Sesuatu yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yang tidak diduga selalu berlaku dengan tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa berpanjangan kerana kegembiraan yang belum pasti untuk selama-lamanya.

Ahad, 25 April 2010

"JAUHI KEGAGALAN, GENGGAMI KEJAYAAN"

Pada 23 April 2010 telah diadakan Forum Motivasi di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah yang bertemakan "Elak kegagalan, hampiri kejayaan". Ahli panel forum tersebut terdiri daripada :


1) Prof Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
2) Mohd Faizal Nor Azmi
3) Puan Zakiah Zaidon


Moderator : Ahmad Nazmi Mohamad


Antara isi-isi kupasan yang menarik ialah :
  • Kegagalan ialah suatu perkara biasa kerana ianya dialami oleh semua manusia. Namun ianya perlulah dilihat sebagai suatu cabaran,ancaman dan rintangan yang mesti dijauhi dan diatasi dengan usaha-usaha yang dapat membuahkan kejayaan.
  • Orang yang gagal perlu sedar akan kegagalannya dan berusaha untuk mengatasinya. Jangan putus asa atau lemah semangat dengan kegagalan yang sudah ditakdirkan Tuhan. Belajarlah melihat kesilapan sendiri atau kelemahan yang menyebabkan kita gagal dan fikirkan cara untuk mengatasi kelemahan dan kesilapan tersebut.
  • Sentiasalah berfikiran besar dan jangan menyempitkan fikiran hanya kerana sebuah kegagalan. Jadikan kegagalan sebagai motivasi dan momentum terbaik untuk menggenggam kejayaan.
  • Pelajar cemerlang yang mampu mencemerlangkan diri sendiri dan orang lain. Bagaimanakah caranya? Semuanya terangkum dalam satu kata kunci iaitu : STUDY GROUP.
  • Konsep-konsep yang tersimpan dalam STUDY GROUP ialah :                          
i- belajar (untuk manfaat diri sendiri) dan mengajar (untuk manfaat orang lain dan juga diri sendiri). Kayu ukur kefahaman seseorang ialah sejauhmana kemampuannya untuk mengajar orang lain.

ii- input dan output. Input ialah apa yang kita fahami dari pembacaan dan pembelajaran sendiri. Manakala output ialah apa yang kita keluarkan atau hasilkan dari input  yang telah diterima. Contoh output  ialah seperti membuat nota, memperdengarkan input kepada orang lain, dan mengajarkan kepada orang lain. Output yang kita hasilkan boleh juga menjadi input kepada orang lain dan juga diri sendiri. Mengajar kepada orang lain adalah suatu proses belajar untuk diri sendiri.

iii- stress-free learning. Dengan kepelbagaian idea dan pendapat, aktiviti study group boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara yang kreatif seperti membuat kuiz, menjawab soalan-soalan dan lain-lain lagi. Ini akan menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam suasana yang ceria tanpa ada tekanan dan menghalang rasa bosan atau penat belajar.

iv- saling menasihati dan menegur. Medium study group boleh menjadi platform yang baik untuk memberi nasihat kepada sahabat kita. Sahabat itu mungkin tidak nampak kelemahan dirinya. Maka, di sinilah kita berperanan secara tidak langsung untuk menjadikan sahabat kita turut cemerlang bersama.

v- mengelakkan gangguan dan sikap menangguhkan kerja. Apabila kita melibatkan diri dalam sebuah  study group, kita terikat dengan disiplin dan tanggungjawab serta amanah dan hak orang lain terhadap kita. Jadi, kita tidak boleh sesuka hati  meninggalkan sesi study group atau malas membuat  tugasan yang telah dibahagikan. Jika tidak, kita bukan sahaja tidak menghormati ahli-ahli lain malah kita juga telah mengkhianati amanah dan hak orang lain terhadap diri sendiri.
  • Antara punca-punca kegagalan di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir yang telah dikenalpasti ialah :                                                                                                                                                         
i- ketiadaan matlamat yang jelas dan spesifik seperti perancangan tahunan dan tempoh masa yang jelas. Untuk contoh yang jelas, boleh lihat seperti apa yang dibuat oleh watak 'Fahri' dalam cerita Ayat-Ayat Cinta. Ini sebenarnya sudah diterangkan oleh ramai pakar motivasi. Matlamat yang jelas dan khusus dan ditampal serta dilihat selalu akan memberi kesan yang mendalam secara tidak langsung kepada jiwa dan memberi motivasi besar kepada minda bawah sedar tanpa kita sedari. Dalam membuat perancangan, ada tiga perkara penting yang perlu dititikberatkan iaitu : APA, MENGAPA, BAGAIMANA. Perancangan atau matlamat yang baik mestilah dapat menjawab ketiga-tiga persoalan ini. Dan apa juga perancangan dan usaha kita, jangan lupa DOA dan TAWAKKAL pada Allah s.w.t.

ii- tidak berani untuk jadi berbeza. Masalah ini memang jelas dan dapat dilihat pada  majoriti  bangsa Melayu. Anak Melayu sering jadi pemalu dan takut-takut untuk menjawab soalan di dalam kelas. Bukan tidak ada yang berani, cuma jarang-jarang ditemui, bak kata P. Ramlee dalam Nujum Pak Belalang. Lain  sangat dengan Arab, apabila disoal oleh pensyarah ramai yang mengangkat tangan. Kadang-kadang dia tidak tahu pun jawapannya tapi, dia tetap berani mencuba. Itu yang mesti kita tiru bukannya meniru sikap-sikap buruk bangsa Arab. Tak perlu risau diketawakan kerana semua itu tidak akan bertahan lama. Lagi pula, mereka yang mentertawakan kita itu bukan semestinya lebih pandai dari kita. Ketawa itu lumrah manusia yang tak mungkin dapat kita ubah. Begitu juga dalam soal mempertahankan prinsip dan pendapat sendiri. Selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam, maka pertahankanlah prinsip dan pendapat itu.

iii- sikap mudah berpuas hati dengan apa yang telah diperolehi. Redha dengan takdir tidak semestinya bererti kita tidak boleh berasa tidak puas hati dengan apa yang telah Allah beri. Dorongkan rasa tidak puas hati kepada bentuk yang positif. Sama juga seperti sifat cemburu. Ia tidak salah selagimana ia dilorongkan pada jalan yang benar.

iv- budaya 'Bangau oh Bangau'. Sikap selalu menyalahkan orang lain bukannya dapat menjadi penyelesaian kepada masalah. Ingatlah, satu jari yang menuding kepada orang lain, baki jari yang semuanya menuding kepada orang lain. Jadi, salahkanlah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

v- takut salah dan tidak berani mencuba. Takut untuk mencuba = takut untuk berjaya. Sebagai contoh mudah, sikap takut bertanya soalan atau menjawab soalan di dalam kelas. Apabila kita takut untuk menjawab sedangkan jawapan kita itu betul, maka itu bererti kita takut untuk berjaya. Menjawab soalan dengan betul adalah suatu kejayaan walaupun ia hanya kejayaan kecil.

vi- kelemahan dalam pengurusan masa dan juga kurang disiplin. Masalah yang paling ketara ialah pengurusan masa tidur yang tidak betul apalagi dalam musim panas ini apabila waktu siang lebih panjang dari waktu malam. Apabila waktu tidur pada malam hari tidak cukup akan menyebabkan kita mengantuk pada siang hari maka terjadilah aktiviti ponteng kuliah. Sedangkan ilmu bukanlah suatu yang boleh dikirim melalui kawan-kawan. Dan ingatlah bahawa, apabila kita tidak hadir ke kuliah kita telah melanggar hak orang lain terhadap kita. Hak pensyarah untuk menyampaikan ilmunya. Hak kawan-kawan dan juga hak diri sendiri untuk menuntut ilmu. Itu belum lagi berbicara soal amanah ibu bapa, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

vii- tidak memiliki kunci ilmu iaitu Bahasa Arab yang baik. Maka kewajipan dan keperluan untuk menguasai bahasa bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan atau dilekehkan. Bahasa adalah alat untuk menguasai ilmu. Maka, kuasailah Bahasa Arab dan juga Inggeris dengan sebaiknya. Sentiasa biasakan diri untuk merujuk kamus dan banyakkanlah membaca bahan bacaan ringan seperti buku cerita atau majalah kartun yang mudah difahami untuk membiasakan diri dengan uslub bahasa. Selain itu, janganlah malu atau segan untuk berkomunikasi dengan orang Arab.
    • Antara tips-tips untuk menguatkan hafazan :                                                                                         
    i- Teknik bayangan. Membayangkan dalam bentuk tulisan apa yang telah dibaca atau dihafal.

    ii- Melihat benda-benda hijau atau tidur sekejap dalam 10-15 minit untuk menghilangkan penat. Elakkan sama sekali dari menonton cerita atau berembang.

    iii- Jaga kesihatan saraf dengan cara memakan makanan kesihatan seperti kismis dan kurma dan selalulah minum susu
    • Bagaimana membentuk mahasiswa yang cemerlang dan juga berakhlaq Islam?                         
    i- sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat dan tujuan hidup serta misi kedatangan ke bumi 'anbiya'.

    ii- sentiasa melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang boleh membantu dalam proses pembinaan karakter sebagai seorang pendakwah. Setiap kita yang melafazkan kalimah tauhid adalah daie.

    iii- sentiasa muhasabah dan mengingatkan diri tentang tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan juga pengurus terutamanya kepada diri sendiri dan kepada masyarakat lain umumnya. Seorang pemimpin dan pengurus yang baik perlu memiliki kebolehan untuk mengutarakan idea serta pandangan yang bernas, berpandangan jauh dan mampu menjadi agen perubah masyarakat kepada kebaikan.
    • Peringkat pengajian di universiti adalah peringkat atau tahap berdikari atau survival di mana mahasiswa tidak lagi boleh bergantung harap dari pensyarah semata-mata untuk mendapatkan input. Mahasiswa perlu meneroka jauh dunia akademik dan cuba menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang lain selain bidang utama pengajian. 
    • Dalam menguruskan aktiviti dan kehidupan kita mesti tahu dan memahami konsep prioritization atau Fiqh Aulawiyat. Utamakan apa lebih utama dan kemudiankan apa yang boleh dikemudiankan.
    • Semua ilmu malah apa jua yang kita miliki adalah dari Allah s.w.t. Maka, pohonlah kepada-Nya semoga semuanya diberkati sehingga ke ahir hayat.
    • Apa yang penting adalah kita menambahkan ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin apalagi dalam soal agama.  
    • "sesiapa yang mahukan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan Akhirat hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang mahukan keduanya maka hendaklah dengan ilmu".
    ..:: selamat menempuh peperiksaan kepada semua yang bergelar pelajar samada di Malaysia atau di Mesir mahupun di mana sahaja di muka bumi Allah ini. dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan di dunia, jangan lupa membuat persiapan untuk peperiksaan alam Barzakh yang bakal kita hadapi bila-bila masa sahaja::..

      Ahad, 18 April 2010

      MENGHADAPI MASALAH DAN PENYELESAIAN..

      Kehidupan persekitaran kita terdiri dari dua jenis lingkungan

      1-lingkungan keprihatinan
      2-lingkungan pengaruh


      Sebagai manusia biasa, kita perlu sedar kita tidaklah memiliki kelengkapan yang benar-benar sempurna. Misalnya, kita tidak ada masa yang cukup untuk menyelesaikan semua masalah di dunia. Kita juga tidak punya kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang ada di hadapan kita meskipun kita ada keinginan dan cara untuk melaksanakannya. Maka, kita sebenarnya kurang serba serbi kerana yang Maha Sempurna dan Pemilik segala sesuatu hanyalah Allah s.w.t.

      Maka, setiap kali kita menghadapi masalah, cuba kenalpasti setiap masalah dan ketidakpuasan hati yang ada pada kita samada ia berada dalam lingkungan keprihatinan atau lingkungan pengaruh. Lingkungan keprihatinan bererti segala perkara atau masalah yang mendapat perhatian kita, yang membuatkan kita tidak berasa tidak
      selesa duduk selagi ia tidak di atasi. Manakala lingkungan pengaruh pula ialah perkara-perkara yang mempunyai kaitan rapat dengan diri kita. Sebagai contoh, tabiat atau perangai kita.

      Baik, sekarang kita lihat pula kepada kategori-kategori masalah yang sering kita temui dalam
      kehidupan.

      Masalah-masalah yang kita hadapi boleh dibahagikan kepada 3 jenis kategori:

      1-Masalah jenis kawalan secara langsung
       bermaksud masalah yang berada dalam lingkungan pengaruh kita sendiri dan boleh diselesaikan oleh kita sendiri, yang mana kita punya kawalan penuh. Sebagai contoh, masalah kawan-kawan yang selalu datang melepak di bilik kita sehinggakan mengganggu masa belajar kita. Maka, selesaikan dengan cara yang kita mampu seperti menerangkan dengan baik kepada kawan-kawan bahawa anda ingin belajar. Atau mungkin juga anda boleh tampal notis "Jangan Ganggu" di pintu. Atau secara kasarnya,jangan buka pintu untuk mereka masuk ke bilik anda. Itu sekadar contoh. Apa yang penting, kita mesti juga timbangkan keperluan sosial kita. Jangan terlalu tumpu pada belajar semata-mata hingga tiada langsung masa untuk bersilaturrahim dengan jiran tetangga atau kawan-kawan. Ini salah. Paling tidak pun, hadiri Smart Circle setiap kali diadakan.
      2-Masalah jenis kawalan secara tidak langsung
      kategori ini yang sering menimbulkan kekeliruan kerana ia berada di tengah antara kawalan secara langsung dan juga di luar kawalan. Masalah kategori ini biasanya berada dalam ruang   lingkungan keprihatinan. Jika dilihat kembali pada contoh di atas tadi, katakanlah kawan-   kawan itu lebih banyak main dan bersembang daripada belajar yang mana kita sebagai kawan   merasa bertanggungjawab untuk menasihati mereka. Lagipula jika kita tidak mengubah mereka   dikhuatiri mereka akan membawa kita mengikut perbuatan kita. Ini kerana pengaruh atau kesan  kawan terhadap diri kita sangat kuat. Lalu, penyelesaiannya bagaimana? Sebagaimana biasa,   kita boleh nasihatkan kawan-kawan supaya belajar. Ingatkan tentang harapan orang tua, ahli   keluarga dan masyarakat. Ingatkan tentang masa yang mana Allah bersumpah dengannya dalam   surah wal 'Asr. Atau mungkin juga anda boleh menukar perkumpulan itu dari bersembang kosong  kepada 'study group'. Persoalannya samada kita mampu atau tidak untuk melakukannya kerana tidak semua orang mampu untuk 'take lead' atau menjadi seseorang yang berpengaruh dalam kalangan kawan-kawannya. Jika usaha itu masih juga tidak berhasil, maka ketahuilah bahawa ia bukan berada dalam lingkungan pengaruh kita  malah sebaliknya. Apa yang kita lakukan adalah kerana rasa prihatin terhadap kawan-kawan dan itu adalah pahala buat kita. Usah khuatir kerana usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan tidak bertanyakan natijah kepada usaha kita. Tetapi Tuhan akan tanya adakah kita telah cuba berusaha.
      3-Masalah yang di luar kawalan
      banyak masalah di dunia ini yang berada di luar kawalan kita dan ia adalah termasuk dalam   lingkungan keprihatinan. Seperti masalah pelajar yang merokok contohnya. Kita tidak punya   kuasa untuk melarang mereka merokok kecualilah jika mereka merokok dalam bilik kita ataupun di kawasan awam yang sememangnya dilarang merokok. Sebagai seorang yang prihatin, kita terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini namun kita tidak punya kuasa dan memang jelas, masalah ini adalah di luar kawalan kita. Di sana ada beberapa inisiatif yang boleh cuba dipraktikkan untuk menyelesaikan masalah rokok ini seperti memberi kesedaran tentang bahaya dan kesan negatif akibat merokok. Terangkan juga bahaya merokok ini bukan sahaja kepada perokok malah kajian membuktikan mereka (bukan perokok) yang sering 'terhidu' asap rokok akan menerima kesan yang lebih teruk berbanding perokok itu sendiri. Dan apa yang penting ialah kesedaran itu perlu datang dalam diri perokok itu sendiri. Kita mungkin boleh memaksa mereka untuk tidak merokok di tempat tertentu. Namun, di tempat lain tanpa pengetahuan kita mereka mungkin akan merokok. Maka, sebagai seorang yang prihatin kita tidak boleh merasa lega dengan sekali usaha atau putus asa dengan usaha yang sedikit. Jika kita benar-benar prihatin, buktikan keprihatinan itu dengan usaha yang berterusan untuk membentuk kesedaran dalam diri mereka yang merokok dan jangan mengharap mereka akan menerima nasihat kita dengan secepatnya. Berdoalah pada Allah yang memiliki hati-hati kita semua. Dan ingatah selalu jangan menjadi lilin yang membakar dirinya sendiri kerana prihatin dengan orang lain. Tapi jadilah seperti pelita yang menggunakan sumber yang ada untuk menyalakan dirinya dan juga memberi manfaat kepada orang lain.

      p/s : Isu Palestin berada di luar kawalan kita meskipun ia dalam lingkungan keprihatinan. Maka, apakah kita tidak boleh berbuat apa dan melihat sahaja segala perbuatan Yahudi Zionis dan sekutunya sambil mengutuk perbuatan mereka itu serba sedikit? Ada sesuatu yang boleh kita lakukan selain doa. Masih tertanya-tanya apa dia? Tepuk dada tanyalah diri. Wang kita ke mana pergi?

      HIJRAH MENJADI YANG TERBAIK


      HIJRAH MENUJU ALLAH

      Hijrah...
      Bulat niat tekadmu
      Dalam hijrahmu itu
      Allah nanti kan bersama
      Tempuh jalan yang diredhai

      Andai rasa diri lemah
      Diperjalanan hijrahmu
      Sendirian
      Tiada mampu
      Pohonlah pada Tuhanmu

      Hijrah ini memang susah
      Hijrah ini memang payah
      Hijrah ini menuju Allah
      Dihujungnya hasanah

      Hijrahmu menuju Allah
      Ia sunnah para Nabi
      Para solehin dan tabien
      Kembara hati menuju Ilahi

      Suatu masa yang tidak lama dahulu, ada jiwa yang utuh meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta demi kerana mengejar mimpi untuk menjadi yang lebih terbaik. Fikirnya, hijrah ini tidak lama. Dia bakal pulang semula ke pangkuan keluarga selepas sepenggal pemerintahan kerajaan. Namun siapakah yang tahu akan takdir Tuhan? Dia redha biar hati sering melagukan rindu pada keluarga yang sudah lama ditinggalkan.
      Meskipun begitu, dia masih positif dan tidak pernah bersangka buruk dengan Kekasihnya. Dia sedar perjalanan dan perjuangannya ini bukan semudah menuturkan kata. Namun jalan yang telah dipilihnya ini penuh duri yang menjadi cabaran yang adakala menggoyahkan jiwanya yang masih mencari kekuatan. Jalan ini adalah jalan hijrah yang susah dan payah kerana jalan ini adalah jalan baginya untuk nanti bertemu Kekasihnya. Lalu dia sering memujuk hati supaya sabar dan tabah. Sering juga dia muhasabah diri agar nanti dia sedar kelemahan sendiri dan tidak bersikap sombong atau bangga diri dengan sedikit kelebihan yang ada padanya. Doanya moga nanti dia dapat pulang menjadi diri yang lebih terbaik dari saat dia melangkah memulakan hijrahnya.

      Kembara di bumi bertuah ini memberikannya pelbagai pengalaman yang mendewasakan diri dan juga fikiran. Dia yakin apa sahaja ujian yang diterimanya kini adalah sebagai persediaan untuknya apabila pulang nanti. Lalu segalanya diterima dengan hati yang lapang. Sudah ramai kawannya yang pulang dan meninggalkannya. Namun dia masih bersyukur kerana masih ada lagi yang menemaninya. Tekadnya cuma satu. Melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman untuknya berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat di kampung halaman.

      Rasa hati yang sering membuatnya termenung, dibuang jauh. Dia berazam tidak mahu mengejar cinta selain cinta Kekasihnya. Dia mahu menjadi sempurna dan terbaik biarpun dia sedar kekurangan dan kelemahannya masih banyak lagi belum diperbaiki. Dia yakin dan percaya bahawa takdir yang ditentukan Tuhan adalah yang terbaik buatnya. Biarpun

      Lalu, dia hadapi setiap hari-hari yang mendatang dengan senyuman dan keyakinan bahawa Sang Kekasih tidak pernah melupakannya. Harapannya moga hari yang mendatang akan dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran dan dia akan diizinkan pulang menemui mereka yang dirindukan setelah dia berjaya menjadi yang terbaik dari semalam. Amin, ya Rabbal 'alamin.

      Jumaat, 9 April 2010

      ANJING DAN KALA JENGKING

      Entah. Sejak bila agaknya. Saya sendiri baru perasan. Banyak betul anjing-anjing yang berkeliaran di kawasan luar DMAK dan juga di kuliah Banat. Pelik kerana sebelum ini suasananya bukan begitu. Sekarang nak berjalan mesti pandang setiap penjuru. Takut-takut terbertembung dengan anjing. Nanti terkejut. Kalau terkejut nanti bahaya sebab kadang-kadang badan kita akan buat tindakan luar kawal yang kita sendiri tak dapat jangka. Contoh? Entahlah. FIkirlah sendiri.

      KALA JENGKING

      Menyengat adalah sifat semulajadi haiwan yang bernama kala jengking. Jadi, orang yang lahir pada penghujung Oktober dan awal November boleh jadi memiliki sifat seperti kala jengking kerana mereka berbintang Scorpio (soal bintiang-bintang ini jangan dipercayai). Akan tetapi berdasarkan pengalaman hidup lebih suku abad ini saya merasakan mereka yang berada dalam kategori Scorpio ini memang memiliki kecenderungan atau sifat yang begitu. Cuma samada sifat itu adalah sifat yang dominan atau tidak. Dan paling penting adalah samada manusia Scorpio ini boleh mengawal sifat-sifatnya (terutamanya sifat yang buruk).

      Saya cuma mahu memberi nasihat. Siapa yang nak ambil, ambillah. Tak nak, sudah. Jangan suka cari pasal dengan orang yang berbintang Scorpio. Akibatnya jarang sekali baik-baik. Ini kerana manusia kala jengking ni memang ada sifat dendam dan akan 'menyengat' bila ada peluang. Dan sengatan kala jengking memang menyakitkan.

      Jadi, kepada manusia kala jengking yang berkaitan, cuba-cubalah ubah perangai buruk tu.