuk Peranan Graduan Al Azhar Dalam Pembangunan Ummah yang disampaikan oleh Puan Habibah. Selepas berehat untuk kudapan, kami teruskan pula dengan slot ketiga yang disampaikan oleh En Yazit dengan tajuk Sumbangan Penghuni DMAK Ke Arah Meningkatkan Tahap Kecemerlangan Akademik.

Sewaktu rehat untuk makan tengahari kami mengambil kesempatan untuk berjalan -jalan di sekitar kawasan hotel. Pukul 2.30 petang kami kembali untuk slot ketiga bertajuk Pengurusan Perakaunan Persatuan / Harian oleh Puan Rohaya. Lebih kurang 4.30 petang kami keluar ke pantai. Pelajar lelaki apalagi, terjun ke dalam laut untuk mandi. Kami yang perempuan hanya membasahkan kaki dan berehat menikmati keindahan lautan yang diciptakan Tuhan. Angin pantai yang mendamaikan menghilangkan segala penat yang bertimbun sejak memulakan perjalanan semalam dan menghilangkan segala resah, segala masalah dalam fikiran.

Kemudian kami menaiki bot untuk melihat hidupan dalam laut. Air laut di situ yang jernih membolehkan kami melihat pemandangan dasar laut yang indah dengan ikan dan batu karang yang pelbagai bentuk dan rupa. Tapi sayang kerana waktu itu sudah hampir senja dan ikan pun sudah pulang ke rumah. Walau bagaimanapun kami puas kerana dapat bergambar di tengah-tengah laut. Hampir sejam kami di atas bot, dari saat matahari hampir terbenam hingga bulan jelas kelihatan. LE25 yang dilaburkan tidak terasa rugi.

Kembali ke hotel kami berehat dan solat jama' Maghrib 'Isya'. Kemudian kami sambung semula agenda kursus dengan slot keempat yang disampaikan oleh ayahanda kami Us Azhari dengan tajuk Kemaskini Peraturan DMAK. Kemudian diadakan sedikit majlis untuk Puan Rohaya yang akan menamatkan perkhidmatannya di JPMK dan pulang ke Malaysia. Selepas itu kami dijamu dengan makan malam yang lazat.

Hari ketiga di Hurghada cuma diadakan perbincangan dan rumusan tentang kursus ini dan perasmian penutup disempurnakan oleh En Yazit. Kemudian kami berjalan-jalan melihat barang-barang cenderahati yang dijual. Pukul 12 kami kembali ke hotel, makan tengahari, check-out dan bertolak pulang ke DMAK. Kami tiba di DMAK setelah jam melebihi 9 malam.

Bicara hati saya : Saya menyambut baik hasrat JPMK yang menganjurkan kursus ini demi untuk mencemerlangkan para penghuni DMAK terutamanya mereka yang telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa penghuni. Saya yakin mereka menaruh harapan yang tinggi agar semua yang mengikuti kursus ini akan cemerlang terutamanya dalam peperiksaan yang tidak lama lagi. Saya telah pergi ke Hurghada dan menikmati pemandangan yang ada. Sepetang di pantai memang membawa saya jauh dari segala masalah hidup. Di tengah-tengah lautan yang jernih di Hurghada, saya buangkan dan tinggalkan semua yang negatif dan mengganggu usaha saya mencapai kecemerlangan. Saya pulang dengan semangat yang baru untuk cemerlang!

Tiada ulasan: