1-lingkungan keprihatinan
2-lingkungan pengaruh
Sebagai manusia biasa, kita perlu sedar kita tidaklah memiliki kelengkapan yang benar-benar sempurna. Misalnya, kita tidak ada masa yang cukup untuk menyelesaikan semua masalah di dunia. Kita juga tidak punya kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang ada di hadapan kita meskipun kita ada keinginan dan cara untuk melaksanakannya. Maka, kita sebenarnya kurang serba serbi kerana yang Maha Sempurna dan Pemilik segala sesuatu hanyalah Allah s.w.t.
Maka, setiap kali kita menghadapi masalah, cuba kenalpasti setiap masalah dan ketidakpuasan hati yang ada pada kita samada ia berada dalam lingkungan keprihatinan atau lingkungan pengaruh. Lingkungan keprihatinan bererti segala perkara atau masalah yang mendapat perhatian kita, yang membuatkan kita tidak berasa tidak
selesa duduk selagi ia tidak di atasi. Manakala lingkungan pengaruh pula ialah perkara-perkara yang mempunyai kaitan rapat dengan diri kita. Sebagai contoh, tabiat atau perangai kita.
Baik, sekarang kita lihat pula kepada kategori-kategori masalah yang sering kita temui dalam
kehidupan.
Masalah-masalah yang kita hadapi boleh dibahagikan kepada 3 jenis kategori:
1-Masalah jenis kawalan secara langsung
bermaksud masalah yang berada dalam lingkungan pengaruh kita sendiri dan boleh diselesaikan oleh kita sendiri, yang mana kita punya kawalan penuh. Sebagai contoh, masalah kawan-kawan yang selalu datang melepak di bilik kita sehinggakan mengganggu masa belajar kita. Maka, selesaikan dengan cara yang kita mampu seperti menerangkan dengan baik kepada kawan-kawan bahawa anda ingin belajar. Atau mungkin juga anda boleh tampal notis "Jangan Ganggu" di pintu. Atau secara kasarnya,jangan buka pintu untuk mereka masuk ke bilik anda. Itu sekadar contoh. Apa yang penting, kita mesti juga timbangkan keperluan sosial kita. Jangan terlalu tumpu pada belajar semata-mata hingga tiada langsung masa untuk bersilaturrahim dengan jiran tetangga atau kawan-kawan. Ini salah. Paling tidak pun, hadiri Smart Circle setiap kali diadakan.2-Masalah jenis kawalan secara tidak langsung
kategori ini yang sering menimbulkan kekeliruan kerana ia berada di tengah antara kawalan secara langsung dan juga di luar kawalan. Masalah kategori ini biasanya berada dalam ruang lingkungan keprihatinan. Jika dilihat kembali pada contoh di atas tadi, katakanlah kawan- kawan itu lebih banyak main dan bersembang daripada belajar yang mana kita sebagai kawan merasa bertanggungjawab untuk menasihati mereka. Lagipula jika kita tidak mengubah mereka dikhuatiri mereka akan membawa kita mengikut perbuatan kita. Ini kerana pengaruh atau kesan kawan terhadap diri kita sangat kuat. Lalu, penyelesaiannya bagaimana? Sebagaimana biasa, kita boleh nasihatkan kawan-kawan supaya belajar. Ingatkan tentang harapan orang tua, ahli keluarga dan masyarakat. Ingatkan tentang masa yang mana Allah bersumpah dengannya dalam surah wal 'Asr. Atau mungkin juga anda boleh menukar perkumpulan itu dari bersembang kosong kepada 'study group'. Persoalannya samada kita mampu atau tidak untuk melakukannya kerana tidak semua orang mampu untuk 'take lead' atau menjadi seseorang yang berpengaruh dalam kalangan kawan-kawannya. Jika usaha itu masih juga tidak berhasil, maka ketahuilah bahawa ia bukan berada dalam lingkungan pengaruh kita malah sebaliknya. Apa yang kita lakukan adalah kerana rasa prihatin terhadap kawan-kawan dan itu adalah pahala buat kita. Usah khuatir kerana usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan tidak bertanyakan natijah kepada usaha kita. Tetapi Tuhan akan tanya adakah kita telah cuba berusaha.3-Masalah yang di luar kawalan
banyak masalah di dunia ini yang berada di luar kawalan kita dan ia adalah termasuk dalam lingkungan keprihatinan. Seperti masalah pelajar yang merokok contohnya. Kita tidak punya kuasa untuk melarang mereka merokok kecualilah jika mereka merokok dalam bilik kita ataupun di kawasan awam yang sememangnya dilarang merokok. Sebagai seorang yang prihatin, kita terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini namun kita tidak punya kuasa dan memang jelas, masalah ini adalah di luar kawalan kita. Di sana ada beberapa inisiatif yang boleh cuba dipraktikkan untuk menyelesaikan masalah rokok ini seperti memberi kesedaran tentang bahaya dan kesan negatif akibat merokok. Terangkan juga bahaya merokok ini bukan sahaja kepada perokok malah kajian membuktikan mereka (bukan perokok) yang sering 'terhidu' asap rokok akan menerima kesan yang lebih teruk berbanding perokok itu sendiri. Dan apa yang penting ialah kesedaran itu perlu datang dalam diri perokok itu sendiri. Kita mungkin boleh memaksa mereka untuk tidak merokok di tempat tertentu. Namun, di tempat lain tanpa pengetahuan kita mereka mungkin akan merokok. Maka, sebagai seorang yang prihatin kita tidak boleh merasa lega dengan sekali usaha atau putus asa dengan usaha yang sedikit. Jika kita benar-benar prihatin, buktikan keprihatinan itu dengan usaha yang berterusan untuk membentuk kesedaran dalam diri mereka yang merokok dan jangan mengharap mereka akan menerima nasihat kita dengan secepatnya. Berdoalah pada Allah yang memiliki hati-hati kita semua. Dan ingatah selalu jangan menjadi lilin yang membakar dirinya sendiri kerana prihatin dengan orang lain. Tapi jadilah seperti pelita yang menggunakan sumber yang ada untuk menyalakan dirinya dan juga memberi manfaat kepada orang lain.
p/s : Isu Palestin berada di luar kawalan kita meskipun ia dalam lingkungan keprihatinan. Maka, apakah kita tidak boleh berbuat apa dan melihat sahaja segala perbuatan Yahudi Zionis dan sekutunya sambil mengutuk perbuatan mereka itu serba sedikit? Ada sesuatu yang boleh kita lakukan selain doa. Masih tertanya-tanya apa dia? Tepuk dada tanyalah diri. Wang kita ke mana pergi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan