Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Ahad, 25 April 2010

"JAUHI KEGAGALAN, GENGGAMI KEJAYAAN"

Pada 23 April 2010 telah diadakan Forum Motivasi di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah yang bertemakan "Elak kegagalan, hampiri kejayaan". Ahli panel forum tersebut terdiri daripada :


1) Prof Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
2) Mohd Faizal Nor Azmi
3) Puan Zakiah Zaidon


Moderator : Ahmad Nazmi Mohamad


Antara isi-isi kupasan yang menarik ialah :
  • Kegagalan ialah suatu perkara biasa kerana ianya dialami oleh semua manusia. Namun ianya perlulah dilihat sebagai suatu cabaran,ancaman dan rintangan yang mesti dijauhi dan diatasi dengan usaha-usaha yang dapat membuahkan kejayaan.
  • Orang yang gagal perlu sedar akan kegagalannya dan berusaha untuk mengatasinya. Jangan putus asa atau lemah semangat dengan kegagalan yang sudah ditakdirkan Tuhan. Belajarlah melihat kesilapan sendiri atau kelemahan yang menyebabkan kita gagal dan fikirkan cara untuk mengatasi kelemahan dan kesilapan tersebut.
  • Sentiasalah berfikiran besar dan jangan menyempitkan fikiran hanya kerana sebuah kegagalan. Jadikan kegagalan sebagai motivasi dan momentum terbaik untuk menggenggam kejayaan.
  • Pelajar cemerlang yang mampu mencemerlangkan diri sendiri dan orang lain. Bagaimanakah caranya? Semuanya terangkum dalam satu kata kunci iaitu : STUDY GROUP.
  • Konsep-konsep yang tersimpan dalam STUDY GROUP ialah :                          
i- belajar (untuk manfaat diri sendiri) dan mengajar (untuk manfaat orang lain dan juga diri sendiri). Kayu ukur kefahaman seseorang ialah sejauhmana kemampuannya untuk mengajar orang lain.

ii- input dan output. Input ialah apa yang kita fahami dari pembacaan dan pembelajaran sendiri. Manakala output ialah apa yang kita keluarkan atau hasilkan dari input  yang telah diterima. Contoh output  ialah seperti membuat nota, memperdengarkan input kepada orang lain, dan mengajarkan kepada orang lain. Output yang kita hasilkan boleh juga menjadi input kepada orang lain dan juga diri sendiri. Mengajar kepada orang lain adalah suatu proses belajar untuk diri sendiri.

iii- stress-free learning. Dengan kepelbagaian idea dan pendapat, aktiviti study group boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara yang kreatif seperti membuat kuiz, menjawab soalan-soalan dan lain-lain lagi. Ini akan menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam suasana yang ceria tanpa ada tekanan dan menghalang rasa bosan atau penat belajar.

iv- saling menasihati dan menegur. Medium study group boleh menjadi platform yang baik untuk memberi nasihat kepada sahabat kita. Sahabat itu mungkin tidak nampak kelemahan dirinya. Maka, di sinilah kita berperanan secara tidak langsung untuk menjadikan sahabat kita turut cemerlang bersama.

v- mengelakkan gangguan dan sikap menangguhkan kerja. Apabila kita melibatkan diri dalam sebuah  study group, kita terikat dengan disiplin dan tanggungjawab serta amanah dan hak orang lain terhadap kita. Jadi, kita tidak boleh sesuka hati  meninggalkan sesi study group atau malas membuat  tugasan yang telah dibahagikan. Jika tidak, kita bukan sahaja tidak menghormati ahli-ahli lain malah kita juga telah mengkhianati amanah dan hak orang lain terhadap diri sendiri.
  • Antara punca-punca kegagalan di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir yang telah dikenalpasti ialah :                                                                                                                                                         
i- ketiadaan matlamat yang jelas dan spesifik seperti perancangan tahunan dan tempoh masa yang jelas. Untuk contoh yang jelas, boleh lihat seperti apa yang dibuat oleh watak 'Fahri' dalam cerita Ayat-Ayat Cinta. Ini sebenarnya sudah diterangkan oleh ramai pakar motivasi. Matlamat yang jelas dan khusus dan ditampal serta dilihat selalu akan memberi kesan yang mendalam secara tidak langsung kepada jiwa dan memberi motivasi besar kepada minda bawah sedar tanpa kita sedari. Dalam membuat perancangan, ada tiga perkara penting yang perlu dititikberatkan iaitu : APA, MENGAPA, BAGAIMANA. Perancangan atau matlamat yang baik mestilah dapat menjawab ketiga-tiga persoalan ini. Dan apa juga perancangan dan usaha kita, jangan lupa DOA dan TAWAKKAL pada Allah s.w.t.

ii- tidak berani untuk jadi berbeza. Masalah ini memang jelas dan dapat dilihat pada  majoriti  bangsa Melayu. Anak Melayu sering jadi pemalu dan takut-takut untuk menjawab soalan di dalam kelas. Bukan tidak ada yang berani, cuma jarang-jarang ditemui, bak kata P. Ramlee dalam Nujum Pak Belalang. Lain  sangat dengan Arab, apabila disoal oleh pensyarah ramai yang mengangkat tangan. Kadang-kadang dia tidak tahu pun jawapannya tapi, dia tetap berani mencuba. Itu yang mesti kita tiru bukannya meniru sikap-sikap buruk bangsa Arab. Tak perlu risau diketawakan kerana semua itu tidak akan bertahan lama. Lagi pula, mereka yang mentertawakan kita itu bukan semestinya lebih pandai dari kita. Ketawa itu lumrah manusia yang tak mungkin dapat kita ubah. Begitu juga dalam soal mempertahankan prinsip dan pendapat sendiri. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam, maka pertahankanlah prinsip dan pendapat itu.

iii- sikap mudah berpuas hati dengan apa yang telah diperolehi. Redha dengan takdir tidak semestinya bererti kita tidak boleh berasa tidak puas hati dengan apa yang telah Allah beri. Dorongkan rasa tidak puas hati kepada bentuk yang positif. Sama juga seperti sifat cemburu. Ia tidak salah selagimana ia dilorongkan pada jalan yang benar.

iv- budaya 'Bangau oh Bangau'. Sikap selalu menyalahkan orang lain bukannya dapat menjadi penyelesaian kepada masalah. Ingatlah, satu jari yang menuding kepada orang lain, baki jari yang semuanya menuding kepada orang lain. Jadi, salahkanlah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

v- takut salah dan tidak berani mencuba. Takut untuk mencuba = takut untuk berjaya. Sebagai contoh mudah, sikap takut bertanya soalan atau menjawab soalan di dalam kelas. Apabila kita takut untuk menjawab sedangkan jawapan kita itu betul, maka itu bererti kita takut untuk berjaya. Menjawab soalan dengan betul adalah suatu kejayaan walaupun ia hanya kejayaan kecil.

vi- kelemahan dalam pengurusan masa dan juga kurang disiplin. Masalah yang paling ketara ialah pengurusan masa tidur yang tidak betul apalagi dalam musim panas ini apabila waktu siang lebih panjang dari waktu malam. Apabila waktu tidur pada malam hari tidak cukup akan menyebabkan kita mengantuk pada siang hari maka terjadilah aktiviti ponteng kuliah. Sedangkan ilmu bukanlah suatu yang boleh dikirim melalui kawan-kawan. Dan ingatlah bahawa, apabila kita tidak hadir ke kuliah kita telah melanggar hak orang lain terhadap kita. Hak pensyarah untuk menyampaikan ilmunya. Hak kawan-kawan dan juga hak diri sendiri untuk menuntut ilmu. Itu belum lagi berbicara soal amanah ibu bapa, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

vii- tidak memiliki kunci ilmu iaitu Bahasa Arab yang baik. Maka kewajipan dan keperluan untuk menguasai bahasa bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan atau dilekehkan. Bahasa adalah alat untuk menguasai ilmu. Maka, kuasailah Bahasa Arab dan juga Inggeris dengan sebaiknya. Sentiasa biasakan diri untuk merujuk kamus dan banyakkanlah membaca bahan bacaan ringan seperti buku cerita atau majalah kartun yang mudah difahami untuk membiasakan diri dengan uslub bahasa. Selain itu, janganlah malu atau segan untuk berkomunikasi dengan orang Arab.
    • Antara tips-tips untuk menguatkan hafazan :                                                                                         
    i- Teknik bayangan. Membayangkan dalam bentuk tulisan apa yang telah dibaca atau dihafal.

    ii- Melihat benda-benda hijau atau tidur sekejap dalam 10-15 minit untuk menghilangkan penat. Elakkan sama sekali dari menonton cerita atau berembang.

    iii- Jaga kesihatan saraf dengan cara memakan makanan kesihatan seperti kismis dan kurma dan selalulah minum susu
    • Bagaimana membentuk mahasiswa yang cemerlang dan juga berakhlaq Islam?                         
    i- sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat dan tujuan hidup serta misi kedatangan ke bumi 'anbiya'.

    ii- sentiasa melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang boleh membantu dalam proses pembinaan karakter sebagai seorang pendakwah. Setiap kita yang melafazkan kalimah tauhid adalah daie.

    iii- sentiasa muhasabah dan mengingatkan diri tentang tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan juga pengurus terutamanya kepada diri sendiri dan kepada masyarakat lain umumnya. Seorang pemimpin dan pengurus yang baik perlu memiliki kebolehan untuk mengutarakan idea serta pandangan yang bernas, berpandangan jauh dan mampu menjadi agen perubah masyarakat kepada kebaikan.
    • Peringkat pengajian di universiti adalah peringkat atau tahap berdikari atau survival di mana mahasiswa tidak lagi boleh bergantung harap dari pensyarah semata-mata untuk mendapatkan input. Mahasiswa perlu meneroka jauh dunia akademik dan cuba menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang lain selain bidang utama pengajian. 
    • Dalam menguruskan aktiviti dan kehidupan kita mesti tahu dan memahami konsep prioritization atau Fiqh Aulawiyat. Utamakan apa lebih utama dan kemudiankan apa yang boleh dikemudiankan.
    • Semua ilmu malah apa jua yang kita miliki adalah dari Allah s.w.t. Maka, pohonlah kepada-Nya semoga semuanya diberkati sehingga ke ahir hayat.
    • Apa yang penting adalah kita menambahkan ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin apalagi dalam soal agama.  
    • "sesiapa yang mahukan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan Akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang mahukan keduanya maka hendaklah dengan ilmu".
    ..:: selamat menempuh peperiksaan kepada semua yang bergelar pelajar samada di Malaysia atau di Mesir mahupun di mana sahaja di muka bumi Allah ini. dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan di dunia, jangan lupa membuat persiapan untuk peperiksaan alam Barzakh yang bakal kita hadapi bila-bila masa sahaja::..

      Tiada ulasan: