Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Khamis, 2 April 2009

AL FATIHAH BUAT ANGAH

Lebih sebulan saya menyepi. Entah kenapa perasaan untuk menulis bagai sudah hilang. Sibukkah manusia yang bernama Nurhajar ini?Penghujung Februari hingga awal Mac saya sibuk menmbuat pelbagai urusan untuk program Perkampungan Srikandi yang telah berjaya kami ajurkan pada 19-21 Mac lalu. Selepas itu seingat saya, saya sudah tidak sesibuk mana. Tapi entah mengapa perasaan untuk menulis entri untuk blog ini tidak lagi membuak-buak seperti sebelumnya. Saya jadi risau memikirkan andai nanti penulisan saya tidak ada peningkatan. Sepanjang tempoh ini juga saya sedang menyiapkan beberapa artikel untuk ATOM (Suara Kampus Perak). Saya ditaklifkan dengan tiga tugasan.
  1. Menulis subtopik ketiga dalam tajuk fokus (tajuk fokus adalah rahsia! kalau nak tahu kena beli Suara Kampus Perak bila dah keluar nanti)
  2. Mencari tokoh untuk dimuatkan dalam kolum tokoh
  3. Menulis serba sedikit untuk kolum Ilal liqa'
Sehingga saat ini, saya baru menyiapkan yang pertama. Yang kedua sedang dalam proses dan yang ketiga masih mencari idea. Taklifan sebagai Timbalan Ketua Editor betul-betul membuatkan saya jadi serba salah kerana saya sedar saya bukanlah sehebat mana dalam bidang penulisan apalagi penerbitan majalah. Tapi, atas dasar mencari ilmu dan pengalaman baru saya gagahkan jua sekadar yang termampu. Moga Tuhan memimpin di sepanjang jalan yang ditempuhi.

Masalah utama saya apabila nak menulis bukanlah sangat pasal mencari idea. Biasanya idea-idea yang datang sangat menarik. Akan tetapi apa yang menyebabkan saya sering terlambat menyiapkan sesuatu penulisan ialah kelemahan saya dalam mengembangkan dan menghurai idea. Seringkali hasil-hasil tulisan saya setelah dikoreksi, memang mempunyai kelemahan dari aspek huraian. Saya berharap dengan lebih banyak latihan yang saya akan cuba banyakkan, masalah ini akan dapat diatasi.

Entri kali ini sebenarnya bukan untuk saya menceritakan tentang diri saya. Tapi tentang perginya seorang sepupu yang masih muda usianya. Angah Hafizah yang kali terakhir saya temui semasa kenduri walimah Ija dulu kelihatan sihat dan seperti biasa. Namun apa yang saya lihat hanyalah zahir sahaja. Tuhan Maha Berkuasa atas segalanya. Berita yang Bonda sampaikan tentang Angah yang perlu dibedah dan seterusnya dikhabarkan menderita akibat kanser tulang (Ewing sarcoma).

Pada mulanya Angah dimasukkan ke Hospital Ipoh kemudian dipindahkan ke Hospital di Kubang Kerian, Kelantan kerana menurut Kak Lang di situ ada doktor yang pakar tulang. Dan di disitu Angah terus menjalani kimoterapi sehingga bulan lepas Bonda maklumkan Angah dipindahkan pula ke Hospital Seberang Jaya dan beberapa minggu kemudian ke Hospital Bukit Mertajam. Dalam tempoh masa dari penghujung tahun 2008 hinggalah awal April 2009, saya yakin keluarga Pak Lang Wan sangat-sangat diuji Tuhan dengan ujian yang sangat hebat. Dan setelah melalui pelbagai penderitaan, Angah kembali kepada Tuhan yang lebih menyayanginya. Inna lillah wa inna ilaihi raji'un. Saya doakan moga Tuhan mencucuri rohnya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh, Amin. Dan kepada Pak Lang sekeluarga saya doakan moga diberi kesabaran dan ketabahan hati. Moga setiap ujian yang menimpa akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya. Buat Angah, kita hadiahkan Al Fatihah.


:: peringatan buat diri sendiri khususnya, janganlah dipanjangkan tempoh 'kematian sekejap' di dunia. waktu yang ada bukankah amanah yang perlu diuruskan dengan sebaiknya ::

Tiada ulasan: