Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Memaparkan catatan dengan label ~ belajar menulis ~. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ~ belajar menulis ~. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Mei 2013

MASA YANG BERLALU

Bismillah.
Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, sesungguhnya Dia-lah yang memberi kekuatan untuk diri ini kembali ke sini.
Selawat dan salam buat Junjungan mulia, pemimpin paling utama bagi umatnya.

Sudah lebuh setahun rupanya blog ini ditinggalkan tanpa berita. Terasa bersalah pada diri yang dulu ketika mula membuat blog. Azam waktu itu mahu menulis selalu. Tapi, saya tidak gemar menulis tentang apa yang saya lakukan setiap hari kerana itu menjadikan blog ini seperti diari. Kerana bagi saya, tulisan sebegitu tidak punya nilai tinggi. Lalu, alasan itulah yang sering saya berikan pada diri bila terdetik rasa ingin menulis. Sedangkan Tuhan itu Maha Tahu betapa besarnya huruf M yang dijunjung di atas kepala. Allah..

Benar kata orang, mencipta kejayaan itu sukar. Tetapi, mengekalkannya lebih sukar. Hari ini, saya paksakan diri untuk kembali ke sini memandangkan otak pun sudah lama berkarat tidak digunakan sepenuhnya. Apatah lagi, kuliah sudah lama ditinggalkan. Otak dan akal sudah terlalu lama direhatkan. Ini masanya untuk kembali. YA. INI KALILAH!

Ada sesuatu sebenarnya yang menjadi momentum saya. Ia adalah suatu kenangan yang berharga. Juga dos motivasi yang paling bermakna. Syukur ya Allah. Alhamdulillah.

Ahad, 12 Jun 2011

LEGGING?????

Dalam hidup ini, ada pelbagai perkara yang kita temui. Semakin bertambah usia dunia ini, manusia yang berpijak di atasnya juga semakin mencapai kemajuan baik yang berbentuk positif mahupun negatif. Kemajuan atau perubahan yang sering berlaku atas muka bumi ini semuanya mempunyai impak dan kesannya ke atas manusia itu dan juga persekitarannya. Islam tidak pernah menolak kemajuan atau perubahan. Begitupun, penerimaannya bukanlah secara membuta tuli tanpa peraturan atau syarat. Maka, sebagai umat Islam kita mestilah merujuk setiap perkara kepada Islam. Kerana setiap perkara itu punya hukumnya samada halal, haram, makruh, sunat mahupun harus.

Dalam hidup ini juga, kita akan temui perkara-perkara yang pelik. Ada perkara yang boleh dikompromi, dan ada juga perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia bersangkut paut dengan hukum-hukum Islam. Bidang fesyen adalah bidang yang agak jauh dari dunia Islam. Bukan kerana ia ditolak oleh Islam, namun fesyen itu sendiri banyak yang melanggar hukum Islam. Fesyen Busana Muslimah yang ada sekarang ini sudah banyak yang dicampuri oleh  fesyen yang tidak menepati ajaran Islam.

Saya bersyukur menemui blog ini yang menyedarkan saya betapa teruknya muslimah kita sekarang ini yang terikut-ikut dengan pemakaian legging. Apatah lagi bila legging itu dipadankan dengan tudung yang terletak sopan di kepala. Kadang-kadang pening juga memikirkan apabila manusia sekarang ini suka betul mencampur adukkan benda yang halal dan haram seperti isu bir halal.

Apa nak jadi dengan umat Islam sekarang ni. Main pakai je apa yang orang bukan Islam pakai. Alasannya? up to-date la kononnya, ikut trend la. Padahal tak sedar semua tu menambah beban dosa yang dah sedia menimbun. Tolonglah saudari-saudariku Muslimah yang beriman, pakailah pakaian yang melambangkan identiti Islam kerana pakaian yang menepati syari'at Islam adalah pakaian para penghuni Syurga. Senang punya kesimpulan ; tutup aurat dengan sempurna = dapat masuk Syurga, insyaAllah.

p/s: tolong baca blog yang saya dah baca itu. sila klik sini. syukran.

..:: Ya Allah, peliharalah semua Muslimah dengan pakaian-pakaian yang menutup aurat ::..

Isnin, 18 April 2011

SUSAH DAN SENANG



Firman Allah s.w.t :
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً 
 إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً
 
Verily, along with every hardship is relief.
Verily, along with every hardship is relief. (Surat al Insyirah 5-6)

Kita sering mengeluh apabila menghadapi kesusahan atau kesukaran dalam sesuatu urusan. Seringkali juga kesusahan dan kesukaran itu bisa menggoyah keteguhan niat seseorang yang bergelar manusia. Namun buat Muslim yang beriman pada Tuhan dan yakin dengan janji-Nya, ayat di atas pasti akan menjadi pengubat jiwa yang menjadi lemah tatkala menghadapi kesusahan. 

  • Kadang kala kerana kesusahan yang ada menimbulkan rasa cemburu dengan orang lain.

"senangnya jadi lelaki, nak keluar bila2 masa pun tak kisah. kalau perempuan susah. nak bersiap itu ini. lecehlah. lambat"


"susahnya aku nak hafal semua dalam buku ni. macam mana dia boleh senang je hafal ye."

  • Acap kali berlaku, kesusahan yang dihadapi melemahkan semangat dalam diri sehinggakan ada yang sanggup membunuh diri.
 
"daripada hidup menanggung hutang, baiklah aku mati saja."
 
"kenapa kau tinggalkan aku saleha? aku tak boleh hidup tanpa kau. lebih baik aku mati."
 
  • Sering juga berlaku, kesusahan hidup menyebabkan sebahagian manusia menjadi pesimis dengan nasib dirinya.
"aahh! kalau aku kerja kuat-kuat pun belum tentu boleh naik gaji."

>> Namun begitu, masih ada manusia yang bijak menguruskan diri dan emosi dengan menjadikan kesusahan yang dihadapi itu sebagai momentum dan pembakar semangat untuk berjaya dalam hidup. Berapa ramai tokoh-tokoh yang berjaya setelah menempuhi kesusahan yang bukan sedikit. Hanya saja manusia yang tidak pernah mengambil pengajaran.
 
Sebagai Muslim yang meyakini janji Tuhan, ayat 5-6 surah al-Insyirah wajar dijadikan prinsip dan pegangan hidup. Andai kesusahan yang kita hadapi bagai tiada penghujungnya, berdoalah moga di Akhirat nanti kita dimudahkan urusan timbangan lalu menuju ke SyurgaNya. Bukankah itu matlamat utama yang kita idamkan?

'Jalan menuju Syurga itu tidak ditaburi dengan kelopak mawar. Tapi, dipenuhi liku-liku dan duri-duri yang menyakitkan'

~ Sebagai manusia biasa yang imannya hanya senipis kulit bawang, malah itu pun adakalanya berkurangan, kita mesti sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap kesusahan itu adalah ujian keimanan dari Tuhan. Apa yang penting adalah jangan sesekali berputus asa. Kerana Allah tidak pernah berhenti menyayangi kita. Kesusahan dan ujian itu adalah bukti sayangnya Allah kepada kita.


Maka, kuatkan tekad dan bulatkan azam. Sematkan dalam hati bahawa manusia yang bekerja keras tidak akan rugi. 


Selamat menuntut ilmu, teruskan mengkaji dan mencari mutiara-mutiara berharga buat bekalan menuju Tuhan.


Ingatlah janji yang pernah dilafazkan dan harapan mereka yang menanti kepulangan.


..::cahaya hijrah,  success = struggle::..

Ahad, 25 April 2010

"JAUHI KEGAGALAN, GENGGAMI KEJAYAAN"

Pada 23 April 2010 telah diadakan Forum Motivasi di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah yang bertemakan "Elak kegagalan, hampiri kejayaan". Ahli panel forum tersebut terdiri daripada :


1) Prof Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
2) Mohd Faizal Nor Azmi
3) Puan Zakiah Zaidon


Moderator : Ahmad Nazmi Mohamad


Antara isi-isi kupasan yang menarik ialah :
  • Kegagalan ialah suatu perkara biasa kerana ianya dialami oleh semua manusia. Namun ianya perlulah dilihat sebagai suatu cabaran,ancaman dan rintangan yang mesti dijauhi dan diatasi dengan usaha-usaha yang dapat membuahkan kejayaan.
  • Orang yang gagal perlu sedar akan kegagalannya dan berusaha untuk mengatasinya. Jangan putus asa atau lemah semangat dengan kegagalan yang sudah ditakdirkan Tuhan. Belajarlah melihat kesilapan sendiri atau kelemahan yang menyebabkan kita gagal dan fikirkan cara untuk mengatasi kelemahan dan kesilapan tersebut.
  • Sentiasalah berfikiran besar dan jangan menyempitkan fikiran hanya kerana sebuah kegagalan. Jadikan kegagalan sebagai motivasi dan momentum terbaik untuk menggenggam kejayaan.
  • Pelajar cemerlang yang mampu mencemerlangkan diri sendiri dan orang lain. Bagaimanakah caranya? Semuanya terangkum dalam satu kata kunci iaitu : STUDY GROUP.
  • Konsep-konsep yang tersimpan dalam STUDY GROUP ialah :                          
i- belajar (untuk manfaat diri sendiri) dan mengajar (untuk manfaat orang lain dan juga diri sendiri). Kayu ukur kefahaman seseorang ialah sejauhmana kemampuannya untuk mengajar orang lain.

ii- input dan output. Input ialah apa yang kita fahami dari pembacaan dan pembelajaran sendiri. Manakala output ialah apa yang kita keluarkan atau hasilkan dari input  yang telah diterima. Contoh output  ialah seperti membuat nota, memperdengarkan input kepada orang lain, dan mengajarkan kepada orang lain. Output yang kita hasilkan boleh juga menjadi input kepada orang lain dan juga diri sendiri. Mengajar kepada orang lain adalah suatu proses belajar untuk diri sendiri.

iii- stress-free learning. Dengan kepelbagaian idea dan pendapat, aktiviti study group boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara yang kreatif seperti membuat kuiz, menjawab soalan-soalan dan lain-lain lagi. Ini akan menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam suasana yang ceria tanpa ada tekanan dan menghalang rasa bosan atau penat belajar.

iv- saling menasihati dan menegur. Medium study group boleh menjadi platform yang baik untuk memberi nasihat kepada sahabat kita. Sahabat itu mungkin tidak nampak kelemahan dirinya. Maka, di sinilah kita berperanan secara tidak langsung untuk menjadikan sahabat kita turut cemerlang bersama.

v- mengelakkan gangguan dan sikap menangguhkan kerja. Apabila kita melibatkan diri dalam sebuah  study group, kita terikat dengan disiplin dan tanggungjawab serta amanah dan hak orang lain terhadap kita. Jadi, kita tidak boleh sesuka hati  meninggalkan sesi study group atau malas membuat  tugasan yang telah dibahagikan. Jika tidak, kita bukan sahaja tidak menghormati ahli-ahli lain malah kita juga telah mengkhianati amanah dan hak orang lain terhadap diri sendiri.
  • Antara punca-punca kegagalan di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir yang telah dikenalpasti ialah :                                                                                                                                                         
i- ketiadaan matlamat yang jelas dan spesifik seperti perancangan tahunan dan tempoh masa yang jelas. Untuk contoh yang jelas, boleh lihat seperti apa yang dibuat oleh watak 'Fahri' dalam cerita Ayat-Ayat Cinta. Ini sebenarnya sudah diterangkan oleh ramai pakar motivasi. Matlamat yang jelas dan khusus dan ditampal serta dilihat selalu akan memberi kesan yang mendalam secara tidak langsung kepada jiwa dan memberi motivasi besar kepada minda bawah sedar tanpa kita sedari. Dalam membuat perancangan, ada tiga perkara penting yang perlu dititikberatkan iaitu : APA, MENGAPA, BAGAIMANA. Perancangan atau matlamat yang baik mestilah dapat menjawab ketiga-tiga persoalan ini. Dan apa juga perancangan dan usaha kita, jangan lupa DOA dan TAWAKKAL pada Allah s.w.t.

ii- tidak berani untuk jadi berbeza. Masalah ini memang jelas dan dapat dilihat pada  majoriti  bangsa Melayu. Anak Melayu sering jadi pemalu dan takut-takut untuk menjawab soalan di dalam kelas. Bukan tidak ada yang berani, cuma jarang-jarang ditemui, bak kata P. Ramlee dalam Nujum Pak Belalang. Lain  sangat dengan Arab, apabila disoal oleh pensyarah ramai yang mengangkat tangan. Kadang-kadang dia tidak tahu pun jawapannya tapi, dia tetap berani mencuba. Itu yang mesti kita tiru bukannya meniru sikap-sikap buruk bangsa Arab. Tak perlu risau diketawakan kerana semua itu tidak akan bertahan lama. Lagi pula, mereka yang mentertawakan kita itu bukan semestinya lebih pandai dari kita. Ketawa itu lumrah manusia yang tak mungkin dapat kita ubah. Begitu juga dalam soal mempertahankan prinsip dan pendapat sendiri. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam, maka pertahankanlah prinsip dan pendapat itu.

iii- sikap mudah berpuas hati dengan apa yang telah diperolehi. Redha dengan takdir tidak semestinya bererti kita tidak boleh berasa tidak puas hati dengan apa yang telah Allah beri. Dorongkan rasa tidak puas hati kepada bentuk yang positif. Sama juga seperti sifat cemburu. Ia tidak salah selagimana ia dilorongkan pada jalan yang benar.

iv- budaya 'Bangau oh Bangau'. Sikap selalu menyalahkan orang lain bukannya dapat menjadi penyelesaian kepada masalah. Ingatlah, satu jari yang menuding kepada orang lain, baki jari yang semuanya menuding kepada orang lain. Jadi, salahkanlah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

v- takut salah dan tidak berani mencuba. Takut untuk mencuba = takut untuk berjaya. Sebagai contoh mudah, sikap takut bertanya soalan atau menjawab soalan di dalam kelas. Apabila kita takut untuk menjawab sedangkan jawapan kita itu betul, maka itu bererti kita takut untuk berjaya. Menjawab soalan dengan betul adalah suatu kejayaan walaupun ia hanya kejayaan kecil.

vi- kelemahan dalam pengurusan masa dan juga kurang disiplin. Masalah yang paling ketara ialah pengurusan masa tidur yang tidak betul apalagi dalam musim panas ini apabila waktu siang lebih panjang dari waktu malam. Apabila waktu tidur pada malam hari tidak cukup akan menyebabkan kita mengantuk pada siang hari maka terjadilah aktiviti ponteng kuliah. Sedangkan ilmu bukanlah suatu yang boleh dikirim melalui kawan-kawan. Dan ingatlah bahawa, apabila kita tidak hadir ke kuliah kita telah melanggar hak orang lain terhadap kita. Hak pensyarah untuk menyampaikan ilmunya. Hak kawan-kawan dan juga hak diri sendiri untuk menuntut ilmu. Itu belum lagi berbicara soal amanah ibu bapa, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

vii- tidak memiliki kunci ilmu iaitu Bahasa Arab yang baik. Maka kewajipan dan keperluan untuk menguasai bahasa bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan atau dilekehkan. Bahasa adalah alat untuk menguasai ilmu. Maka, kuasailah Bahasa Arab dan juga Inggeris dengan sebaiknya. Sentiasa biasakan diri untuk merujuk kamus dan banyakkanlah membaca bahan bacaan ringan seperti buku cerita atau majalah kartun yang mudah difahami untuk membiasakan diri dengan uslub bahasa. Selain itu, janganlah malu atau segan untuk berkomunikasi dengan orang Arab.
    • Antara tips-tips untuk menguatkan hafazan :                                                                                         
    i- Teknik bayangan. Membayangkan dalam bentuk tulisan apa yang telah dibaca atau dihafal.

    ii- Melihat benda-benda hijau atau tidur sekejap dalam 10-15 minit untuk menghilangkan penat. Elakkan sama sekali dari menonton cerita atau berembang.

    iii- Jaga kesihatan saraf dengan cara memakan makanan kesihatan seperti kismis dan kurma dan selalulah minum susu
    • Bagaimana membentuk mahasiswa yang cemerlang dan juga berakhlaq Islam?                         
    i- sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat dan tujuan hidup serta misi kedatangan ke bumi 'anbiya'.

    ii- sentiasa melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang boleh membantu dalam proses pembinaan karakter sebagai seorang pendakwah. Setiap kita yang melafazkan kalimah tauhid adalah daie.

    iii- sentiasa muhasabah dan mengingatkan diri tentang tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan juga pengurus terutamanya kepada diri sendiri dan kepada masyarakat lain umumnya. Seorang pemimpin dan pengurus yang baik perlu memiliki kebolehan untuk mengutarakan idea serta pandangan yang bernas, berpandangan jauh dan mampu menjadi agen perubah masyarakat kepada kebaikan.
    • Peringkat pengajian di universiti adalah peringkat atau tahap berdikari atau survival di mana mahasiswa tidak lagi boleh bergantung harap dari pensyarah semata-mata untuk mendapatkan input. Mahasiswa perlu meneroka jauh dunia akademik dan cuba menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang lain selain bidang utama pengajian. 
    • Dalam menguruskan aktiviti dan kehidupan kita mesti tahu dan memahami konsep prioritization atau Fiqh Aulawiyat. Utamakan apa lebih utama dan kemudiankan apa yang boleh dikemudiankan.
    • Semua ilmu malah apa jua yang kita miliki adalah dari Allah s.w.t. Maka, pohonlah kepada-Nya semoga semuanya diberkati sehingga ke ahir hayat.
    • Apa yang penting adalah kita menambahkan ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin apalagi dalam soal agama.  
    • "sesiapa yang mahukan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan Akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang mahukan keduanya maka hendaklah dengan ilmu".
    ..:: selamat menempuh peperiksaan kepada semua yang bergelar pelajar samada di Malaysia atau di Mesir mahupun di mana sahaja di muka bumi Allah ini. dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan di dunia, jangan lupa membuat persiapan untuk peperiksaan alam Barzakh yang bakal kita hadapi bila-bila masa sahaja::..

      Ahad, 18 April 2010

      MENGHADAPI MASALAH DAN PENYELESAIAN..

      Kehidupan persekitaran kita terdiri dari dua jenis lingkungan

      1-lingkungan keprihatinan
      2-lingkungan pengaruh


      Sebagai manusia biasa, kita perlu sedar kita tidaklah memiliki kelengkapan yang benar-benar sempurna. Misalnya, kita tidak ada masa yang cukup untuk menyelesaikan semua masalah di dunia. Kita juga tidak punya kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang ada di hadapan kita meskipun kita ada keinginan dan cara untuk melaksanakannya. Maka, kita sebenarnya kurang serba serbi kerana yang Maha Sempurna dan Pemilik segala sesuatu hanyalah Allah s.w.t.

      Maka, setiap kali kita menghadapi masalah, cuba kenalpasti setiap masalah dan ketidakpuasan hati yang ada pada kita samada ia berada dalam lingkungan keprihatinan atau lingkungan pengaruh. Lingkungan keprihatinan bererti segala perkara atau masalah yang mendapat perhatian kita, yang membuatkan kita tidak berasa tidak
      selesa duduk selagi ia tidak di atasi. Manakala lingkungan pengaruh pula ialah perkara-perkara yang mempunyai kaitan rapat dengan diri kita. Sebagai contoh, tabiat atau perangai kita.

      Baik, sekarang kita lihat pula kepada kategori-kategori masalah yang sering kita temui dalam
      kehidupan.

      Masalah-masalah yang kita hadapi boleh dibahagikan kepada 3 jenis kategori:

      1-Masalah jenis kawalan secara langsung
       bermaksud masalah yang berada dalam lingkungan pengaruh kita sendiri dan boleh diselesaikan oleh kita sendiri, yang mana kita punya kawalan penuh. Sebagai contoh, masalah kawan-kawan yang selalu datang melepak di bilik kita sehinggakan mengganggu masa belajar kita. Maka, selesaikan dengan cara yang kita mampu seperti menerangkan dengan baik kepada kawan-kawan bahawa anda ingin belajar. Atau mungkin juga anda boleh tampal notis "Jangan Ganggu" di pintu. Atau secara kasarnya,jangan buka pintu untuk mereka masuk ke bilik anda. Itu sekadar contoh. Apa yang penting, kita mesti juga timbangkan keperluan sosial kita. Jangan terlalu tumpu pada belajar semata-mata hingga tiada langsung masa untuk bersilaturrahim dengan jiran tetangga atau kawan-kawan. Ini salah. Paling tidak pun, hadiri Smart Circle setiap kali diadakan.
      2-Masalah jenis kawalan secara tidak langsung
      kategori ini yang sering menimbulkan kekeliruan kerana ia berada di tengah antara kawalan secara langsung dan juga di luar kawalan. Masalah kategori ini biasanya berada dalam ruang   lingkungan keprihatinan. Jika dilihat kembali pada contoh di atas tadi, katakanlah kawan-   kawan itu lebih banyak main dan bersembang daripada belajar yang mana kita sebagai kawan   merasa bertanggungjawab untuk menasihati mereka. Lagipula jika kita tidak mengubah mereka   dikhuatiri mereka akan membawa kita mengikut perbuatan kita. Ini kerana pengaruh atau kesan  kawan terhadap diri kita sangat kuat. Lalu, penyelesaiannya bagaimana? Sebagaimana biasa,   kita boleh nasihatkan kawan-kawan supaya belajar. Ingatkan tentang harapan orang tua, ahli   keluarga dan masyarakat. Ingatkan tentang masa yang mana Allah bersumpah dengannya dalam   surah wal 'Asr. Atau mungkin juga anda boleh menukar perkumpulan itu dari bersembang kosong  kepada 'study group'. Persoalannya samada kita mampu atau tidak untuk melakukannya kerana tidak semua orang mampu untuk 'take lead' atau menjadi seseorang yang berpengaruh dalam kalangan kawan-kawannya. Jika usaha itu masih juga tidak berhasil, maka ketahuilah bahawa ia bukan berada dalam lingkungan pengaruh kita  malah sebaliknya. Apa yang kita lakukan adalah kerana rasa prihatin terhadap kawan-kawan dan itu adalah pahala buat kita. Usah khuatir kerana usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan tidak bertanyakan natijah kepada usaha kita. Tetapi Tuhan akan tanya adakah kita telah cuba berusaha.
      3-Masalah yang di luar kawalan
      banyak masalah di dunia ini yang berada di luar kawalan kita dan ia adalah termasuk dalam   lingkungan keprihatinan. Seperti masalah pelajar yang merokok contohnya. Kita tidak punya   kuasa untuk melarang mereka merokok kecualilah jika mereka merokok dalam bilik kita ataupun di kawasan awam yang sememangnya dilarang merokok. Sebagai seorang yang prihatin, kita terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini namun kita tidak punya kuasa dan memang jelas, masalah ini adalah di luar kawalan kita. Di sana ada beberapa inisiatif yang boleh cuba dipraktikkan untuk menyelesaikan masalah rokok ini seperti memberi kesedaran tentang bahaya dan kesan negatif akibat merokok. Terangkan juga bahaya merokok ini bukan sahaja kepada perokok malah kajian membuktikan mereka (bukan perokok) yang sering 'terhidu' asap rokok akan menerima kesan yang lebih teruk berbanding perokok itu sendiri. Dan apa yang penting ialah kesedaran itu perlu datang dalam diri perokok itu sendiri. Kita mungkin boleh memaksa mereka untuk tidak merokok di tempat tertentu. Namun, di tempat lain tanpa pengetahuan kita mereka mungkin akan merokok. Maka, sebagai seorang yang prihatin kita tidak boleh merasa lega dengan sekali usaha atau putus asa dengan usaha yang sedikit. Jika kita benar-benar prihatin, buktikan keprihatinan itu dengan usaha yang berterusan untuk membentuk kesedaran dalam diri mereka yang merokok dan jangan mengharap mereka akan menerima nasihat kita dengan secepatnya. Berdoalah pada Allah yang memiliki hati-hati kita semua. Dan ingatah selalu jangan menjadi lilin yang membakar dirinya sendiri kerana prihatin dengan orang lain. Tapi jadilah seperti pelita yang menggunakan sumber yang ada untuk menyalakan dirinya dan juga memberi manfaat kepada orang lain.

      p/s : Isu Palestin berada di luar kawalan kita meskipun ia dalam lingkungan keprihatinan. Maka, apakah kita tidak boleh berbuat apa dan melihat sahaja segala perbuatan Yahudi Zionis dan sekutunya sambil mengutuk perbuatan mereka itu serba sedikit? Ada sesuatu yang boleh kita lakukan selain doa. Masih tertanya-tanya apa dia? Tepuk dada tanyalah diri. Wang kita ke mana pergi?

      HIJRAH MENJADI YANG TERBAIK


      HIJRAH MENUJU ALLAH

      Hijrah...
      Bulat niat tekadmu
      Dalam hijrahmu itu
      Allah nanti kan bersama
      Tempuh jalan yang diredhai

      Andai rasa diri lemah
      Diperjalanan hijrahmu
      Sendirian
      Tiada mampu
      Pohonlah pada Tuhanmu

      Hijrah ini memang susah
      Hijrah ini memang payah
      Hijrah ini menuju Allah
      Dihujungnya hasanah

      Hijrahmu menuju Allah
      Ia sunnah para Nabi
      Para solehin dan tabien
      Kembara hati menuju Ilahi

      Suatu masa yang tidak lama dahulu, ada jiwa yang utuh meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta demi kerana mengejar mimpi untuk menjadi yang lebih terbaik. Fikirnya, hijrah ini tidak lama. Dia bakal pulang semula ke pangkuan keluarga selepas sepenggal pemerintahan kerajaan. Namun siapakah yang tahu akan takdir Tuhan? Dia redha biar hati sering melagukan rindu pada keluarga yang sudah lama ditinggalkan.
      Meskipun begitu, dia masih positif dan tidak pernah bersangka buruk dengan Kekasihnya. Dia sedar perjalanan dan perjuangannya ini bukan semudah menuturkan kata. Namun jalan yang telah dipilihnya ini penuh duri yang menjadi cabaran yang adakala menggoyahkan jiwanya yang masih mencari kekuatan. Jalan ini adalah jalan hijrah yang susah dan payah kerana jalan ini adalah jalan baginya untuk nanti bertemu Kekasihnya. Lalu dia sering memujuk hati supaya sabar dan tabah. Sering juga dia muhasabah diri agar nanti dia sedar kelemahan sendiri dan tidak bersikap sombong atau bangga diri dengan sedikit kelebihan yang ada padanya. Doanya moga nanti dia dapat pulang menjadi diri yang lebih terbaik dari saat dia melangkah memulakan hijrahnya.

      Kembara di bumi bertuah ini memberikannya pelbagai pengalaman yang mendewasakan diri dan juga fikiran. Dia yakin apa sahaja ujian yang diterimanya kini adalah sebagai persediaan untuknya apabila pulang nanti. Lalu segalanya diterima dengan hati yang lapang. Sudah ramai kawannya yang pulang dan meninggalkannya. Namun dia masih bersyukur kerana masih ada lagi yang menemaninya. Tekadnya cuma satu. Melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman untuknya berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat di kampung halaman.

      Rasa hati yang sering membuatnya termenung, dibuang jauh. Dia berazam tidak mahu mengejar cinta selain cinta Kekasihnya. Dia mahu menjadi sempurna dan terbaik biarpun dia sedar kekurangan dan kelemahannya masih banyak lagi belum diperbaiki. Dia yakin dan percaya bahawa takdir yang ditentukan Tuhan adalah yang terbaik buatnya. Biarpun

      Lalu, dia hadapi setiap hari-hari yang mendatang dengan senyuman dan keyakinan bahawa Sang Kekasih tidak pernah melupakannya. Harapannya moga hari yang mendatang akan dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran dan dia akan diizinkan pulang menemui mereka yang dirindukan setelah dia berjaya menjadi yang terbaik dari semalam. Amin, ya Rabbal 'alamin.

      Selasa, 23 Mac 2010

      DISKUSI KUTAIB : NASIHATI LIL FATAT AL MUSLIMAH

      Diskusi diadakan pada 19 Mac lalu di Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma A Perak.
      Nama kutaib : Nasihati lil fatat al muslimah
      Penulis : Wajdi Ghanim
      Pendiskusi : Syahidatul Akmal Mohd Dahalan

      Antara isi-isi penting dalam kutaib ini ialah :
      • Kehidupan di atas muka bumi ini tidak akan pernah sunyi dari ujian dan cubaan dari Tuhan. Jangan mengimpikan kehidupan yang bahagia sepanjang hayat di atas dunia. Semua itu hanya ada di Syurga. Banyak ayat al Quran yang menyebut tentang perkara ini. Antaranya firman Allah s.w.t. dalam surah al Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud :
      "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : kami beriman. Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.
      • Ujian Allah itu boleh jadi dalam bentuk yang baik atau buruk. Kekayaan dan kemiskinan adalah ujian untuk melihat samada yang mendapat kekayaan itu bersyukur atau tidak dan samada yang miskin itu redha dengan kemiskinannya atau tidak. Akan tetapi ini tidak bermakna, kita boleh redha dengan kemiskinan tanpa berusaha untuk mengatasi kemiskinan tersebut.
      • Harta bukanlah segalanya di dunia ini. Harta tidak menjamin kebahagiaan hidup. Harta juga tidak dapat menjamin kitta akan berjaya dalam hidup. Berapa banyak keluarga yang kaya raya namun tidak bahagia? Semua itu dapat kita lihat pada hari ini.
      • Bersabar dalam menghadapi ujian terutama apabila kematian orang-orang tersayang.
      • Sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. dan selalu muhasabah diri.
      • Seteruk mana pun bala atau musibah yang menimpa, jangan sesekali timbul rasa mahu bunuh diri. mintalah pertolongan dari Allah s.w.t. dengan solat dan juga doa.
      • Manusia tidak boleh memilih untuk diuji dengan ujian yang bagaimana. Kita hanya terima segalanya dari Allah s.w.t. Takdir Allah s.w.t. samada yang baik mahupun yang buruk adalah ujian kepada setiap manusia. Ingatlah selalu bahawa musibah itu adalah ujian keimanan bagi setiap yang mengaku Muslim dan ia bukanlah hukuman atas segala dosa. Namun ujian yang ditempuhi dengan sabar dan redha akan menjadi penghapus kepada dosa-dosa yang lalu.
      Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada semua Muslimah khususnya dan kepada seluruh umat Islam amnya.

      Seeru 'ala barakatillah..

        Ahad, 28 Februari 2010

        MENCARI BAHAGIA

         Setiap manusia mahukan kebahagiaan. Biarpun pemahaman tentang kebahagian itu berbeza antara setiap manusia. Ada yang menganggap bahagia itu ada pada kehidupan yang mewah. Ada juga yang menganggap harta tidak memberi bahagia tanpa adanya manusia lain yang mencintai dirinya dan dicintainya. Ada yang menganggap bahagia itu pada jawatan dan nama yang disanjung. Namun mereka lupa beratnya amanah itu sehingga gunung ganang pun tidak sanggup untuk menanggungnya. 

        Sebuah buku yang saya kira mesti dibaca oleh semua khususnya wanita Muslimah, As'adul Imraah fil 'Alam. Dalam usaha mencari bahagia, kita sering melakukan kesilapan apabila mencarinya di luar lingkungan. Bahagia itu dari hati. Dan pemilik hati-hati kita adalah Dia yang Maha Kuasa. Maka, carilah bahagia itu dengan menghubungkan hati-hati kita dengan-Nya.

        Renungan buat diri yang alpa dan pujukan buat hati yang masih mencari bahagia.

        BAHAGIA YANG DICARI

        Andai kau mencari bahagia
        Janganlah dilihat pada dunia
        Kerana derita yang ada
        Tiada hujungnya

        Andai kau mencari bahagia
        Kembalilah pada Tuhan
        Yang punya Kuasa
        Memberi bahagia

        Bahagia yang kau cari
        Bukan pada kilauan emas permata
        Tidak juga pada manusia
        Yang sering alpa dari Tuhannya

        Bahagia itu ada dalam diri
        Saat Tuhan diakrabi
        Perintah-Nya dilunasi
        Larangan-Nya dijauhi

        Bahagia yang kau cari
        Ada pada Tuhan yang Maha Memberi.

        ^ cahaya hijrah ^
        26 Februari 2010/14 Rabi'ul Awwal 1431

        Ahad, 7 Februari 2010

        FEBRUARY, A COMPILATION OF EMOTION

        Even though February has always been called as a month of love by the western people and eastern people who act like western, I never thought like that. Love is not suppose to be limited only for a day or a month or a week. Love is everyday, everywhere and every time. For me, February has always been special because there is one day on that month when my parent got married. So, that's why February is somehow a month of love for me.

        But lately, a few things happened that make me feel like there is no more love or happiness in February. My 'bestest senpai' Kesuma leave Egypt on February 1 last year. And so were my junior, Yasirah. Both of them were back for good. I never thought that I will miss them this badly. But that's what happen when we lose someone so close. Someone that we spent our time mostly with. Someone we fought whenever we want to. Someone who shares the same idea and think like we do. Someone who Allah send to us to be thankful to.

        I thank to Allah for all the friends that He sent to me. They have been a good companion and a true mirror. I pray that He will always keep us close in the heart no matter how far our distance is. And may Allah bless us and I hope one day He will unite us all so that we can say that we love our friends and we are thankful to Allah for having them. To all my friends, I miss you all and I love you all.

        Rabu, 23 Disember 2009

        FORUM MA'AL HIJRAH 1431

        Moderator : Us. Fathi Ramli
        Panel : Us Mohd Noorazam Bahadur & Dr Husaini

        Antara isi utama perbincangan yang dapat saya kongsikan :

        1) Hijrah adalah suatu anjakan paradigma yang ada padanya yang berikut :
          - meninggalkan sesuatu atau suatu tempat yang sangat kita sayangi dan dekat di hati.
          - menjauhkan diri dari maksiat dan meninggalkan maksiat kerana Allah Taala.
          - tidak mencampurkan diri dengan pihak yang batil atau salah.
          - melibatkan diri dalam jama`ah Islam dan mengikuti pemimpin yang Islam.
          

        2) Hijrah atau apa sahaja tindakan yang ingin dilaksanakan perlu ada perancangan yang teliti sepertimana proses Hijrah Rasulullah s.a.w. bersama sahabat Baginda Abu Bakar as-Siddiq. (ada penunjuk arah, ada yang menggantikan tempat tidur Baginda)

        3) Niat yang betul dan ikhlas memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tindakan tidak lari dari syariat Allah s.w.t.

        Saya memohon maaf kerana ada beberapa isi penting yang sudah saya 'terlupa' akibat kelewatan menyiapkan entri ini. Kesibukan yang tidak seberapa mengendalikan pelajar-pelajar Universiti Malaya agak membataskan waktu saya. sudahlah saya ini jenis lambat buat ayat..em, ini kelemahan saya yang paling perlu untuk dihijrahkan.

        Ayuh, ambillah cahaya dari peristiwa hijrah (pengajaran, 'ibrah dan teladan) untuk kita sama-sama aplikasikan dalam hidup kita seharian. Mudah-mudahan tahun yang baru ini menjadikan kita lebih baik dari semalam yang telah berlalu. Amin.

        KULLU SANAH WA ANTUM TOYYIBIN.
        SALAM TAHUN BARU 1431H.



        Jumaat, 27 November 2009

        MUHASABAH AIDIL ADHA

        SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA..KULLU AM WA ANTUM TOYYIBIN


        Hari Raya Aidil Adha yang juga kita sebut Hari Raya Korban menjadi simbolik pada suatu perkara yang paling besar dalam kehidupan, iaitu pengorbanan. Apabila disebut pengorbanan, ada sebuah lagu yang secara automatik terlintas di fikiran saya.

        P. Ramlee

        Berkorban Apa Saja

        Berkorban apa saja
        Harta atau pun nyawa
        Itulah kasih mesra
        Sejati dan mulia

        Kepentingan sendiri
        Tidak diingini
        Bahagia kekasih
        Saja yang diharapi

        Berkorban apa saja
        Harta atau pun nyawa
        Itulah kasih mesra
        Sejati dan mulia

        Untuk menjadi bukti
        Kasih yang sejati
        Itulah tandanya
        Jika mahu diuji

        Berkorban apa saja
        Harta atau pun nyawa
        Itulah kasih mesra
        Sejati dan mulia


        Pengorbanan adalah suatu yang sangat mulia dan suatu perkara besar yang sewajibnya kita hargai dan syukuri. Keberadaan kita di bumi ini khususnya anak-anak perantau di ardhul kinanah ini adalah kerana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa kita khususnya. Usah dibicara soal wang ringgit yang sering diminta lewat setiap panggilan telefon mahupun sms. Apa yang lebih besar bagi saya adalah pengorbanan hati dan perasaan. Tanpa pengorbanan hati dan perasaan, segala pengorbanan material bagaikan tiada maknanya.

        Ketika Nabi Ibrahim a.s. diilhamkan oleh Allah s.w.t. untuk mengorbankan anakandanya, Baginda telah lebih dulu mengorbankan rasa kasih dan sayang Baginda terhadap Nabi Ismail a.s. demi kerana Tuhan yang diimaninya. Mengorbankan rasa kasihan pada anak yang masih muda demi menuruti perintah Tuhannya. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w. yang mengorbankan rasa cinta terhadap tanah kelahirannya demi untuk sebuah hijrah yang bakal mengembangkan dakwah Baginda.

        Berkorban bukan semata kerana ganjaran atau demi kepuasan diri sendiri. Bahkan lebih dari itu, manusia berkorban kerana ingin memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada insan lain seperti kata-kata dalam lirik di atas. Setiap pengorbanan yang dilakukan bukan untuk sembarangan orang, akan tetapi untuk orang yang paling dan amat dicintai. Maka bertuahlah insan-insan yang menerima perngorbanan itu. 

        Hari Raya inilah yang sepatutnya kita besarkan dari hari-hari lain. Hari yang mulia ini juga, kita sewajarnya merenung diri dan mengenang betapa banyak pengorbanan yang telah kita terima terutama dari ibu bapa. Sedari kewujudan kita alam rahim lagi, sudah banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita. Setelah lahir, kita dibesarkan dengan pengorbanan yang tidak pernah berhenti. Hinggalah kini, kita perlu sedar bahawa kita lahir dan menjadi dewasa seperti sekarang ini kerana pengorbanan mereka di sekeliling kita terutama ibu bapa. Kadang kita sebagai manusia sering mendabik dada menyebut-nyebut pengorbanan sendiri. 

        "saya mengorbankan rasa rindu pada keluarga demi untuk mendapatkan khazanah ilmu di bumi Al Azhar ini."

        "saya mengorbankan masa muda saya demi untuk mendapatkan segulung ijazah yang akan lebih menjamin masa depan keluarga saya"

        "saya mengorbankan masa lapang saya demi mendapatkan keputusan yang cemerlang"

        "saya mengorbankan masa saya demi untuk menjaga kebajikan orang-orang bawahan saya"
        Pelbagai lagilah pengorbanan yang konon kita lakukan demi untuk orang lain. Padahal dalam hati hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang salah atau cara yang salah tidak akan menatijahkan hasil yang baik. Kadang ada juga manusia yang silap dalam berkorban. Sanggup mengorbankan masa belajar demi untuk memenuhi kehendak hati yang kepingin jamming di studio muzik? Korbankan duit belanja makan (sanggup makan mee segera sahaja) demi memenuhi keinginan memiliki handphone  yang mahal dan konon canggih padahal kewangan yang ada tidaklah sebanyak mana. FIkirkan sendiri di mana nilai pengorbanan yang sebegitu. Mengorbankan kesihatan diri, mengorbankan hak jasmani yang perlukan makanan berkhasiat, mengorbankan tanggungjawab utama sebagai seorang pelajar adalah suatu yang tidak wajar dilakukan.

        Apa lagi sebagai pemimpin yang dilantik oleh orang bawahan. Tidak patut jika seorang yang merasakan tanggungjawab sebagai pemimpin mengabaikan orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya. Sepatutnya seorang yang mengaku pemimpin mengorbankan kepentingan diri dan mendahulukan kepentingan dan kemaslahatan orang bawahan berbanding dirinya. Walaupun begitu, jangan lupa bahawa apa jua bentuk pengorbanan mahupun ithar  yang dilakukan ada tatacara dan kaedahnya dalam agama Islam.

        Marah betul saya dengan seorang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan ahlinya, namun mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan ahli. Di sudut mana dalam hatinya yang menghayati erti pengorbanan? Dimana letak rasa tanggungjawabnya jika tidakpun ada rasa kasih dan sayang pada ahlinya? Manusia yang seperti ini wajar disedarkan dengan sebuah hadith yang maksudnya : "seseorang pemimpin itu adalah khadam bagi kaumnya."  

        Lalu, muhasabahlah diri dan cuba baiki kelemahan yang ada. Benar sebagai manusia kita tidak lepas dari melakukan salah dan silap. Namun setiap kesalahan yang dilakukan wajar diambil iktibar dan pengajaran. Ingatkan diri agar silap dan salah itu tidak diulangi lagi pada masa depan kerana Rasulullah ada berpesan bahawa orang mukmin itu tidak akan jatuh ke lubang yang sama sebanyak dua kali. Beringatlah selalu bahawa amanah yang dipundakkan di bahu setiap pemimpin itu akan ditanya oleh Allah s.w.t. kelak.

        Aidil Adha ini adalah kesempatan untuk mengenang berapa banyak insan yang telah berkorban untuk kita selama ini, mensyukuri nikmat kasih sayang manusia yang menjadi pendorong untuk mereka berkorban demi kita dan merenung diri sendiri apakah pengorbanan yang telah kita beri pada insan-insan yang kita sayang mahupun yang menyayangi kita. Jangan selalu menuntut orang lain untuk mengorbankan sesuatu untuk kita sedang kita berat untuk mengorbankan sesuatu untuk mereka. Dan jangan asyik menyebut pengorbanan yang pernah kita lakukan. Seorang muslim itu sikapnya sentiasa melupakan kebaikan dia pada orang lain dan mengingati kebaikan orang lain padanya.


        Salam Aidil Adha. Selamat menghayati ibadah korban. Semoga semua jemaah haji selamat pulang ke pangkuan keluarga tersayang.

        Isnin, 23 November 2009

        JANGAN TERLALU MEMUDAHKAN

        Muzik bukanlah sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Perbahasan tentang muzik sudah lama berlegar di kalangan ulama' dan ilmuan Islam. Pelbagai pandangan dan pendapat yang terdapat seputar masalah berkaitan muzik samada nyanyian mahupun alat muzik. Walaupun tiada kedapatan dalil yang jelas dari Al-Quran dan Hadith berkenaan hukum haramnya muzik, saya suka mengingatkan diri dan sahabat-sahabat dengan kesimpulan yang telah dibuat oleh Dr. Yusuf Qardhawi berkenaan mengapa sebahagian ulama' sangat keras dalam masaah ini :

        1. الأخذ بالأحوط لا الأيسر
        Maksudnya : Berpegang dengan sikap berhati-berhati daripada berpegang dengan prinsip bermuda-mudah.
         2. الاغترار بالأحاديث الضعيفة والموضوعة
        Maksudnya : Berpegang dengan hadith-hadith dhaif dan tertipu dengan hadith-hadith palsu.
        3. Realiti dunia muzik hari ini yang telah jauh menyimpang dari ajaran Islam. Sejak Zaman Awal Islam lagi acara yang berkaitan muzik sudah wujud dalam majlis-majlis yang mendendangkan syair yang turut disertai oleh tarian dan nyanyian hamba-hamba perempuan dan juga minuman arak.

        Saya bukan anti muzik. Saya sendiri mendengar dan melayan lagu dan nasyid selagimana ia tidak ada unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam. Namun, apabila menjadi pimpinan dan diberi pertanggungjawaban untuk membentuk akhlaq dan syakhsiah mereka yang dipimpin, saya jadi risau memikirkan idea untuk menubuhkan sebuah band muzik. Atau mungkin juga sebenarnya mereka hanya ingin menubuhkan sebuah kumpulan nasyid. (Perkataan band itu mempunyai persepsi yang agak negatif bagi saya) Lalu, saya memikirkan sesuaikah imej sebuah kumpulan nasyid dengan peralatan muzik seperti drum ataupun gitar?


        .:: sekarang sedang melayan OST Ketika Cinta Bertasbih, paling saya suka : Tuhan, Beri Aku Cinta ::..

        Sabtu, 21 November 2009

        FORUM PENGENALAN SMART CIRCLE

        Ahi panel : Us. Mohd Hafizi Sidek & Us. Mokhri
        Moderator : Us. Mohd Fathi Ramli

        Antara yang dapat saya kongsikan di sini :

        • Kepentingan smart circle samada kepada pelajar agama mahupun perubatan adalah sama. smart circle bertujuan antara lain untuk mendidik pelajar. memetik jawapan ringkas Us. Mokhri : "littakdib" . Rasulullah s.a.w. sendiri telah dididik oleh Allah s.w.t. seperti mana sabda Baginda : '"Addabani Rabbi fa ahsana takdibi''. maka Baginda tidak syak lagi adalah sebaik-baik pendidik. >Perkara ini dapat dilihat dalam usaha dakwah baginda semasa peringkat awal di kota Makkah. Baginda menjalankan dakwah secara senyap dan melakukan liqa'  atau perjumpaan secara rahsia bagi menyampaikan dakwah Baginda kepada sahabat-sahabat yang memeluk Islam pada waktu itu di mana liqa' tersebut diadakan di rumah al Arqam bin Abi al Arqam<
        • Asas atau rukun penting yang perlu ada dalam diri setiap yang terlibat dengan smart circle (samada naqib  atau anak buah) ialah hormat menghormati dan fahami peranan masing-masing.
        • 3 rukun utama yang mesti di laksanakan dalam setiap smart circle : TA'ARUF, TAFAHUM, TAKAFUL. Taaruf bermaksud saling berkenal-kenalan. jadi setiap ahli dalam smart circle itu mesti berusaha untuk mengenali sesama mereka dari hati ke hati. Tafahum pula bererti saling memahami antara setiap ahli dalam smart circle agar dapat diwujudkan keserasian dan kemesraan. ini akan dapat memudahkan lagi gerak kerja dakwah pada masa depan apabila masing-masing sudah faham dan tahu dengan kelemahan dan kelebihan diri serta apa yang disukai dan tidak disukai oleh ahli lain. dan Takaful pula yang berasal dari perkataan kaffala yang bermaksud menjamin memberi pengertian saling memelihara nasib sesama ahli smart circle terutamanya agar tiada yang terbiar atau terlantar. ini akan dapat dilaksanakan dengan sikap suka membantu, saling bertanya khabar, ziarah menziarahi, dan saling membuat kebajikan setakat kemampuan.
        • Sebagai manusia yang bergelar orang muda atau pemuda dan pemudi yang menjadi harapan agama, bangsa dan negara adalah mesti untuk  kita memilik 4 komponen penting iaitu : IMAN, IKHLAS, SEMANGAT DAN AMAL. iman itu dasar segala sesuatu kerana kepercayaan yang jitu kepada Tuhan akan menjadikan hati kita ikhlas dan mendorong semangat yang tidak akan luntur dalam usaha untuk mengamalkan ilmu dan berkongsi dengan manusia lain. jika kurang salah satu dari empat komponen ini, maka kuranglah nilai yang yang ada pada seorang pemuda / pemudi Islam.

        gambar ini sekadar hiasan

        Smart circle ini diadakan untuk diambil manfaatnya oleh setiap yang terlibat. Pihak yang menganjurkan dan mengorganisasi aktiviti ini tidak mendapat sebarang habuan pun melainkan hanya berharap pada pahala Tuhan yang Maha Mengetahui akan perlakuan hamba-hambaNya. Mudah-mudahan aktiviti ini diterima baik oleh semua penghuni. Walaupun majlis forum ini hanya dihadiri oleh 1/3 daripada jumlah penghuni wanita dan mungkin 1/6 penghuni lelaki, saya mengharapkan agar aktiviti smart circle ini nanti akan disertai oleh semua penghuni dan masing-masing dapat mengaktifkan diri untuk sama-sama menyumbang dalam smart circle nanti. Moga setiap amalan kita yang ikhlas diterima oleh Allah s.w.t. dan diberikan ganjaran olehNya.

        >BE SMART, JOIN SMART CIRCLE! & USE SMARTVOIP<  (*,*) tumpang promosi kejap..

          Selasa, 17 November 2009

          IT'S COMMON SENSE

          Most people fail to practice common senses in their daily life matters. For example, in a meeting, it is not appropriate to talk to someone with a strong voice while at the same time someone else is talking to give his opinion. It shows that you do not have manners in a meeting. If you want to give your opinion, speak clearly to all the meeting's members. Do not talk so loud in the offensive.

          I was involved several times in meetings that have members talk to each other with their loud voice affecting the meeting. I hate such members like that. Sometimes also occur in meetings which involve men and women, men only discuss certain issues between them without involving women. I think it is better if they just discuss among themselves if they do not want to involve women members. And one that I mostly do not like is when an issue arises that is not discussed but "talk back later". What purpose the meeting was made if you want to talk later back?

          Waw, this entry seems to express dissatisfaction. That's what happen when we save all the dissatisfaction in the hearts by ourselves. It is better if we speak it up so it does not become the poison that will damage the heart.

          Moral : Learn manners and learn the ethics how to behave in a meeting. Furthermore as a Muslims we are suppose to act like what the Prophet has taught us and as a Malay people, we have manners and courtesy. And do not feel resentful or unhappy for a long time. Let it out at the right place, time and to the right person.  If all the negatives things are just kept in your heart, finally the volcano will explode.
           




          ::translated with the help from Google, thanks to technology::



                                                                            gambar sekadar hiasan
                                                                     Ustaz Azhari (warden kedua DMAK)

          Sabtu, 14 November 2009

          KYO WA WATASHI NO TANJOUBIDESU



          Today is just another day,
          That comes and goes,
          From dawn to dawn.
          Today is not like yesterday,
          Today is a special day,
          A day to be grateful to Him,
          For everything that I have until today.

          A day to thanks those special people,
          Who made me as I am today.
          Life is sometimes easy,
          And often hard.
          But each day that pass by,
          Will always be face with a bright smile,
          Until the day I die.
          insya-Allah



          A LOT OF THANKS AND APPRECIATION TO BELOVED MOM AND DAD WHO NEVER STOP LOVING AND CARING EVEN AFTER A LONG TIME.

          A VERY THANK YOU TO THOSE WHO WISH ME TO HAVE A HAPPY DAY.

          Sabtu, 3 Oktober 2009

          KESATUAN, KERJASAMA, KASIH SAYANG

          Apa yang bakal saya nyatakan hanyalah pandangan saya yang kurang ilmu, kurang tahu, dan kurang kaji. Namun, tidak semestinya pandangan saya ini salah walaupun ia juga tidak seharusnya betul.


          Sesuatu yang saya pasti, kita adalah umat yang sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai umat Baginda Muhammad s.a.w. Namun apa yang menyedihkan dalam realiti umat Muhammad kini ialah kita seolah telah membuang tuah itu dari diri kita.


          Masyarakat Arab bermula sebelum kemunculan Baginda s.a.w. lagi telah memiliki suatu sikap perkauman atau asobiyah yang sangat kuat. Namun, setelah kemunculan Baginda s.a.w. masyarakat Arab pada waktu itu bersatu dengan. Baik yang memeluk Islam mahupun yang menentang. Umat Islam waktu itu disatukan di bawah kalimah tauhid, disaudarakan antara Ansar dan Muhajirin sehinggakan mereka sanggup berkorban untuk saudara seakidah. Pihak musyrikin Mekah pula bersatu tanpa mengira puak demi untuk menghentikan dakwah Baginda s.a.w. yang menyeru kepada Islam. Perang Ahzab atau juga dinamai Khandaq menjadi bukti.


          Masa berlalu, dan umat Islam kini bukan lagi seperti dahulu. Kekuatan kita sudah tiada lantaran kita dipisahkan oleh rasa nasionalisme yang lebih menebal dari persaudaraan Islam. Maka, apa yang menimpa saudara seIslam di Palestin tidak begitu diambil peduli oleh umat Islam di negara lain. Bukan tiada yang prihatin, namun berapalah saja jumlahnya. Itu apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Sedang dalam setiap negara Islam itu sendiri menyaksikan ketidaksatuan antara masyarakat Muslimnya.




          Merenung pada politik tanahair, adakala timbul rasa muak apabila membaca berita tentang pergeseran antara parti politik orang-orang Melayu Islam. Namun untuk tidak mengambil peduli bukanlah juga satu sikap yang bijak kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda : " man la yahtammu bi amril muslimin falaisa minna "

          Yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak mengambil tahu perihal saudara muslimin yang lain, maka dia bukan dari golongan kami.


          Kembali kepada bumi kinanah yang menjadi saksi kedatangan ribuan rakyat Malaysia. Saya yakin bukan mudah untuk menyamakan fikrah antara ribuan yang ada itu. Dengan latar belakang dan pengalaman yang pelbagai, saya pasti setiap mahasiswa Malaysia di bumi Mesir mempunyai pemikiran dan ide yang berbeza. Lalu muncullah pelbagai jenis persatuan di kalangan mahasiswa kita. Ada yang sudah lama kukuh bertapak, ada juga yang baru setahun jagung usianya.


          Saya buntu memikirkan perbezaan fikrah antara mahasiswa kita telah mewujudkan fenomena ketidaksatuan yang hanya merugikan mahasiswa kita sendiri. Suatu yang menyedihkan apabila yang satu menganggap yang satu lagi sebagai musuh. Saya mungkin tidak memahami perkara-perkara atau peristiwa yang berlaku. Namun saya yakin, tindakan menganggap atau mengelar mereka yang berbeza fikrah dengan kita sebagai musuh adalah tidak tepat lantaran kita umat Islam adalah bersaudara. Dan saya jadi sayu bila memikirkan andai Baginda s.a.w. masih hidup dan melihat situasi ini, pasti Baginda bersedih. Lalu, apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah s.w.t. apabila ditanya di Akhirat nanti?


          Saya tidak rasa untuk melebihkan atau membenarkan mana-mana pihak kerana saya yakin kita sebagai manusia tidak lepas dari melakukan silap dan salah. Sehebat manapun kita, atau seberapa lamapun usia bukan ukuran atau jaminan bahawa kita sentiasa di pihak yang benar. Ada masa dan ketikanya kita tersilap dan tersalah dalam membuat penilaian dan tindakan. Sikap selalu merasakan diri sendiri itu betul dan orang lain sentiasa salah bukan tindakan yang baik. Mungkin ada baiknya jika kita renungkan punca dan sebab mengapa setiap peristiwa itu berlaku.


          What goes around, comes around. Kadang apa yang berlaku kepada kita adalah disebabkan apa yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Maka, jika orang lain menyusahkan kita atau menganiaya kita, itu mungkin kerana kita pernah berbuat perkara yang sama kepada seseorang yang lain. Dan jika tidak, itu tandanya Allah menguji kita dengan ujian-Nya yang dalam pelbagai cara. Pasti nanti, Allah membalas kita atas kesabaran kita menghadapi segala mehnah dan tribulasi. Satu prinsip yang selalu saya pegang; biarlah orang lain hendak berkata tidak baik atau membuat jahat atau menyusahkan kita, apa yang penting kita menghadapinya dengan kebaikan. Jadilah seperti pohon epal yang dibaling batu, namun dibalas dengan buah epal dan bukan batu. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah biasa, sedang membalas kebaikan dengan keburukan adalah zalim namanya. Dan membalas keburukan dengan keburukan adalah patut, namun membalas keburukan dengan kebaikan itulah keluarbiasaan dan tanda kehebatan seorang insan.


          Mohon maaf bicara yang tersalah, kata yang tersilap. Moga ada kebaikan dan kebenaran dalam apa yang dinyatakan agar masa yang diluangkan tidak menjadi kerugian.


          Siru ‘ala barakatillah..


          Selasa, 15 September 2009

          ANTI-MASYARAKAT

          :: Gambar sekadar hiasan ::


          Assalamualaikum,

          Ada satu situasi yang ingin saya bawakan :
          Katakanlah anda dan kawan-kawan atau jiran-jiran sepakat untuk membuat majlis berbuka puasa. Maka anda semua kumpullah duit seorang sikit dan sama-sama gotong-royong memasak. Akan tetapi, ada seorang kawan/jiran anda itu yang tidak mahu turut serta. Tak mengapalah, ikut suka dialah kan. Takkan kita nak paksa pula. Kemudian, bila dah siap masak dan masuk waktu Maghrib, kita pun solat setelah berbuka dengan kurma. Tup-tup masa nak makan makanan yang dimasak tadi, satu pinggan dah kosong. Pelik bin ajaib. Semua orang solat tadi dan sebelum tu memang belum ada sesiapa yang menyentuh makanan itu. Rupa-rupanya hamba Allah yang tak mahu ikut sama dengan kita tu dah tapau makanan tu bawa balik ke rumah dia.

          Ha, apa perasaan anda?

          Marah. ye, saya marah. Mungkin itu perkataan yang sebenarnya walau dalam benak cuba untuk menafikan rasa 'marah' itu. Tapi, bulan Ramadhan ini bukan bulan untuk melayan rasa marah apa lagi menurut rasa marah itu. Rasulullah pernah berpesan :
          Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)
          Maka, puasa ini bukan sahaja medan untuk kita menahan diri dari makan dan minum, bahkan lebih dari itu. Ramadhan adalah medan untuk kita melatih diri dengan menahan dan mengawal rasa-rasa yang mazmumah. Apabila rasa-rasa itu dapat kita kawal, ertinya puasa kita telah berjaya dan Insya Allah kita akan menjadi mukmin yang bertaqwa.

          Saya sungguh pelik bagaimana seorang manusia itu boleh hidup tanpa bermasyarakat dengan manusia lain di sekelilingnya. Hidupnya hanya berlegar di dalam rumahnya. Makan, tidur dan semuanya di situ. Tidak ke surau / masjid bersolat jemaah. Tidak menolong kenduri kendara. Tidak menghadiri program / aktiviti yang dianjurkan. Pendek kata, dia dan dunianya sahaja. Orang lain baginya tiada kena mengena dengan dia. Rugi sekali orang yang begini. Sudahlah dia tidak menyumbang kepada masyarakat sekitarnya, bergaul apatah lagi. Tapi, bila ada suatu manfaat yang dia hendak dari masyarakat itu, dia ambil secara senyap-senyap atau istilah kasarnya ‘curi-curi’.

          Beberapa tahun berada di alam kampus, saya banyak terlibat dalam penganjuran sesuatu program atau aktiviti (taklah banyak sangat macam orang lain, sikit-sikit je). Dan saya pernah hadapi situasi program yang mendapat sambutan hebat dan kurang mendapat sambutan. Namun, semua itu mungkin berlaku kerana kelemahan dan kekurangan yang pada pihak yang menganjurkan. Namun apa yang mengecewakan ialah apabila ada manusia yang tidak mahu langsung melibatkan dirinya dengan sebarang aktiviti dan program masyarakat setempat. Baik semasa waktu pengajian, peperiksaan, kerja atau cuti.

          Mereka yang begini tidak menguntungkan atau merugikan kita tapi menyakitkan hati kita. Bayangkan bila ada aktiviti yang ada makan-makan. Semasa program dia tiada. Tapi masa makan dialah yang dulu ‘tapau’ bawa balik. Bukannya nak makan bersama-sama dengan orang lain. Saya tidak ingin mengata atau menuding jari menyalah sesiapa. Namun permasalahan ini adalah suatu yang patut kita risaukan.

          Saya lebih suka muhasabah diri sendiri apabila menghadapi karenah manusia yang pelbagai dan menyakitkan hati. Ini kerana saya berpegang pada frasa Inggeris yang berbunyi : what goes around, comes around. Maksudnya apa yang pernah kita buat pada orang lain mungkin nanti akan dibuat oleh orang lain pada kita. Memang saya sedar kelemahan diri saya sendiri yang tidak ‘bermasyarakat’ sangat di tanah air. Seharian kehidupan saya kalau cuti di rumah hanya terhad di dalam rumah sahaja. Buat kerja rumah, menonton, sembang, atau apa sahaja. Jarang sekali saya melibatkan diri dengan jiran-jiran lain. Berbeza situasi saya di sekolah dan kampus. Mungkin kerana perbuatan saya yang menjadi ahli yang pasif dalam masyarakat di kawasan perumahan, saya menghadapi karenah manusia seperti itu di tempat pengajian.

          Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan dan selesaikan ialah bagaimana untuk melibatkan ahli-ahli komuniti yang pasif ini ke dalam masyarakat? Sebelum itu ada baiknya kita selidik punca dan sebab yang mencetus sikap ‘pasif dan berkurung’ golongan ini.
          1. Kurangnya keyakinan diri pada pandangan saya menjadi faktor terbesar. Mereka ini mungkin punya hasrat untuk bersama dengan masyarakat namun terhalang oleh sifat inferiorty complex yang menguasai diri. Rasa takut sekiranya apa yang mereka lakukan diketawakan atau dimarah oleh ahli masyarakat yang lain.
          2. Pengalaman pahit yang pernah dilalui dalam masyarakat. Mungkin mereka pernah diejek akibat fizikal atau penampilan diri sehingga menyebabkan mereka berasa marah atau kecewa lalu menjauhkan diri dari orang lain.
          3. Tiada rasa atau kemahuan ingin bergaul dengan masyarakat. Ini adalah penyebab yang paling sukar untuk diubah. Dua faktor di atas mungkin boleh dibantu oleh masyarakat namun faktor yang akhir ini mungkin payah. Persepsi bahawa dia tidak memerlukan kepada orang lain dalam kehidupan adalah suatu pandangan yang salah. Kita lahir ke dunia pun disambut oleh doktor ataupun jururawat. Malah bila mati nanti pun kita perlukan orang untuk menguruskan jenazah kita. Lainlah kalau mati nanti dia boleh uruskan jenazah diri sendiri dari mandi, kapan sampai kebumi.
          Maka apakah solusi untuk kita mengatasi masalah ini?

          1. Cuba ajak mereka secara baik untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Mungkin buat permulaan sebagai pemerhati. Lama kelamaan apabila sudah ada keyakinan dan keseronokan, mereka tidak akan malu untuk bermasyarakat.
          2. Ziarah ke rumah mereka sambil membawa makanan. Tanyalah khabar atau perkembangan dirinya. Tanyakan juga sekiranya dia memerlukan bantuan atau sumbangan dari ahli masyarakat yang lain. Tunjukkan keprihatinan dan kesediaan kita untuk membantu.
          3. Jangan perli atau sindir mereka samada secara berdepan atau 'di belakang'. Tindakan ini hanya akan menjauhkan mereka dari kelompok masyarakat.
          Ini hanyalah sekadar pandangan saya yang masih lagi belajar memahami karektor manusia yang pelbagai dalam usaha untuk mendepani dunia yang lebih mencabar di tanah air nanti. Mudah-mudahan apa yang betul itu, sekiranya ada akan memberi manfaat kepada sesiapa jua. Dan jika ada antara kalam saya yang tersalah atau melanggar syariat Allah atau mengguris hati sesiapa, saya mohon keampunan dan kemaafan.

          Siru 'ala barakatillah..


          Rabu, 9 September 2009

          TAZKIRAH RAMADHAN (2)


          Salam semulia Ramadhan,

          Sahabat-sahabat yang dikasihi,

          Dalam surah Ali ‘Imran ayat 110, Allah s.w.t berfirman :


          كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ


          Maksudnya : kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).


          Kita patut merasa bangga kerana Allah telah menjadikan kita sebagai sebaik-baik umat yang ada di muka bumi. Namun gelaran sebaik-baik umat itu ada syaratnya. Iaitulah apabila kita menyuruh kepada yang ma’ruf (kebaikan) dan kita mencegah segala bentuk kemunkaran dan kita beriman kepada Allah s.w.t. Maka, sekiranya tiga tugas asas ini tidak kita laksanakan tidak layaklah kita untuk digelar sebagai khaira ummah.


          Namun di sana ada sesuatu yang masih perlu kita renungkan. Tidak cukup bila kita hanya memegang pada ayat ini sahaja. Kita perlu memahami al Quran kesemuanya.


          Dalam surah as Shaff ayat ke tiga, Allah s.w.t berfirman :


          كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ


          Yang maksudnya : amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.


          Dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “akan dibawa datang seorang lelaki lalu dicampakkan ke dalam neraka.Lalu neraka ia berkisar dengan alat pengisarnya.Lalu ia dikelilingi oleh ahli neraka yang lain dan mereka berkata: Wahai Fulan,bukankah engkau yang menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang kemungkaran?Maka dia menjawab : Aku menyuruh orang berbuat baik tapi aku tidak melakukannya dan aku melarang orang melakukan maksiat tetapi aku sendiri melakukannya.”


          Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,


          Marilah kita renung kembali apa tugas kita dihantar Allah ke bumi kinanah ini? Allah mahu kita mengutip sebanyak mungkin ilmu yang ada di bumi ini dan nanti pulang ke negara kita, kita dapat memberikan pula ilmu kita itu dengan orang lain.


          Inilah yang telah difirmankan Allah dalam surah at Taubah ayat 112 :


          وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ


          Yang bermaksud : dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).


          Maka, tugas kitalah sebagai khaira ummah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan melarang dari kemunkaran. Dan janganlah kita menjadi orang yang ‘cakap tak serupa bikin’ kerana Allah sangatlah murka dengan orang yang berperangai begini. Dan dalam usaha kita untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemunkaran, mahu atau tidak kita perlu memiliki ilmu agama khususnya. Adalah tidak wajar sekiranya kita bercakap tanpa ada asas ilmu yang kukuh. Maka kitalah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. supaya mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama agar nanti pulangnya kita sebagai dai’e yang dapat memberi pengajaran kepada mereka yang tidak mengetahui.


          Mudah-mudahan kita akan menggunakan peluang dan kesempatan yang Allah berikan kepada kita sepanjang kita berada di ardhil kinanah ini dengan berusaha memenuhkan dada kita dengan ilmu yang sebanyak mungkin untuk kita kongsikan kembali apa yang telah kita dapat itu dengan masyarakat yang sangat memerlukan. Sama-sama kita berusaha untuk menjadi ilmuan agama yang benar-benar faqih dalam urusan agama khususnya tanpa kita melupakan ilmu-ilmu dunia yang juga tidak kurang pentingnya dalam kehidupan kita pada hari ini. Moga Allah membantu kita dan memudahkan kita dalam perjuangan ini agar nanti kita dapat membentuk khaira ummah seperti yang telah disebut dalam al

          Quran.

          Siru ‘ala barakatillah..